Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Seluar saya terkena muntah anak, sebelum saya basuh dalam mesin basuh, saya basuh dahulu dengan tangan dan membuang muntah sehingga pada pandangan saya sudah hilang muntah di seluar itu. Selepas saya basuh tangan, saya basuh dalam mesin basuh bersama pakaian lain. Kemudian, setelah selesai basuh dalam mesin, ketika saya mahu jemur pakaian, saya nampak ada lagi sedikit muntah yang tidak tertanggal, sedikit saja. Soalan saya, macam mana hukum seluar saya dan pakaian yang lain? Kalau semua jadi najis, adakah saya perlu membasuh jua ampaian baju, bakul, tangan saya dan perkara lain yang sudah bersentuhan dengan pakaian dalam mesin tadi dalam keadaan lembab, saya was-was kadang sampai stress memikirkannya. Adakah pendapat ulama yang mengatakan muntah ini tidak najis secara mutlak?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, muntah adalah keluar kembali daripada mulut (barang yang dimakan dan lain-lain). Dalam erti kata lain, muntah adalah mengeluarkan apa yang ada di dalam mulut.[1] Dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai al-Qai’ (القَيْءُ) iaitu makanan yang keluar selepas masuk ke dalam perut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/85).
Berkenaan isu kenajisan muntah, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#3087: Kenajisan Muntah[1]
Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan muntah adalah najis dan perlu dihilangkan tiga sifat tersebut (bau, rasa, ). Namun, dalam isu ini anda telah basuhnya dan yakin bahawa kesemua muntah telah hilang. Akan tetapi, ketika anda mahu menyidainya, masih terdapat kesan-kesan muntah yang belum hilang. Oleh itu, dalam isu ini kami katakan sebaiknya seluar tersebut dibasuh semula agar benar-benar bersih dan suci. Manakala, bagi pakaian yang lain, tidak menjadi najis kerana apabila membasuh dengan mesin basuh, adanya air yang masuk dan keluar, maka statusnya menjadi suci. Begitu juga, tidaklah perlu sehingga membasuh ampaian, bakul dan seumpamanya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota kaki:
[1] https://maktabahalbakri.com/3087-kenajisan-muntah/