Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Islam melarang untuk membunuh diri?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Bunuh Diri

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, bunuh diri bermaksud seseorang yang mengambil nyawanya sendiri dengan sengaja sama ada dengan cara menembak, menikam, menggantung diri, terjun dari tempat tinggi dan seumpamanya.

Statistik Bunuh Diri di Malaysia

Menurut Majlis Keselamatan Negara, terdapat peningkatan yang mendadak dilaporkan yang mana pada jumlah kes 2020 sebanyak 631 kes, manakala pada 2021 ia telah mencecah 1142 kes. Hal ini juga dikaitkan dengan isu masalah mental, yang mana pada 18 Jun 2022, Setiausaha Agung PBB, Antonio Gutteres menyatakan hampir 1 billion penduduk dunia mengalami masalah mental.

Kesimpulan

Justeru menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum membunuh diri adalah haram dan berdosa besar. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

 وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

(Surah al-Baqarah: 195)

Begitu juga, sabda Nabi SAW:

مَنَ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا وَمَنْ شَرِبَ سَمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا وَمَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا ‏

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti, besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti, ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.”

 Riwayat Muslim (109)

Oleh itu, antara hikmah Allah melarang hambanya dari membunuh diri adalah bagi tidak menyakiti diri sendiri dan mensyukuri nikmat hidup yang Allah kurniakan kepada kita. Setiap yang berlaku di dunia ini, semuanya telah termaktub di Luh Mahfuz dan kita sebagai manusia wajib beriman dengan qada dan qadar yang telah ditetapkan. Namun, dalam perjalanan hidup kita ini, hanya kita yang menentukan sama ada mahu ke arah kejayaan/kebenaran atau pun sebaliknya. Oleh sebab itu adanya konsep tawakal yakni berserah kepada Allah SWT setelah berusaha dan berdoa. Ingatlah, setiap orang mempunyai rezeki dan ujian masing-masing yang harus di tempuh. Allah SWT memberi ujian kepada seseorang itu mengikut kemampuan hambanya sebagaimana firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

(Surah al-Baqarah: 286)

Kami katakan juga, bunuh diri merupakan kemuncak perasaan kecewa dan putus asa, sedangkan ia amat dilarang dalam Islam. Ini menandakan seseorang itu mengikut jejak langkah syaitan. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

Surah Yusuf (87)

Al-Tabari menjelaskan: “Yakni Allah berfirman bahawa janganlah seseorang itu berputus asa daripada (mengharapkan) jalan keluar daripada-Nya, rahmat-Nya, dan janganlah dia bertindak memutuskan harapan kepada-Nya, melainkan orang-orang kafir yakni kaum yang membantah kemampuan Allah untuk menciptakan apa yang Dia kehendaki.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 12/232)

Sayyid Qutb pula berkata: “Orang-orang beriman, yang mempunyai hati yang berhubung mesra dengan Allah dan mempunyai kelegaan dan keselesaan yang dipupuk oleh bayu rahmat Allah, mereka tidak berputus asa daripada rahmat Allah walaupun mereka dikepung oleh kesusahan dan penderitaan. Hal ini kerana orang yang beriman itu sentiasa berada dalam kelegaan dan keselesaan di bawah naungan iman dan sentiasa berada dalam hubungan mesra dengan Allah. Mereka juga sentiasa tenteram disebabkan keyakinan mereka kepada Allah tatkala mereka dilanda kesusahan dan penderitaan yang mencemaskan. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/339)

Selain itu, Allah SWT turut berfirman:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Surah al-Zumar (53)

Mengenai ayat ini, al-Tabari berkata: “Yakni, janganlah berputus asa daripada rahmat Allah. Inilah seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 22/398)

Al-Syaukani pula mengatakan bahawa ayat ini menjadi ayat yang paling memberikan harapan dalam al-Quran kerana mengandungi khabar gembira paling besar. Keistimewaan ayat ini, pertamanya, kerana penyandaran hamba kepada Allah SWT sebagai bentuk penghormatan dan khabar gembira. Kemudian diterangkan bahawa sifat mereka adalah gemar melakukan dosa dan maksiat secara berlebihan, namun diikuti dengan larangan berputus asa daripada mendapatkan rahmat bagi mereka. Maka, dapat difahami bahawa larangan beputus asa ini lebih utama (min bab aula) untuk diterapkan kepada pelaku dosa yang tidak secara berlebihan, malah boleh jadi inilah maksud utama daripada ayat ini. (Lihat Fath al-Qadir, 6/295)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Wallahu a‘lam

Leave a Reply