Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum sujud atas bulu atau tikar dan lain-lain?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sujud adalah merupakan salah satu dari rukun fi’li (Perbuatan) daripada rukun-rukun dalam solat. Bagi setiap rukun-rukun tersebut, terdapat syarat-syarat sahnya yang tersendiri. Berkenaan rukun sujud, kami membawakan beberapa hadis Nabi SAW yang menjadi istidlal mazhab Syafi’ie. Antaranya ialah:

إِذَا سجَدْتَ فمَكِّنْ جَبهَتَك، وَلَا تَنْقُرْ نَقْرًا

Maksudnya: “Apabila kamu sujud, tetapkanlah dahi kamu dan jangan lakukannya terlalu laju.”

Riwayat Ibnu Hibban (1884)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ: عَلَى الْجَبْهَةِ – وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ – وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ

Maksudnya: “Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud: Yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki.”

Riwayat Bukhari (812) dan Muslim (490)

Dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafie, terdapat 7 syarat sah bagi sujud, iaitu:

  • Hendaklah ia sujud di atas tujuh anggota
  • Hendaklah dahinya terbuka
  • Meletakkan kepala sekira-kira dahi menempel (ada tekanan) pada tempat sujud
  • Tidak ada niat lain selain sujud
  • Tidak sujud diatas barang yang bergerak dengan pergerakannya
  • Kedudukan punggung lebih tinggi dari kepala
  • Thama’ninah (Lihat Nail al-Raja’, hlm. 179 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/136)

Imam al-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya anggota sujud itu ada tujuh, dan seharusnya seseorang yang sujud itu bersujud dengan tujuh anggota tersebut, serta sujud bersama dengan dahi dan hidung kesemuanya. Anggota dahi wajib diletakkan dengan terbuka di atas lantai, dan sunat untuk meletakkan sebahagian daripada hidung. Jika dia meninggalkan sentuhan hidung pada lantai, maka sujudnya sah, tetapi jika dia meninggalkan sentuhan dahi pada lantai, maka tidak sah sujudnya. Ini adalah pandangan mazhab al-Syafi’e, Malik, dan kebanyakan ahli ilmu.” Beliau menyebut lagi, ”Jumhur mengatakan bahawa yang zahir di dalam hadith menyebutkan 7 anggota, tetapi jikalau dibilang anggota dahi dan hidung, bilangannya akan menjadi lapan, maka anggota hidung hukumnya sunat di dalam anggota sujud.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/208)

Dalam sebuah hadith riwayat Abu Humaid RA, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا سَجَدَ أَمْكَنَ أَنْفَهُ وَجَبْهَتَهُ مِنَ الأَرْضِ، وَنَحَّى يَدَيْهِ عَنْ جَنْبَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ.

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW bila bersujud, baginda akan sentuhkan hidungnya dan dahinya dengan tanah dan baginda menjauhkan kedua-dua belah tangan daripada dua rusuknya dan meletakkan kedua-dua belah tapak tangan selari dengan dua bahunya.”

Riwayat al-Tirmizi (270)

Imam al-Tirmizi setelah meriwayatkan hadith ini menyebut,”Dalam bab ini diriwiyatkan juga daripada Ibn Abbas R.anhuma, Wail bin Hujr RA, Abu Sa’id RA. Hadith Abu Humaid ini merupakan hadith Hasan Sahih. Ahli ilmu mengatakan, seseorang mesti sujud dahi bersama dengan hidung, tetapi sekiranya dia sujud tanpa mengenakan hidung, maka sujudnya sah.” sebahagian ahli ilmu pula mengatakan, tidak sah kecuali dia sujud bersama dahi dan hidung.” (Lihat Sunan al-Tirmidzi, 2/59)

Syeikh al-Mubarakfuri dalam syarahnya menyebutkan,”Jumhur mengatakan bahawa wajib sujud dengan dahi tanpa disekalikan dengan hidung.” (Lihat Tuhfah al-Ahwadzi, 2/125)

Terdapat juga hadith yang menyebutkan bahawa Rasulullah SAW tidak menyebutkan anggota hidung di dalam sujud, antaranya riwayat daripada Ibn Abbas R.anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّبِيُّ صلّى الله عليه وسلم أَنْ يَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْضَاءٍ، وَلاَ يَكُفَّ شَعَرًا وَلاَ ثَوْبًا: الجَبْهَةِ، وَاليَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ، وَالرِّجْلَيْنِ

Maksud: “Nabi SAW memerintahkan untuk melaksanakan sujud dengan tujuh anggota, serta tidak menahan rambut dan tidak juga pakaian (tahan daripada sujud): Dahi, dua tangan, dua lutut, dan dua kaki.”

Riwayat al-Bukhari (809)

Di dalam hadith ini, tidak disebutkan anggota hidung, terdapat juga hadith yang diriwayatkan daripada Jabir RA, beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْجُدُ بِأَعْلَى جَبْهَتِهِ عَلَى قِصَاصِ الشَّعْرِ

Maksudnya:Aku telah melihat Rasulullah SAW sujud ditempat paling tinggi di dahinya atas hujung rambutnya.”

 Riwayat al-Darqutni (1320)

Syeikh ‘Ubaidillah bin Muhammad Abd al-Salam al-Mubarakfuri menukilkan riwayat daripada Tamam di dalam fawaidnya dan selainnya: “Apabila baginda sujud di bahagian atas pada dahi, maka hidung baginda tidak terkena pada tempat sujud.” ( Lihat Mir’ah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 3/205)

Justeru, dapat difahami bahawa, kebanyakan para ‘ulama mengatakan bahawa yang wajib dalam anggota sujud adalah dahi, manakala hidung pula merupakan anggota sujud yang sunat, tanpa kami nafikan pandangan sebahagian ulama’ yang mengatakan kedua-duanya merupakan anggota sujud yang wajib.

Hukum sujud atas bulu atau tikar dan lain-lain

Decara asasnya, Rasulullah SAW telah menetapkan tujuh anggota perlu disentuhkan di atas tempat sujud ketika sujud iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أنْ أسْجُدَ على سَبْعَةِ أعْظُمٍ على الجَبْهَةِ، وأَشارَ بيَدِهِ على أنْفِهِ واليَدَيْنِ والرُّكْبَتَيْنِ ، وأَطْرافِ القَدَمَيْنِ

Maksudnya: “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, iaitu dahi (sambil Baginda SAW mengisyaratkan tangganya ke bahagian atas hidung), kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.”

Riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Dinyatakan dalam Hasyiyah al-Rawdh: “Dan tidak dimakruhkan sujud di atas bulu, kain tikar, dan seluruh peralatan.” Imam al-Nawawi berkata: “Ini adalah pendapat yang diterima oleh kebanyakan ulama.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/231-232)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum sujud di atas kain bulu yang empuk dan lembut dan tikar adalah sah dan dibolehkan. Hal ini kerana antara syarat sah sujud adalah meletakkan tujuh anggota iaitu iaitu dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki pada tempat sujud.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply