Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan biografi Imam Abd al-Rahman bin Mahdi atau Ibn Mahdi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama beliau adalah Abd al-Rahman bin Mahdi bin Hassan bin Abd al-Rahman al-‘Anbari atau dikatakan juga al-Azdi dan kuniyah beliau ialah Abu Sa’id. Dilahirkan pada 135 hijrah dan beliau mula mencari dan mempelajari bidang agama terutamanya bidang hadith seawal usia lingkungan 10 tahun lagi. Selain itu, beliau merupakan seorang imam, hujjah dan juga ikutan dalam ilmu dan beramal.

Tambahan pula, beliau telah mendengar hadith daripada Ayman bin Nabil, Umar bin Abi Zaida, Mu’awiyah bin Soleh al-Hadhrami, Sufyan, Syu’bah, Yunus bin Ishak, Malik bin Anas dan ramai lagi. Antara yang meriwayatkan daripada beliau pula ialah Ibn al-Mubarak, Ibn Wahab, Ibn Abi Syaibah, Bundar, Abu Khaithamah, Yahya, Ishak, Ahmad bin Sinan, Harun bin Sulaiman serta ramai lagi. (Lihat Siyar al-A’lam al-Nubala’, 9/192-193)

Di samping itu, beliau merupakan seorang tokoh yang menjadi ikutan masyarakat pada waktu itu dalam semua aspek bukan sahaja dalam bidang agama sahaja. Ini dibuktikan dengan perkataan:

  • Telah berkata Ayyub bin al-Mutawakkil: “Jika kami ingin melihat (mempelajari) berkaitan agama dan dunia, kami akan pergi ke rumah Abd al-Rahman bin Mahdi.” [Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’, 9/194]

Abd al-Rahman bin Mahdi juga merupakan seorang tokoh yang kuat beribadah pada waktu malam dan juga banyak membaca al-Qur’an. Ini diceritakan oleh seorang tokoh yang besar juga:

  • Kata Ali bin al-Madini: “Aku telah bertemu dengan isteri Abd al-Rahman bin Mahdi selepas daripada kewafatannya. Maka, aku melihat terdapat kesan hitam pada arah kiblat (di lantai). Aku bertanya: Apakah kesan (hitam) ini? Isterinya menjawab: Ini adalah tempat rehat Abd al-Rahman bin Mahdi dan juga tempat beliau melakukan solat malam. Apabila beliau mengantuk, beliau akan meletakkan dahinya di situ.” [Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’, 9/199]
  • Kata Ali bin al-Madini lagi: “Adapun wirid Abd al-Rahman pada setiap malam adalah separuh daripada al-Qur’an.” [Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’, 9/203]

Antara akhlak atau sifat Abd al-Rahman bin Mahdi yang perlu dicontohi dan diteladani oleh apabila bertemu dengan seseorang adalah:

إِذَا لَقِيَ الرَّجُلُ الرَّجُلَ فَوْقَهُ فِي العلمِ، فَهُوَ يَوْمُ غَنِيمَتِهِ، وَإِذَا لَقِيَ مَنْ هُوَ مِثْلُهُ، دَارَسَهُ، وَتَعَلَّمَ مِنْهُ، وَإِذَا لَقِيَ مَنْ هُوَ دُوْنَهُ، تَوَاضَعَ لَهُ، وَعَلَّمَهُ

Maksudnya: “Apabila beliau bertemu dengan seseorang yang lebih tinggi (ilmunya) maka itu merupakan hari beliau mengumpul harta (mengambil ilmu daripadanya). Apabila beliau bertemu dengan seseorang yang sama tahap dengannya, beliau akan membacakan atau memberi apa  yang beliau ada kepadanya dan juga beliau akan belajar daripadanya. Apabila beliau bertemu dengan seseorang yang lebih rendah daripadanya, beliau akan merendah diri serta mengajarkan kepadanya.” [Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’, 9/203]

Selain itu juga, beliau merupakan seorang yang tegas dalam menyampaikan ilmu dan amat menitikberatkan adab-adab ketika di dalam majlis ilmu:

