Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah timun dikenakan zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan timun. Ringkasnya, timun atau mentimun merupakan sejenis buah tumbuhan yang dimakan sebagai sayur dan ditanam sebagai makanan sejak 3000 tahun dulu. Timun boleh dimakan secara mentah atau segar dan juga diterapkan dalam masakan.

Timun yang juga dikenali sebagai mentimun atau nama saintifiknya Cucumis sativus, mengandungi 0.65% protein, 0.1% lemak dan karbohidrat sebanyak 2.2%. Selain itu timun juga mengandungi kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2 dan vitamin C.

Biji timun mengandungi racun alkaloid jenis hipoxanti ,yang berkesan untuk merawat kanak-kanak yang kecacingan. Bagi mereka yang menghidapi sakit tekak apabila diserang batuk, penyakit ini dapat dirawat dengan biji timun di mana sedikit biji timun dicampurkan dengan sedikit garam dan dikumuh beberapa kali sehari. Pengamalan ini dapat mengembalikan suara yang hilang.

Selain itu, penyakit sampu pucat iaitu sejenis penyakit pening-pening yang berterusan sehingga dapat menurunkan berat badan dapat diatasi dengan pengamalan makan timun mentah atau yang telah dimasak. Timun juga dapat mengubati penyakit disesteri iaitu keluar darah semasa membuang air besar. Timun banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Ia terletak dalam famili yang sama dengan tembikai dan labu. Timun merupakan sejenis pokok memanjat dan sesuai untuk ditanam pada pagar. Ia boleh membiak daripada biji benih.[1]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Abu Musa al- Asy‘ari dan Mu‘az R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda kepada kedua-duanya:

لاَ تَأْخُذُوا فِي الصَّدَقَةِ، إِلَّا مِنْ هَذِهِ الأَصْنافِ الأرْبَعَةِ: الشَّعِيرِ وَالحِنْطَةِ وَالزَّبِيبِ وَالتَّمْرِ

Maksudnya: “Janganlah kamu mengambil zakat kecuali pada empat tanaman ini: barli, gandum, kismis dan kurma.

Riwayat al-Hakim (1459) dan al-Daraqutni (2/98)[2]

Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, hadith di atas mengandungi dalil yang menunjukkan bahawa zakat diwajibkan pada semua biji-bijian dan begitu juga diwajibkan pada hasil tanaman  yang disukat dan disimpan. Sebagai contoh bagi hal itu adalah seperti barli, gandum, kismis dan kurma kerana ia adalah makanan asasi dalam kehidupan seseorang. Oleh itu, syarak telah mewajibkan padanya zakat sebagai bahagian yang wajib diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Adapun bagi biji-bijian, disyaratkan bagi mewajibkan zakat padanya adalah sukatan kerana ia menunjukkan kepada kesahihan mengaitkan hukum dengannya sebagaimana turut disyaratkan padanya sesuai untuk disimpan. Apa yang tidak boleh disimpan, tidak sempurna lagi nikmatnya kerana tidak boleh mengambil manfaat dengannya.

Kemudian beliau menukilkan daripada Syeikh al-Islam yang menyebutkan, adapun Imam Ahmad dan selainnya daripada kalangan fuqaha hadith, mereka berpendapat zakat diwajibkan pada biji-bijian sebagaimana hasil tanaman yang boleh disimpan sekalipun ia bukan kurma dan kismis. Dijadikan kedua-dua itu boleh disimpan sebagai pengganti kepada haul. Mereka juga membezakan di antara sayur-sayuran dan hasil tanaman yang boleh disimpan berdasarkan kepada riwayat dan athar daripada para sahabat. Oleh itu, Syeikh al-Islam cenderung kepada pendapat bahawa faktor yang mewajibkan zakat hasil yang keluar dari tanah ialah ia boleh disimpan dan tidak yang lain kerana terdapat makna yang sesuai bagi mewajibkan zakat padanya, berbeza halnya dengan sukatan kerana ia hanyalah perkiraan semata-mata, sedangkan timbangan (الوزن) pada maknanya.

Seterusnya, adapun buah-buahan, sayur-sayuran dan kekacang, tidak diwajibkan zakat padanya kerana ia tidak boleh disimpan dan tidak dapat disukat. Benda-benda seperti ini mempunyai faedah dan manfaat segera, diperlukan buat sementara waktu, dan bukan makanan ruji (asasi) yang diperlukan, sebaliknya ia hanyalah untuk keseronokan dan kesedapan (yang bersifat tambahan). Oleh itu, ia adalah makanan untuk orang kaya dan bukannya makanan orang miskin. Firman Allah SWT:

وَاللَّهُ فَضَّلَ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ فِي الرِّزْقِ

Maksudnya: “Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya.

(Surah al-Nahl: 71)

Oleh sebab itu, menurut jumhur ulama, zakat tidak diwajibkan pada benda-benda tersebut. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/343).

Selain daripada itu, di sana juga terdapat riwayat yang jelas mengecualikan timun daripada dikenakan zakat. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Mu‘az R.A, katanya:

فَأَمَّا القِثَّاءُ، وَالبِطِّيخُ، وَالرُّمَّانُ، وَالقَصَبُ، فَقَدْ عَفَا عَنْهُ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: “Adapun timun, tembikai, buah delima dan tebu, maka Rasulullah SAW telah memaafkannya (mengecualikannya daripada zakat).

Riwayat al-Daraqutni (2/97)[3]

Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menyebutkan, benda-benda selain daripada biji-bijian dan hasil tanaman yang keluar dari tanah, ia adalah hasil yang diperoleh dengan cepat, dan manfaatnya juga adalah bersifat segera. Begitu juga hasil daripadanya juga kebiasaannya adalah sedikit dan ia hanyalah untuk keseronokan dan kesedapan (yang bersifat tambahan). Kemudian, Syeikh Abdullah al-Bassam menukilkan hadith di atas dan menyebutkan, sekalipun hadith ini dinilai sebagai lemah (dha‘if) tetapi ia selari dengan hukum asal iaitu tidak dihukumkan sebagai wajib pada benda yang didiamkan mengenainya dan ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan oleh syarak.

Nabi SAW bersabda:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ مِنْ غَيْرِ نِسْيَانٍ، فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Sesuatu yang didiamkan mengenainya (hukumnya) adalah rahmat buat kamu dan bukannya kerana lupa, maka janganlah kamu bertanya mengenainya (hukumnya itu).

Riwayat al-Tabarani dalam al-Ausat (8938) dan al-Daraqutni (4/298); Imam al-Nawawi dan al-Sam‘ani menilai sanadnya sebagai hasan. Al-Hakim menyebutkan, sanadnya adalah sahih dan padanya terdapat syawahid pada lafaz dan maknanya.

Faktor yang mewajibkan zakat bagi apa atau hasil yang keluar dari tanah ialah ia boleh disukat dengan sukatan syar‘i. Adapun buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan seumpamanya, maka ia adalah benda yang dibilang (bukannya disukat). Oleh itu, ia tidak termasuk dalam apa yang diwajibkan zakat.

Al-Khattabi menyebutkan, hadith ini juga menunjukkan bahawa zakat tidak diwajibkan pada sayur-sayuran, buah-buahan, dan seumpamanya. Ini merupakan pendapat yang dipakai oleh seluruh ulama. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW dan para khalifah Baginda meninggalkannya  (daripada dikenakan zakat), sedangkan mereka juga ada menanamnya di sekeliling mereka dan ini menunjukkan bahawa zakat tidak wajib atas tanaman seperti itu, dan meninggalkannya adalah sunnah yang diikuti. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/345).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa timun termasuk dalam jenis hasil tanaman yang tidak diwajibkan zakat. Ini kerana ia termasuk dalam jenis sayur-sayuran dan buah-buahan, dan jenis seperti ini tidak dikenakan zakat padanya sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas.

Selain itu, ia juga tidak boleh disimpan dan tidak dapat disukat. Begitu juga faedah dan manfaatnya bersifat segera, diperlukan buat sementara waktu, dan bukan makanan ruji (asasi) yang diperlukan, sebaliknya ia hanyalah untuk keseronokan dan kesedapan (yang bersifat tambahan).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Timun. Diakses pada 16 November 2023.

[2] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai hasan. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Hakim dan beliau berkata: “Sanadnya adalah sahih.” Hal itu dipersetujui oleh al-Zahabi dan diakui oleh al-Zaila‘i. Syeikh al-Albani menyebutkan, Abu ‘Ubaid juga ada meriwayatkannya dalam al-Amwal melalui jalur daripada riwayat Umar bin Uthman, katanya: Aku mendengar Musa bin Talhah berkata: “Rasulullah SAW memerintahkan Mu‘az bin Jabal ketika mengutusnya ke Yaman untuk mengambil zakat daripada gandum, barli, kurma dan anggur.” Sanad hadith ini adalah sahih mursal. Ia jelas adalah marfu‘ dan tidak ada masalah untuk memursalkannya kerana telah sah bahawasanya ia terhenti pada Mu‘az. Selain itu, dinyatakan dalam al-Talkhis bahawa ia diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqi daripada hadith Abu Musa dan Mu‘az. Al-Baihaqi (7242) menyebutkan, perawi-perawinya adalah thiqah dan ia adalah muttasil (bersambung). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/341).

[3] Al-Hafiz Ibn Hajar menilai sanadnya sebagai dha‘if. (Lihat Bulugh al-Maram, hlm. 177).

Leave a Reply