Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya? Khulu’ dikira fasakh atau talak? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khulu’ bermaksud perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talak’.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ  فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ  وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ  فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ  تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا  وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿229﴾ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 229-230)

Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127)

Sekiranya telah berlaku tiga kali penceraian secara khulu’ maka haram untuk lelaki itu menikahi isterinya selagi wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki lain. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/202)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan isu ini merupakan isu yang diperselisihi dalam kalangan ulama. Kami nyatakan sebagaimana yang berikut:

Pendapat pertama: Penceraian secara Khulu’ adalah dikira talak. Yang demikian merupakan pandangan jumhur ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, dan Qoul Jadid daripada mazhab Syafi’e  dan satu riwayat daripada mazhab Hanbali. Ia juga merupakan pandangan al- Auzai’e dan al-Thauri. Pandangan ini juga dinisbahkan kepada Uthman Bin ‘Affan, Ibn Mas’ud dan Ibn ‘Umar.

Al-Mawardi dalam isu ini beliau menyatakan bahawa:  Sekiranya suami telah melafazkan khulu’ disertakan dengan gantian maka ia merupakan talak yang sarih sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Umm, al-Imla’ dan Ahkam al-Quran. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 10/9)

Ibn Abd al-Bar al-Maliki menyatakan bahawa: Khulu’ bukanlah fasakh, ia merupakan talak bain. (Lihat al-Kafi fi Fiqh Ahi al-Madinah, 2/593 )

Begitu juga al-Mardawi al-Hanbali menyatakan bahawa:  Riwayat yang kedua dalam perkara  ini menyatakan bahawa  ia merupakan talak bain pada setiap perkara. (Lihat al-Insaf, 8/329)

Mereka berdalilkan firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ۗ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Mereka juga berdalilkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّ امْرَأَةَ ثَابِتِ بْنِ قَيْسٍ أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ثَابِتُ بْنُ قَيْسٍ، مَا أَعْتِبُ عَلَيْهِ فِي خُلُقٍ وَلاَ دِينٍ، وَلَكِنِّي أَكْرَهُ الكُفْرَ فِي الإِسْلاَمِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَتَرُدِّينَ عَلَيْهِ حَدِيقَتَهُ؟» قَالَتْ: نَعَمْ. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اقْبَلِ الحَدِيقَةَ وَطَلِّقْهَا تَطْلِيقَةً».

Maksudnya : Isteri Thabit bin Qais datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak menyalahkan Thabit bin Qais atas kekurangannya pada akhlak dan agamanya, tetapi aku tidak menyukai kekufuran dalam Islam (kehidupan tidak mengikut ajaran Islam).” Rasulullah SAW bersabda: “Adakah engkau sanggup memulangkan semula kebunnya kepadanya?” Beliau menjawab: “Ya.” Rasulullah SAW bersabda (kepada Thabit): “Terimalah kebun itu dan talaklah dia dengan talak satu.”

Riwayat Bukhari(5273)

Pendapat Kedua:  Penceraiaan secara khulu’ adalah dikira fasakh. Ini merupakan pandangan masyhur dari mazhab Hanbali dan Qoul Qadim Bagi al-Syafi’e. Begitu juga padangan dari Abu Ishak dan Abi Thaur serta pandangan yang dipilih oleh Ibn Taimiyyah.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Qoul qadim dalam mazhab Syafi’i adalah khulu’ merupakan fasakh yang tidak mengurangkan bilangan talak dan dibolehkan untuk memperbaharui nikahnya selepas khulu’ tanpa mengira bilangan talak. (Lihat Raudah al-Talibin, 7/375)

Al-Mardawi dalam isu ini juga beliau menyatakan : Pandangan yang sahih di sisi mazhab adalah khulu’ itu dikira fasakh dan ia tidak mengurangi bilangan talak. Pandangan ni juga sebagaiman yang dipegangan oleh para sahabat. (Lihat al-Insaf, 8/329 )

Mereka berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Rabi’ah Binti Ma’uz bahawa beliau berkata:

 أنَّها اختلعت على عَهدِ النَّبيِّ ﷺ فأمرَها النَّبيُّ ﷺ، أو أمرت أن تعتدَّ بحيضةٍ

Maksudnya: Bahawasanya beliau telah melakukan khulu di zaman Rasulullah SAW lalu Baginda memerintahkannya untuk melakukan ‘iddah dengan sekali haid.

Riwayat Tirmizi(1158)

Wajah pendalilan daripada hadith di atas ialah: Jika khulu’ itu dikatakan talak, nescaya Rasulullah SAW memerintahkan untuk melakukan ‘iddah dengan tiga kali haid kerana ‘iddah bagi wanita yang dicerai adalah tiga kali haid sebagaimana yang telah dinyataka dalam al-Qurann dan ijma’ para ulama. Oleh yang demikian ia merukan fasakh bukan talak bain . Al-Khattabi menytakan: Ini merupakan dalil yang kuat bagi siapa yang mengatakan khulu’ itu fasakh. (Lihat Subul al-Salam, 5/134 )

Justeru, kami lebih cenderung kepada pandangan yang pertama yang juga merupakan pandangan jumhur ulama yang menyatakan khulu itu merupakan talak bain dan ia bukan fasakh. Kami mengambil kesempatan ini untuk menashati sekiranya berlakunya perkara yang melibatkan pembubaran perkahwinan adalah lebih baik untuk merujuk kepada mahkamah syariah agar permasalahan yang berlaku dapat dirungkaikan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Wallahua`lam.

Leave a Reply