  • Kata Ahmad bin Sinan:

كَانَ لاَ يُتَحَدَّثُ فِي مَجْلِسِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ، وَلاَ يُبْرَى قَلَمٌ، وَلاَ يَتَبَسَّمُ أَحَدٌ، وَلاَ يَقُوْمُ أَحَدٌ قَائِماً، كَأَنَّ عَلَى رُؤُوْسِهِمُ الطَّيرَ، وكَأَنَّهُم فِي صَلاَةٍ، فَإِذَا رَأَى أَحَداً مِنْهُم تَبَسَّمَ، أَوْ تَحَدَّثَ، لَبِسَ نَعْلَهُ، وَخَرَجَ

Maksudnya: “Adapun tidak ada seorang pun yang bercakap di dalam majlis Abd al-Rahman, pen juga tidak bergerak (untuk mencatat), tidak juga ada seorang pun yang senyum dan tidak juga ada seorang pun yang berdiri seakan-akan di atas kepala mereka terdapat seekor burung atau seolah-olah mereka itu berada di dalam solat. Apabila beliau melihat salah seorang daripada mereka itu senyum atau bercakap (di dalam majlisnya), beliau akan memakai seliparnya lalu keluar (meninggalkan majlis).” [Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’, 9/201-202]

Di antara kata-kata atau mutiara-mutiara nasihat beliau yang boleh kita ambil dan amalkan dalam kehidupan seharian adalah:

  • Kata Ubaidullah bin Said, aku telah mendengar Ibn Mahdi berkata: “Tidak boleh seseorang itu menjadi imam sehinggalah dia mengetahui apa yang sahih daripada apa yang tidak sahih.”
  • Kata Abu Ubaid, aku telah mendengar abd al-Rahman berkata: “Aku tidak meninggalkan sesuatu hadith yang diriwayatkan oleh seseorang melainkan aku telah berdoa kepada Allah buatnya dan aku juga menyebut namanya.”
  • Kata Nu’aim bin Hammad, aku telah bertanya Abd al-Rahman bin Mahdi: “Bagaimana ilmu kamu dalam mengetahui para pendusta (hadith)? Beliau menjawab: Aku tahu sepertimana tahunya seorang doktor itu bahawa pesakit itu adalah gila.”

Berikut adalah antara pujian-pujian yang telah diberikan kepada Abd al-Rahman bin Mahdi:

  • Imam al-Syafie: “Aku tidak bertemu dengan seseorang yang setanding dengan beliau dalam bidang ini (iaitu bidang hadith).”
  • Imam Ahmad bin Hanbal: “Abd al-Rahman adalah lebih faqih daripada Yahya al-Qaththan.”
  • Imam Ahmad bin Hanbal: “Seakan-akan Ibn Mahdi ini diciptakan untuk hadith.”
  • Ali bin al-Madini: “Orang yang paling alim (tahu) dalam kalangan manusia tentang hadith adalah Abd al-Rahman bin Mahdi.”
  • Ali bin al-Madini lagi: “Adapun ilmu Abd al-Rahman dalam hadith seperti ilmu sihir.”
  • Muhammad bin Yahya: “Aku tidak pernah melihat di tangan Abd al-Rahman bin Mahdi sebarang kitab (ini bermaksud beliau membaca atau meriwayatkan hadith berdasarkan hafalannya).”

Beliau wafat di Basrah pada bulan Jumad al-Akhir tahun 198 Hijrah ketika berusia 63 tahun. [Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’, 9/206 dan Tahzib al-Tahzib, 6/281]

Kesimpulannya, Abd al-Rahman bin Mahdi merupakan salah seorang daripada tokoh-tokoh yang hebat dan beliau juga merupakan hujjah atau rujukan utama terutama di dalam bidang hadith. Ini kerana, keilmuannya diakui dan dipercayai oleh para ulama’ yang sezaman dengannya atau yang datang selepas daripadanya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dan kekuatan dalam mencontohi sifat atau akhlak yang mulia sepertimana ulama’-ulama’ Islam terdahulu. Amin. Wallahua’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Leave a Reply