#4170: Sahabat yang Banyak Meriwayatkan Hadis 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan, siapa sahabat yang paling banyak dalam meriwayatkan hadith?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Berkenaan dengan sahabat yang merawikan hadith, sudah tentu amat ramai. Tetapi yang begitu tegar dan banyak meriwayatkan hadith, para ulama’ menyebut 7 orang iaitu:

  • Abu Hurairah R.A meriwayatkan sebanyak 5374 buah hadith.
  • Ibn Umar R.Anhuma meriwayatkan 2630 hadith.
  • Anas bin Malik R.A meriwayatkan 2286 hadith.
  • Aisyah R.Anha meriwayatkan 2210 hadith.
  • Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan 1060 hadith
  • Jabir R.Anhuma meriwayatkan 1540 hadith.
  • Abu Sa’id al-Khudri R.A meriwayatkan 1170 hadith.

Inilah 7 orang yang banyak meriwayatkan hadith Nabi SAW. Kenyataan ini diambil daripada Musnad Baqi’ ibn Makhlad.

Antara mereka yang lain pula ialah:

  • Ibn Mas’ud R.A meriwayatkan 848 buah hadith
  • Abdullah bin Amr al-As R.Anhuma meriwayatkan 700 hadith

(Lihat Ibn Hazm, hlm. 79-80)

Sebab terjadinya jumlah yang berbeza kembali kepada masa, tempat dan keadaan seseorang itu. Jika sekiranya dari segi masa, umur seseorang juga diambilkira, dan dari segi tempat juga bagaimana dia bersama Rasulullah SAW dan keadaan seseorang juga sejauh mana dia mewakafkan diri untuk belajar dan menghafaz hadith-hadith daripada para sahabat Rasulullah SAW.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *