Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Abang saya pernah menyatakan hasrat kepada ibu bapa kami untuk menyertai NGO yang memberikan bantuan secara terus di Palestin, dengan harapan dia dapat turut serta berjihad memerangi Israel jika direzekikan oleh Allah. Tetapi ibu bapa saya sudah berumur, dan mereka ingin abang saya mengutamakan mereka berbanding jihad yang diharapkan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berbuat baik kepada ibu bapa itu merupakan suatu tuntutan agama dan fardhu ‘ain yang wajib dilakukan oleh semua orang yang bergelar anak, dan masih mempunyai ibu bapa di sisi mereka. Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’: 23)

Tambahan pula, seseorang yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibu bapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung. Ini kerana, Nabi SAW pernah menyatakan orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibubapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ‏‏مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏‏

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”

Riwayat Muslim (2551)

Adapun jihad di jalan Allah SWT, ia merupakan fardhu kifayah. Jika orang lain telah mengambil bahagian dalam jihad tersebut, maka kewajibannya gugur dari orang lain. (Lihat al-Mughni, 9/163)

Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, kami katakan bahawa hukum mentaati larangan ibu bapa untuk keluar berjihad adalah wajib ke atas abang saudara. Hal ini kerana Rasulullah SAW mendahulukan berbuat baik kepada ibu bapa berbanding jihad. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada

الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا. قَالَ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: ثُمَّ بِرُّ الوَالِدَيْنِ. قَالَ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ. قَالَ: حَدَّثَنِي بِهِنَّ، وَلَوِ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي.

Maksudnya: “‘Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT?’ Baginda menjawab: ‘Menunaikan solat pada waktunya.’ Beliau bertanya lagi: ‘Kemudian apa?’ Baginda menjawab: ‘Berbuat baik kepada ibu bapa.’ Beliau bertanya lagi: ‘Kemudian apa lagi?’ Baginda menjawab: ‘Berjihad di jalan Allah.’ Abdullah berkata: ‘Baginda SAW menyampaikan kepadaku (menjawab) mengenainya (semua pertanyaannya), dan sekiranya aku terus bertanya kepadanya, nescaya Baginda akan terus memberiku jawapan.”

Riwayat al-Bukhari (527) dan Muslim (85)

Bahkan Rasulullah SAW pernah memerintahkan seorang sahabat untuk meninggalkan jihad di jalan Allah SWT dan pulang ke tempatnya untuk berbakti kepada kedua ibu bapanya. Baginda SAW menyifatkan berbuat baik kepada kedua orang tua kita sebagai jihad. Ini jelas dalam hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ، فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الجِهَادِ، فَقَالَ: أَحَيٌّ وَالِدَاكَ؟، قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan minta izin untuk berjihad. Baginda SAW bertanya: ‘Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?’ Lelaki itu berkata: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Hendaklah engkau berjihad (berbakti) kepada keduanya’.”

Riwayat al-Bukhari (3004) dan Muslim (2549)

Dalam riwayat lain daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ رَجُلاً هَاجَرَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ مِنَ الْيَمَنِ، فَقَالَ:‏ هَلْ لَكَ أَحَدٌ بِالْيَمَنِ‏.‏ قَالَ‏:‏ أَبَوَايَ.‏ قَالَ‏:‏‏ أَذِنَا لَكَ‏.‏ قَالَ:‏ لَا‏.‏ قَالَ‏:‏ ارْجِعْ إِلَيْهِمَا فَاسْتَأْذِنْهُمَا، فَإِنْ أَذِنَا لَكَ فَجَاهِدْ، وَإِلاَّ فَبِرَّهُمَا

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dari Yaman, lalu Baginda bertanya: ‘Kamu ada sesiapa (ahli keluarga) di Yaman?’ Dia menjawab: ‘Dua ibu bapaku.’ Baginda bersabda: ‘Mereka berdua izinkan kamu (berjihad)?’ Dia menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda lagi: ‘Pulanglah kepada keduanya dan minta izin mereka berdua, jika mereka izinkan kamu maka berjihadlah, dan jika tidak maka berbuat baiklah kepada keduanya’. ”

Riwayat Abu Dawud (2530) dan Ahmad (11739)

Kesimpulan

Kami katakan bahawa abang saudara wajib mentaati apa yang disuruh oleh kedua ibu bapa untuk kekal di rumah dan tidak pergi menyertai jihad yang diharapkan itu. Hal ini kerana fardhu ‘ain mentaati ibu bapa itu lebih didahulukan oleh Islam berbanding fardhu kifayah jihad itu.

Kami juga mengucapkan syabas atas semangat dan usaha yang abang saudara cuba lakukan demi memperjuangkan nasib saudara seislam kita di Palestin. Kita sama-sama mendoakan agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada mereka kesabaran serta kekuatan untuk menentang musuh-musuh Islam yang dilaknat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply