Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah  adab ketika pulang dari permusafiran yang lama bertemu dengan isteri ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Daripada Anas R.A, katanya:

أقْبلْنَا مَعَ رَسولِ الله صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم حَتَّى إِذا كُنَّا بِظَهْر الْمَدِينَةِ قَالَ: آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ ‏،‏‏ فَلَمْ يَزَلْ يَقُولُ ذَلِكَ حَتَّى قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ.

Maksudnya: “Kami pulang bersama Rasulullah SAW hingga sampai di Kota Madinah, lantas Baginda berdoa dengan menyebut: Kami kembali bertaubat, beribadat) آیبون تائبون عابدون لربنا حامدون kepada Tuhan kami dan memuji-Nya) Baginda kekal menyebut doa tersebut hingga kami sampai ke Kota Madinah.”

Riwayat Muslim (1345)

Apabila seseorang itu sampai di negerinya, alangkah baiknya dia berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ أَهْلِهَا وَخَيْرَ مَا فِيهَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ أَهْلِهَا وَشَرِّ مَا فِيهَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan- nya, kebaikan penduduknya dan kebaikan yang terdapat padanya. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatannya, kejahatan penduduknya dan kejahatan yang terdapat padanya.”

Dan sebahagian mereka berpendapat bahawa disunatkan untuk berdoa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ لَنَا بِهَا قَرَارًا وَرِزْقًا حَسَنًا، اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا جَنَاهَا، وَأَعِذْنَا مِنْ وَبَالِهَا، وَحَبِّبْنَا إِلَى أَهْلِهَا، وَحَبِّبْ صَالِحِي أَهْلِهَا إِلَيْنَا

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah pada kami dengannya sebagai tempat yang tetap dan rezeki yang baik. Ya Allah, kurniakanlah kepada kami dengan rezeki kebun-kebunnya” dan jauhkanlah kami daripada sebarang wabak penyakit. Kasihkanlah kami kepada penduduknya dan kasihkanlah orang- orang soleh di kalangan penduduknya kepada kami.”

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa antara adab yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila seseorang pulang dari permusafiran yang lama untuk bertemu dengan isterinya adalah tidak memasuki rumah sehinggalah isteri bersedia untuk menerima dan menjemputnya setelah sudah lama berpisah. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Jabir R.A bahawa beliau berkata:

فَلَمّا قَدِمْنا المَدِينَةَ ذَهَبْنا لِنَدْخُلَ، فَقالَ: أَمْهِلُوا حتّى نَدْخُلَ لَيْلًا، أَيْ عِشاءً، كَيْ تَمْتَشِطَ الشَّعِثَةُ، وَتَسْتَحِدَّ المُغِيبَةُ.

Maksudnya: : Kami bersama Rasulullah SAW pada peperanagan dan  Ketika kami tiba (di Madinah), kami hendak masuk ke rumah kami, maka Baginda bersabda: “Perlahankanlah perjalanan sehingga engkau masuk ke rumah engkau pada waktu malam – iaitu waktu isyak – supaya isteri engkau sempat menyikat rambutnya yang kusut, dan dapat mencukur bulu kemaluan.”

Riwayat Bukhari(5247)

Hadith ini menyatakan bahawa apabila seorang isteri terpisah jauh dari suaminya, dia mungkin kurang memberi perhatian kepada penampilannya, rambutnya mungkin kusut, dan kurang menjaga kebersihan badannya. Dia tidak suka jika suaminya tiba-tiba menjumpainya dalam keadaan seperti ini dan dia ingin bersiap sedia dengan cara terbaik ketika suaminya datang kepadanya. Nabi SAW memerintahkan kepada pasukan yang berperang dengannya apabila mereka mendekati Madinah, agar mereka tidak masuk ke rumah mereka sehingga isteri mereka bersedia untuk menyambut kedatangan mereka dengan keadaan yang sesuai untuk bertemu suami yang telah lama berpisah dengannya.

Petunjuk yang disertai dengan keagungan dan hikmah ini terdapat padanya kesan terhadap suami isteri seperti memelihara keharmonian dalam rumah tangga. Setiap kali pasangan itu melihat sesuatu yang membangkitkan kesenangan pada pasangan mereka dan memenuhi keinginan mereka, maka cinta dan kasih sayang mereka makin bertambah. Kesannya adalah kehidupan perkahwinan dapat dilalui dengan kebahagiaan dan kesejahteraan (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/355)

Imam al-Nawawi dalam isu ini menyatakan bahawa: Makruh bagi sesiapa yang pulang dari musafir yang panjang mendatangi isteri pada malam hari secara tiba-tiba. Adapun bagi siapa yang melakukan  permusafiran yang  dekat dan isterinya menganggap bahawa suaminya akan mendatanginya pada malam hari maka dalam situasi tersebut adalah tidak mengapa. (Lihat Syarh al-Nawawi a’la Muslim, 13/71)

Justeru kami katakan di sini dengan kemudahan yang ada pada masa kini  adalah lebih baik bagi suami untuk memaklumkan terlebih dahulu kepada isteri sebelum pulang bertemu dengannya . Ini bagi memudahkan urusan isteri untuk menyiapkan apa yang patut disediakan untuk menyambut kepulangan suami baik persiapan dirinya mahupun persiapan rumah dan sebagainya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam

Leave a Reply