Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukumnya menghidu bau masakan babi? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mukadimah

Pada asasnya, perbuatan menghidu makanan kadang-kadang dilihat oleh sebahagian orang sebagai suatu yang tidak manis, lebih-lebih lagi jika kita sebagai tetamu menerima jemputan di rumah orang lain. Oleh sebab itu, sebahagian fuqaha seperti al-Khatib al-Syirbini, al-Syarwani, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari dan Ibn ‘Abidin memasukkannya sebagai antara adab ketika makan. (Lihat Radd al-Muhtār ‘ala al-Durr al-Mukhtār, 6/340; al-Ghurar al-Bahiyyah fi Syarh al-Bahjah al-Wardiyyah, 4/214; Mughni al-Muhtaj, 4/412; Hasyiah al-Syarwani, 7/438.)

Selain itu, perbuatan menghidu makanan juga dikhuatiri akan memudaratkan makanan tersebut kerana kemungkinan nafas atau air yang keluar dari hidung terkena pada makanan itu ketika merapatkan hidung bagi menghidunya. Akan tetapi jika kita menghidunya bagi mengenalpasti adakah makanan itu masih elok ataupun tidak, dan perbuatan menghidu itu tidak memberi kesan kepada makanan tersebut, ma ia tidak mengapa.

Begitu juga kita mengetahui bahawa babi termasuk dalam kategori najis mughallazah (berat) dan wajib dicuci mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan tujuan yang terpenting — yakni untuk dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. ( Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77.)

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: “atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor.”

(Surah al-An‘am: 145)

Bau masakan daging babi

Mengenai hal ini, kami melihat ia berkait rapat dengan persoalan mengenai asap atau wap yang terhasil daripada najis. Para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum asap yang terhasil daripada pembakaran najis kepada dua pendapat sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi iaitu:

  • Pendapat pertama menyebutkan bahawa ia dianggap sebagai najis kerana ia terhasil daripada sumber yang najis. Ini merupakan pendapat yang kuat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i, mazhab Hanbali dan Abu Yusuf daripada kalangan ulama mazhab Hanafi.
  • Pendapat kedua pula menyebutkan bahawa ia tidak dianggap sebagai najis kerana asap yang terhasil daripada najis sepertimana wap yang keluar dari rongga badan. Ini juga merupakan fatwa dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, pendapat yang muktamad dalam mazhab Maliki dan pendapat sebahagian ulama mazhab Hanbali yang menyatakan bahawa asap yang terhasil daripada najis adalah dianggap bersih. Manakala ulama mazhab Hanafi berpendapat sedemikian — yakni ia tidak dianggap najis — kerana mengambil jalan istihsan dan menghindari kesukaran. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/579; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 20/240.)

Kemudian, Imam al-Nawawi turut menyebut pendapat daripada penulis kitab al-Hawi yang menyatakan, jika kita katakan bahawa asap yang terhasil daripada najis adalah najis, maka adakah ia najis yang dimaafkan? Dalam isu ini, terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama. Jika kita katakan ia adalah najis yang tidak dimaafkan, maka mengelap jelaga yang terhasil daripada pembakaran tadi dapat dibersihkan — yakni disucikan dengan hanya menggunakan kain kering, dan ia tidak dapat disucikan dengan menggunakan kain yang lembap melainkan setelah dibasuh dengan air.

Manakala penulis kitab al-Bayan pula berpendapat, jika kita katakan asap itu adalah najis. Apabila bau asap tersebut melekat pada pakaian, ia dimaafkan sekiranya sedikit dan sekiranya banyak ia tidak boleh disucikan melainkan setelah dibasuh — dengan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/579-580.)

Selain itu, al-Ramli ada menyebutkan bahawa gas ammonia[1] yang sukar dielakkan, hukumnya kekal sebagaimana yang asal iaitu suci — berdasarkan kaedah ‘Umum al-Balwa[2] — melainkan jika dipastikan atau diyakini ia daripada asap najis atau ada dua orang yang adil menyebutkan bahawa ia terhasil daripada najis, maka ia termasuk dalam kategori najis. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/247.)

Namun, zahir daripada kenyataan al-Ramli dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i, beliau berpendapat, jika asap itu sedikit ia dimaafkan secara mutlak. Adapun Ibn Hajar al-Haitami pula berpendapat, dimaafkan sekiranya asap itu sedikit atau asap itu terhasil bukan daripada najis mughallazah. Sekiranya ia terhasil daripada najis mughallazah, maka ia dikira najis sama ada sedikit ataupun banyak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 20/240.)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa terhidu bau masakan daripada bahan-bahan tidak halal atau bahan-bahan yang dianggap najis seperti daging babi dan seumpamanya, adalah termasuk dalam perkara yang sukar untuk dielakkan. Lebih-lebih lagi bau tersebut dibawa oleh udara dan kita pula bernafas dengan menyedut udara tersebut. Justeru tidak mengapa terhidunya dan termasuk dalam perkara yang dimaafkan berdasarkan kaedah ‘Umum al-Balwa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 Februari 2022 bersamaan 6 Rejab 1443H

[1] Gas tidak berwarna, berbau sengit dan banyak digunakan dalam perusahaan bahan letupan, baja dan juga sebagai bahan penyejuk untuk peti ais. (Lihat http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=ammonia.)

[2] sesuatu yang sudah menjadi umum atau biasa berlaku.

Leave a Reply