Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah sebenarnya hikmah pengharaman arak, adakah sekadar kerana ianya memabukkan sahaja?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Telah datang banyak nas-nas daripada syara‘ yang secara jelas menyebutkan tentang pengharaman arak. Ini sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)
Bahkan terdapat hadith yang jelas melarang sebarang penglibatan dan aktiviti yang berkaitan dengan arak, sama ada penghasilan, penjualan dan apa jua perkhidmatan yang menggalakkan pengambilan arak. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا، وَحَامِلُهَا وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ وَسَاقِيهَا وَبَائِعُهَا، وَآكِلُ ثَمَنَهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا وَالْمُشْتَرَي لَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.”
Riwayat al-Tirmizi (1295)
Hikmah Pengharaman Arak
Dalam menjawab persoalan di atas, kami cuba menyimpulkan beberapa hikmah yang telah disebutkan oleh ilmuan Islam tentang hikmah arak ini diharamkan.
Pada hakikatnya, hikmah-hikmah ini terkait antara satu dengan yang lain, dan ianya terhenti pada satu hikmah yang utama, iaitulah menjaga akal fikiran manusia. Dan ini telah dijelaskan oleh Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti ketika menerangkan tentang hakikat maksud hikmah, iaitulah suatu sifat maknawi yang menjadi sebab kepada suatu hukum. Seperti sebab pengharaman arak, kerana ianya memabukkan, dan akal tidak dapat dipelihara melainkan dengan cara menjauhinya dari perkara yang memabukkan. (Lihat al-Muzakkirah fi Usul al-Fiqh, hlm. 50)
Antara hikmah lainnya adalah, tujuan asal pensyar‘iatan sesuatu hukum itu bagi memastikan maslahah kebaikan buat sekalian hamba-hamba Allah SWT di dunia dan menjauhkan dari sebarang mafsadah keburukan. Dan pokok pangkal yang menjamin ketercapaian tujuan asal ini kembali kepada akal fikiran, sebagaimana pokok kepada berlakunya mafsadah keburukan adalah hilangnya akal. Maka wajib menghalang apa jua perkara yang boleh menghilangkan atau mengganggu gugat kewarasan akal fikiran. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 6/287)
Perkara yang boleh membawa kepada keburukan ini disebutkan oleh ulama’ dalam bidang Usul Fiqh sebagai al-zari‘ah (الذَّرِيعَةُ), yakni perkara yang boleh membawa kepada mafsadah dan keburukan pada kebiasaannya. Terdapat satu kaedah dalam ilmu Usul yang disebut sebagai sad al-zari‘ah (سَدُّ الذَّرِيعَةِ) atau menghalang perkara yang boleh membawa kepada keburukan. Ia diaplikasikan pada bab pengharaman arak ini kerana pada kebiasaannya, orang yang hilang akal fikirannya yang waras itu cenderung kepada melakukan keburukan.
Oleh sebab yang demikian, Allah SWT menjelaskan di dalam firman-Nya:
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
(Surah al-Ma’idah: 91)
Dan benarlah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A:
الخَمرُ أُمُّ الفَواحِشِ
Maksudnya: “Arak itu ibu kepada sekalian perbuatan keji.”
Riwayat al-Tabarani (4612) dan al-Daruqutni (11372). Al-Albani menilai hadith ini sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (3345)
Sedangkan mengikut telunjuk syaitan yang secara jelas lagi nyata adalah musuh Islam itu adalah haram, dan segala perbuatan keji juga haram. Maka Allah SWT menjadikan pengharaman haram ini agar umat manusia jauh dari kedua-dua syaitan dan juga perkara keji. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ وَمَن يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.”
(Surah al-Nur: 21)
Syeikh al-Sa‘di mengatakan, di antara hikmah Allah dalam menerangkan hukum ini adalah, larangan untuk mengikuti langkah-langkah syaitan dan penjelasan mengenai perkara-perkara yang dilarang daripada perbuatan-perbuatan yang buruk lagi keji. Yang dimaksudkan dengan perbuatan keji itu adalah segala perbuatan yang dianggap keji oleh akal dan syariat seperti dosa-dosa besar disertai adanya kecenderungan hati kepadanya. Manakala perkara-perkara yang mungkar pula ialah segala yang diingkari oleh akal dan tidak diterima sebagai perbuatan yang baik.
Oleh yang demikian, perbuatan-perbuatan maksiat yang juga merupakan langkah-langkah syaitan, ia tidak terkeluar dari lingkungan perkara-perkara yang mungkar. Maka Allah melarang hamba-Nya dari hal tersebut sebagai tanda mensyukuri nikmat dan mengingat-Nya. Hal ini kerana yang demikian bagi menjaga serta memelihara mereka dari kekotoran, kehinaan, dan perbuatan-perbuatan yang keji.
Termasuk dari ihsan Allah SWT ke atas mereka, adalah melarang mereka dari semua perkara-perkara yang keji sebagaimana Allah melarang mereka dari makan racun-racun pembunuh dan seumpamanya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 563)
Beginilah sedikit sebanyak yang dapat kami kongsikan serba ringkas berkenaan hikmah pengharaman arak buat umat manusia. Moga kita semua dapat beramal dengan syari‘at Allah SWT dengan melaksanakan perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu a‘lam