Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah nabi pernah menjamu walimah dengan dua cupak syair? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).

Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. (Lihat Fiqh al-Manhaji 2/92).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:

‏ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.

Riwayat Muslim (1427)

Pernikahan merupakan anugerah dan kurniaan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada hambanya. Oleh yang demikian cara menzahirkan kesyukuran adalah dengan melakukan amal soleh. Mengandakan walimah termasuk dalam amal soleh sebagi menzahirkan kesyukaran kepada Alah SWT. Firman Allah SWT:

pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا

Maksudnya: Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur.

(Surah Saba’:13)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Rasulullah SAW ketika mengahwini salah seorang dari isteri Baginda, Baginda pernah melakukan walimah dengan hanya dua cupak dari syai’r (Barli) disebabkan Baginda tidak memiliki melainkan dengannya. Ini menunjukkan Baginda tidak mengabaikan sunnah walimah walaupun dalam keadaan hidupnya yang sulit. Ia juga menunjukkan bahawa sah mengadakan walimah meskipun dengan sedikit makanan.

Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada sofiyyah Binti Syaibah R.Anha bahawa beliau berkata:

 أَوْلَمَ النبيُّ ﷺ على بَعْضِ نِسائِهِ بمُدَّيْنِ مِن شَعِيرٍ

Maksudnya: Nabi SAW mengadakan walimah untuk salah seorang isterinya dengan hidangan dua cupak barli

Riwayat Bukhari (5172)

Hadith ini menunjukkan walimah seharusnya dilaksanakan mengikut keadaan dan kemampuan. Tidak ada batasan yang menghalang dari membuatnya dalam jumlah yang lebih sederhana. Ini menunjukkan bahawa ia bukanlah suatu kewajipan yang  yang harus dipatuhi, kerana keperluan yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya adalah jelas dan telah ditetapkan. (Lihat al-Taudih Li Syarh al-Jami’ al-Sahih, 24/527)

Hadith ini menunjukkan bahawa mengadakan walimah merupakan sunnah yang dituntut oleh syara’. Rasulullah tidak meninggalkannya walaupun dalam keadaan kemiskinan dan kekurangan. Ia juga menunjukkan kesabaran Rasulullah s.a.w dalam menghadapi kekurangan dan kesempitan hidup. (Lihat Kasyf al-Musykil Min Hadith al-Sahihain, 4/486)

Justeru kami katakan di sini berdasarkan hadith di atas kita dapat fahami bahawa Rasulullah SAW pernah menjamu walimah secara sederhana dan mengikut kemampuannya  dengan  hanya dua cupak barli. Oleh yang demikian,   mengadakan walimah merupakan perkara sunat yang dianjurkan oleh syara’ bagi menzahirkan kesyukuran terhadap perkahwinan yang telah dilakukan. Ia berbeza mengikut hal keadaan seseorang dan tidak ada had yang diwajibkan dalam melaksanakannya baik secara sederhana atau besar besaran selagi mana tidak membawa kepada pembaziran.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahua’lam

Leave a Reply