Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ekoran dari peperangan yang berlaku antara saudara kita di Palestin dengan bangsa Israel, sesetengah golongan pro barat cuba memainkan semula sentimen agama dengan melemparkan tuduhan bahawa Islam tersebar dengan peperangan dan kekerasan, hanya memberikan pilihan sama ada memeluk Islam atau dibunuh. Apakah pendapat ustaz?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum ini kami pernah menjawab persoalan yang hampir dengan masalah ini di dalam artikel kami yang bertajuk: Dakwaan Islam Berkembang Dengan Mata Pedang. Ini adalah syubhah yang sering dimainkan oleh musuh agama Allah SWT, dengan tujuan untuk memberikan gambaran buruk kepada dunia tentang Islam. Alangkah benarnya apa yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).”

(Surah al-Baqarah: 120)

Syeikh al-Sa‘di berkata, Allah SWT memberitahu kepada Rasul-Nya bahawa orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepadanya sehinggalah Baginda mengikuti agama mereka, kerana mereka mengajak kepada agama yang mereka anuti dengan anggapan itulah petunjuk. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 64)

Syubhah yang dimainkan ini tidak lain hanyalah suatu penipuan yang sering diulang-ulang oleh musuh Islam. Bahkan Allah SWT tidak mengutuskan Rasulullah SAW untuk melakukan kekerasan, sebaliknya sebagai rahmat buat sekalian alam. Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”

(Surah al-Anbiya’: 107)

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, di dalam ayat ini Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi mereka (umat) semua, barangsiapa yang menerima rahmat ini lalu beriman dan membenarkannya maka dia beroleh rahmat dan sesiapa yang melakukan sebaliknya maka dia akan kerugian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/338)

Pada hakikatnya, tuduhan mereka ini telah dijawab sendiri oleh Allah SWT ribuan tahun sebelum mereka melemparkan tuduhan ini. Ini membuktikan bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Mengetahui apa sahaja yang telah berlaku dan akan berlaku. Firman Allah SWT:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Al-Qadhi Abu Muhammad Ibn ‘Atiyyah menukilkan kalam al-Zuhri, katanya: “Aku bertanya kepada Zaid bin Aslam berkenaan firman Allah SWT: (لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ), lalu Zaid menjawab: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW diutuskan di Makkah selama 10 tahun dan tidak pernah Baginda memaksa sesiapa dalam agama, kemudian kaum musyrikin enggan memeluk Islam melainkan jika mereka diperangi, maka Rasulullah memohon izin dari Allah SWT untuk memerangi mereka, lalu diizinkan’.” (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 1/343)

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, dakwaan bahawa Islam hanya memberikan pilihan antara memeluk agama ini, atau diperangi, ini juga merupakan satu pendustaan. Bahkan yang thabit berdasarkan nas-nas syara‘ serta apa yang berlaku berdasarkan sejarah Islam, umat Islam terdahulu memberikan pilihan kepada orang yang mereka perangi itu 3 perkara:

  • Memeluk Islam.
  • Membayar jizyah (seperti cukai).
  • Dibunuh kerana menentang Islam.

Dan jizyah ini nilainya sedikit sahaja, yang hanya diminta daripada kaum lelaki yang mampu untuk berperang, dan ianya tidak diambil daripada wanita, kanak-kanak, orang tua yang sakit, orang buta, orang miskin, dan juga pendeta. Jizyah ini juga berbeza mengikut kadar kemampuan seseorang itu. Meminta bayaran ini sebagai ganti kepada penjagaan, jaminan dan mempertahankannya tidaklah berat sehingga memaksa seseorang itu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam.[1]

Allah SWT menyebutkan di dalam firman-Nya:

قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حَتَّىٰ يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَن يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ

Maksudnya: “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar ‘Jizyah’ dengan keadaan taat dan merendah diri.”

(Surah al-Taubah: 29)

Dr. Sayyid Sabiq menyebutkan bahawa peperangan itu bukanlah usul penyebaran agama Islam, akan tetapi peperangan ini hanyalah suatu pengecualian yang diberikan, dan ianya terkeluar dari kaedah asal. Kaedah asal dalam Islam adalah kesejahteraan, perdamaian dan juga perjanjian. Dan tidak dihalalkan peperangan itu melainkan pada  keadaan:

  • Mempertahankan diri, keluarga, harta, dan negara dari serangan.
  • Mempertahankan dakwah ke jalan Allah SWT dari orang yang menghalang jalan dakwah ini, sama ada orang itu menghalang dengan cara menyeksa mereka yang berdakwah itu, atau menyekat orang dari mendengar dakwahnya, atau dengan cara menghalang pendakwah dari menyebarkan dakwahnya. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 2/613)

Bukti yang mengatakan bahawa Islam itu usul penyebarannya dengan cara yang aman dan sejahtera, sepertimana yang dinaskan di dalam Kitabullah. Allah SWT berfirman:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Ayat ini menerangkan bahawa dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat itu perlulah dilakukan secara berhikmah. Walaupun berlaku perdebatan dalam mencari kebenaran maka berhujahlah dengan isi-isi yang baik serta disulami dengan adab sopan kerana akhlak yang baik itu menjadi cerminan kepada wajah Islam yang sebenar.

Menggambarkan bagaimana lemah lembutnya agama Islam itu, sekiranya seseorang musuh yang diperangi itu bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah Rasul-Nya, kita dituntut untuk menyelidik terlebih dahulu dan tidak tergesa-gesa membunuhnya. Ini sebagaimana yang termaktub dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا ضَرَبْتُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَبَيَّنُوا وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَىٰ إِلَيْكُمُ السَّلَامَ لَسْتَ مُؤْمِنًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): ‘Engkau bukan orang yang beriman’ (lalu kamu membunuhnya).”

(Surah al-Nisa’: 94)

Dalam sebuah riwayat daripada Sahl bin Sa‘id R.A, pernah pada suatu ketika Rasulullah SAW menyuruh Saidina ‘Ali R.A untuk membawa panji ketika peperangan Khaibar. Lalu Saidina Saidina ‘Ali R.A bertanya kepada Baginda:

نُقَاتِلُهُمْ حَتَّى يَكُونُوا مِثْلَنَا؟ فَقَالَ: عَلَى رِسْلِكَ، حَتَّى تَنْزِلَ بِسَاحَتِهِمْ، ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى الإِسْلاَمِ، وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ، فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

Maksudnya: “‘Adakah kami akan memerangi mereka(iaitu orang kafir) sehingga mereka menjadi seperti kami (yakni Muslim)?’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Jangan tergesa-gesa, sehinggalah kamu sampai ke kawasan mereka, kemudian ajaklah mereka masuk Islam, kemudian beritahulah kepada mereka apa yang wajib ke atas mereka. Demi Allah! Sesungguhnya hidayah yang diberikan melaluimu kepada seseorang lelaki adalah lebih baik bagimu daripada unta merah’.”

Riwayat al-Bukhari (2942) dan Muslim (2406)

Beginilah indahnya agama Islam itu, jauh berbeza dari tohmahan keji yang dilemparkan oleh musuh-musuh Allah SWT. Semoga kita beroleh manfaat dari perkongsian ini, di samping dapat menerangkan hakikat sebenar dakwah Islam kepada rakan-rakan kita yang bukan Islam. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Wallahu a‘lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.al-qaradawi.net/node/2920. Diakses pada 17 November 2023.

Leave a Reply