Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah tafsiran ayat “فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ” ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.”

(Surah al-Baqarah: 223)

Bahkan Rasulullah SAW juga menggalakkan para sahabat untuk berkahwin dengan wanita yang lebih muda agar dapat bermain dan bermesra dengan mereka. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هَلَّا تَزَوَّجْتَ بِكْرًا تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ

Maksudnya: “Mengapakah engkau tidak berkahwin dengan anak dara yang engkau boleh bermain dengannya dan dia bermain dengan engkau?”

Riwayat al-Bukhari (2967)

Menjawab bagi persolan di atas apabila berlaku akad nikah antara suami isteri, antara peranan kedua-duanya adalah untuk menjadi pakaian antara satu sama lain. Firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan  bahawa maksud  yang dikehendaki dari ayat di atas adalah “mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka”. Manakala dalam Tafsir al-Tabari menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah berkumpulnya dua jasad menjadi satu, iaitu “bersetubuh”. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 3/490)

Dalam menjalani hubungan kelamin bersama isteri, suami boleh menggaulinya mengikut kehendaknya selagimana mengikut had dan ketetapan syara’. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ

Maksudnya: “Datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.”

(Surah al-Baqarah:222)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Iaitu ada bahagian depan bukan pada bahagian belakang, kerana itu adalah tempat untuk bercucuk tanam.  (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.100)

Begitu juga Syeikh Abu Bakar al-Jazairi menukilkan dalam tafsirannya: Gauilah isteri pada bahagian hadapan ketika mereka dalam keadaan suci (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/206)

Al-Baghawi juga menyatakan: Setubuhilah mereka sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT di tempat yang perlu dijauhi ketika mereka dalam keadaan tidak suci iaitu pada bahagia faraj. Yang demikian juga dikatakan oleh Mujahid, Qartadah dan Ikrimah. Ibn ‘Abbas berkata: Gaulilah mereka pada bahagian faraj dan janganlah melampau ke bahagian yang lain iaitu bahagian belakang. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/259)

Justeru  melalui ayat al-Quran dan penafsiran yang diberikan di atas, jelaslah bahawa Allah memerintahkan mengauli isteri pada bahagian depan dan membenarkan suami mendekati isterinya dengan cara yang dikehendaki olehnya, selagiman mengikut ketetapan syara’. Namun, tidak dibenarkan baginya untuk mengauli isteri pada bahagian belakang kerana tindakan tersebut diharamkan oleh syara’

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ اَللَّهُ إِلَى رَجُلٍ أَتَى رَجُلاً أَوْ اِمْرَأَةً فِي دُبُرِهَا

Maksudnya: “Allah tidak akan memandang seorang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan seorang lelaki lain atau dengan seorang wanita melalui dubur.”

Riwayat al-Tirmizi (1165), al-Nasa’ie (3481) dan Abu Dawud (4451)

Diriwayatkan pula daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabdaa:

لاَ يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَى رَجُلٍ جَامَعَ امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا ‏

Maksudnya: “Allah tidak melihat kepada lelaki yang menyetubuhi isteri mereka melalui duburnya.”

Riwayat Ibn Majah (1923) dan al-Tirmizi (1165)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini serta mengurniakan kepada kita keharmonian dalam rumah tangga. Ameen. Kami akhir dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply