Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Apakah makna bacaan semasa i’tidal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat hadith sahih daripada Nabi SAW mengenai zikir yang dibaca ketika i’tidal yang diriwayatkan oleh Rifa’ah bin Rafi’ RA, beliau berkata:

كُنَّا يَوْمًا نُصَلِّي وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرَّكْعَةِ قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ “، قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قَالَ: مَنِ المُتَكَلِّمُ، قَالَ: أَنَا، قَالَ: رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلاَثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ

Maksudnya: Kami pernah solat bersama Rasulullah SAW, saat bangun dari ruku’ ia membaca سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ. Tiba-tiba ada seorang sahabat yang membaca, رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ (Wahai Rabb kami, bagi-Mu segala puji, aku memuji-Mu dengan pujian yang banyak, yang baik dan penuh dengan barakah). Selepas selesai solat, Rasulullah SAW bertanya, ‘Siapa yang mengucapkan kalimah itu?’ Sahabat itu berkata, ‘Saya’. Kemudian Rasulullah SAW bersabda, ‘Aku melihat lebih tiga puluh malaikat berebut untuk menjadi yang pertama kali mencatatnya (pahalanya),’”

Riwayat al-Bukhari (799), al-Nasaie (1062), dan Ahmad (18996)

Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata di dalam syarahnya: “Secara zahirnya, para malaikat tersebut bukan malaikat penjaga, kerana terdapat di dalam kitab Sahihain (al-Bukhari dan Muslim), hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, marfu’ kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang mengelilingi jalan-jalan mencari ahli zikir”. Hal ini juga menjadi dalil bahawa sebahagian daripada amalan ketaatan ditulis oleh malaikat yang bukan tugasnya menjaga catatan amalan.” (Lihat Fath al-Bari, 2/286)

Ibn Rejab al-Hanbali pula di dalam kitab syarahnya menyebut: “Hadith ini menunjukkan kelebihan zikir ini di dalam solat, dan makmum boleh menambah tahmid dan pujian kepada Allah, sebagaimana pandangan mazhab al-Syafie dan riwayat daripada mazhab imam Ahmad. Contoh bagi zikir adalah baik dilakukan di dalam i’tidal daripada ruku’ ketika solat fardhu, kerana para sahabat R.Anhum kebiasaannya solat di belakang Nabi SAW pada solat fardhu, serta mereka tidak banyak solat sunat dibelakang baginda SAW. Dalam hadith ini juga menjadi dalil bahawa tidak makruh makmum menjaharkan (mengangkat suara) sekali sekala sebahagian daripada zikirnya di belakang imam, sebagaimana tidak makruh imam kadang-kadang menjaharkan sebahagian daripada bacaannya pada solat di siang hari.” (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab, 7/202-203)

Selain itu, terdapat juga hadith di dalam Sahih Muslim yang menyebutkan bacaan lain di dalam I’tidal sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Aufa RA, beliau bekata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا رَفَعَ ظَهْرَهُ مِنَ الرُّكُوعِ، قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، اللهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءُ السَّمَاوَاتِ، وَمِلْءُ الْأَرْضِ وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْد

Maksudnya: “Rasulullah SAW jika mengangkat kepalanya dari ruku’ beliau mengucapkan: Allah mendengar bagi sesiapa yang memujiNya, Ya Allah, Tuhan kami bagi-Mu pujian sepenuh langit dan bumi, sepenuh apa yang Engkau mahukan lebih daripada itu”

Riwayat Muslim (476)

Begitu juga daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ قَالَ : رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ مِلْءُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ، أَهْلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ، أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ، وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ، اللهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ “

Maksudnya: “Rasulullah SAW jika mengangkat kepalanya dari ruku’ beliau mengucapkan: Tuhan kami bagi-Mu pujian sepenuh langit dan bumi, sepenuh apa yang Engkau mahukan lebih daripada itu, yang memiliki semua pujian dan kebaikan, yang paling berhak diucapkan oleh setiap hamba, dan setiap daripada kami adalah hambaMu. Ya Allah tidak ada yang boleh menghalang apa yang Engkau berikan. Dan tidak ada yang boleh memberikan apa yang Engkau halang. Dan segala daya upaya tidak bermanfaat kecuali dengan izinMu, seluruh kekuatan hanya milikMu).”

Riwayat Muslim (477)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan bab ini menyebut: “Pada hadith ini mempunyai faedah yang banyak. Antaranya, sunat untuk mengucapkan zikir ini, serta wajib beri’tidal dan bertenang padanya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/193)

Dalam menjawab persoalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Pensyariatan zikir ini adalah dalam rukun ini setelah bangun daripada ruku’ dan mengucapkan “سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ”, dan yang wajib daripadanya ialah lafaz “رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ”. Setiap kali tambahan daripadanya adalah lebih baik sehingga akhirnya. Ia adalah masyru’ untuk imam, makmum, dan orang yang solat seorang diri, sama ada dalam solat fardhu atau solat sunat. Zikir ini merupakan jawapan kepada imam ketika imam berkata, “سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” dan zikir ini sesuai untuk memuji Allah SWT.

Makna zikir iktidal ini adalah seperti berikut:

  • “رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ” Disebut dalam Syarh al-Muhazzab: Wahai Tuhan kami, kami taat dan memuji-Mu, bagi kamu pujian itu. Ini telah disabitkan melalui hadith-hadith sahih daripada pelbagai riwayat: “رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ” dengan tambahan huruf ‘wau’.
  • “مِلْءُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ” bertujuan untuk mengagungkan kebesaran dan qadarnya, maknanya: Wahai Tuhan kami, Engkau layak menerima pujian yang sekiranya ia adalah sesuatu yang berbentuk, ia pasti memenuhi seluruhnya.
  • “وَمِلْءُ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ” daripada kerajaan-Mu yang luas yang tidak kita ketahui.
  • “أَهْلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ” bermaksud: Engkau adalah yang layak menerima pujian, yang diberikan oleh seluruh makhluk, dan kemuliaan adalah kesempurnaan dan keluasan kemuliaan tersebut.
  • “أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ” bermaksud: Engkau lebih berhak dengan apa yang hamba-Mu katakan, iaitu pujian dan sanjungan.
  • “وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ” maknanya adalah seperti dalam ayat Al-Quran: “إِن كُلُّ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ إِلَّآ ءَاتِى ٱلرَّحْمَـٰنِ عَبْدًۭا”{Tiap-tiap yang ada di langit dan di bumi, melainkan datang kepada Rahman sebagai hamba.} [Surah Maryam: 93] Iaitu, setiap makhluk di langit dan bumi adalah tunduk kepada kehambaan kepada Allah SWT, tunduk dan patuh kepada-Nya pada Hari Kiamat.
  • “لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ” bermaksud: Tidak ada halangan terhadap apa yang Engkau berikan.
  • “وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ” bermaksud: Tidak ada yang memberi kecuali yang Engkau kehendaki dengan hikmah dan keadilan-Mu.
  • “وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ” al-Jadd ialah nasib atau keberuntungan; maksudnya, kekayaan seseorang tidak akan memberikan manfaat di sisi-Mu, tidak akan melindunginya daripada seksaan dan tidak akan memberikan kepadanya sebarang ganjaran, kerana yang bermanfaat hanyalah yang Engkau kehendaki.

Imam al-Nawawi berkata: Dalam zikir ini terkandung kekayaan untuk menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT, mengakui kekuasaan dan kebesaran-Nya, serta keunikan dan kebijaksanaan-Nya dalam mengatur makhluk-makhluk-Nya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/228)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply