Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah jatuh talak sekiranya suami mengatakan kepada isterinya kamu haram ke atasku? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa, talak bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi boleh difahami seperti berikut:

  • Mengangkat ikatan perkahwinan.
  • Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
  • Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. (Lihat Dur al-Mukhtar,hlm.3/226, al-Mughni, 16/192 dan Mughni al-Muhtaj,3/279) .

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya :” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Sheikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Talak merupakan jalan terakhir yang digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun, sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal, namun perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini, isu suami mengharamkan isterinya merupakan perkara yang diperselisihi dikalangan ulama. Ada di antara mereka mengatakan ia termasuk dalam zihar dan ada juga yang berpandangan ia merupakan talak. Pandangan yang paling rajih atau tepat adalah ia berbalik kepada niat suami itu sendiri samada zihar, talak atau sumpah.

Diriwayatkan daripada Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs Umar bin al-Khattab RA berkata “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907).

Begitu juga keadah menyebutkan bahawa:

‌الأُمُورُ ‌بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara dinilai berdasarkan niat.”(Lihat Al-Asybah wa Al-Nazair, hlm. 8)

Telah dinyatakan dalam al-Bayan fi Mazhab Imam al-Syafi’i bahawa: Apabila suami mengatakan kepada isterinya : “kamu haram ke atasku”, sekiranya niatnya adalah talak maka maka jatuhlah talak tersebut. Sekiranya dia niat menziharkan isterinya maka jatuhlah zihar tersebut. Namun sekiranya dia mengharamkan isterinya, atau mengharamkannya dari melakukan persetubuhan atau mengharamkan farajnya tanpa niat talak maka, wajib ke atasnya kaffarah sumpah walaupun dia tidak bersumpah. (Lihat al-Bayan fi Mazhab Imam al-Syafi’i, 10/99)

Begitu juga dalam Tuhfah al-Fuqaha menyatakan: Sekiranya suami melafazkan “ kamu haram ke atasku atau aku haramkan kamu“ maka ia kembali kepada niat suami tersebut. Sekiranya dia berniat untuk talak maka jatuhlah talak tersebut dan jika sekiranya dia mengharamkannya tanpa niat talak atau tidak berniat apa-apa maka wajib ke atasnya maka ia dikira sumpah. (Lihat Tuhfah al-Fiqaha’, 2/197)

Sebagai kesimpulannya kami katakan di sini adalah sekiranya suami melafazkan “aku haramkan kamu ke atas aku”, ia berbalik kepada niat suami. Sekiranya suami melafazkannya dengan niat untuk menceraikannya maka jatuhlah talak tersebut. Namun sekiranya dia melafazkannya dengan niat zihar maka dia telah melakukan zihar dan dia dikehendaki untuk membayar kaffarah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahua’lam.

Leave a Reply