#4242: Hawa Diciptakan dari Tulang Rusuk Adam?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah hawa diciptakan daripada tulung rusuk adam dan apakah perbahasan ulama’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَأَنزَلَ لَكُم مِّنَ ٱلْأَنْعَـٰمِ ثَمَـٰنِيَةَ أَزْوَٰجٍۢ ۚ يَخْلُقُكُمْ فِى بُطُونِ أُمَّهَـٰتِكُمْ خَلْقًۭا مِّنۢ بَعْدِ خَلْقٍۢ فِى ظُلُمَـٰتٍۢ ثَلَـٰثٍۢ ۚ ذَٰلِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمْ لَهُ ٱلْمُلْكُ ۖ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ

Maksudnya: “Dia yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu iaitu Nabi Adam A.S; kemudian Dia menjadikan daripadanya isterinya Hawa dan Dia telah menciptakan untuk kamu lapan pasang binatang ternak. Dia juga telah menciptakan kamu dalam kandungan ibu kamu secara berperingkat, daripada satu kejadian ke satu kejadian dalam tiga kegelapan. Dialah Allah Tuhan kamu; segala kuasa pemerintahan adalah milik-Nya; tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; maka bagaimana kamu dapat dipesongkan daripada beribadah kepada-Nya?”

(Surah al-Zumar: 6)

Dalam Tafsir al-Bayan, dinyatakan bahawa kisah Hawa dicipta daripada tulang rusuk Nabi Adam A.S begitu tersebar dalam masyarakat. Berdasarkan nas-nas yang ada, kejadian Nabi Adam A.S adalah daripada tanah yang kemudiannya dibentuk rupa manusia dan ditiupkan roh.

Namun begitu, tidak ada satu dalil pun yang secara jelas merujuk kepada penciptaan Hawa daripada tulang rusuk Nabi Adam A.S. Walaupun sebahagian ahli tafsir berpandangan bahawa Hawa dijadikan daripada tulang rusuk Nabi Adam A.S, namun ia hanya pandangan yang tidak bersandarkan kepada nas-nas yang autentik. Al-Nawawi menyatakan bahawa Hawa dicipta daripada rusuk Nabi Adam A.S berdasarkan kepada ayat pertama Surah al-Nisa’ dan hadith berikut.

Apa yang jelas, memang terdapat hadith sahih yang menggambarkan tentang kejadian kaum wanita daripada tulang rusuk seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ، فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ، إِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا

Maksudnya: “Aku berwasiat kepada kamu agar berbuat baik kepada wanita kerana mereka dicipta daripada tulang rusuk. Dan bahagian tulang rusuk yang paling bengkok adalah di bahagian atas. Jika kamu cuba (dengan keras) untuk meluruskannya, pasti kamu akan mematahkannya dan jika kamu biarkan ia, pasti ia akan sentiasa bengkok. Maka aku berwasiat kepada kamu agar berbuat baik kepada wanita.”

Riwayat Muslim (1468)

Walau bagaimanapun, Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Misykah menyatakan bahawa wanita dijadikan sebagai ciptaan yang ‘bengkok’ seolah-olah mereka dijadikan daripada rusuk iaitu tulang yang bengkok. Kemudian, dipinjam gambaran atau maknanya bagi benda yang bengkok.

Menurut Rashid Ridha di dalam tafsirnya, riwayat-riwayat berkaitan penciptaan Hawa daripada tulang rusuk Nabi Adam A.S berstatus mawquf dan mungkin ianya Israeliyyat. Manakala al-Albani menegaskan bahawa tidak ada satu nas pun yang sabit tentang kejadian Hawa daripada tulang rusuk Nabi Adam A.S. Di samping banyak yang bersifat ‘tashbih’ iaitu asimilasi kejadian wanita seperti tulang rusuk yang bengkok.

Oleh itu, mereka berpandangan bahawa nas-nas yang ada hanya menunjukkan tentang kejadian Hawa daripada Nabi Adam A.S. Namun, tidak dinyatakan caranya. Justeru, apa yang mesti diyakini oleh setiap Muslim dalam konteks ini ialah ialah Nabi Adam A.S ialah manusia pertama yang menjadi induk penciptaan manusia seterusnya. Manakala kejadian wanita daripada rusuk pula bermaksud ia perlu dibimbing dan dipimpin dengan cara yang betul supaya sifat bengkok itu dapat diluruskan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/640-641)

Syeikh al-Sya’rawi berkata sekiranya hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam, niescaya Allah gunakan ja’aal minha kerana perkataan جَعَلَ, iaitu mengambil sebahagian daripada sesuatu, sedangkan Allah gunakan dalam perkataan ini خَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا yang membrikan makna ta’bir yang baru sebagaimana dalam ayat pertama surah al-Nisa’.

Ibn Hajar al-’Asqalani berkata: “Yang dimaksudkan dengan wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk ialah asal penciptaan wanita adalah bengkok dan wanita tidak menerima pembetulan sebagaimana tulang rusuk juga tidak menerima pelurusan. Maka dengan itu, setiap kali kamu ingin membetulkannya maka ia akan patah. Ini adalah perumpamaan bagi talak iaitu jika kamu ingin daripadanya untuk meluruskan apa yang tidak lurus itu maka ia akan membawa kepada perpisahan. (Lihat Fath al-Bari, 6/368]

Selain itu, diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ المرأةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ، لَنْ تستقيمَ لَكَ علَى طريقَةٍ، فإِنَّ استمْتَعْتَ بِها استمتعْتَ بِها وبِها عِوَجٌ، وإِنْ ذهبْتَ تقيمُها كسرْتَهَا، وكسرُها طلاقُها

Maksudnya: “Sesungguhnya wanita diciptakan dari tulang rusuk dan tidak dapat kamu luruskan dengan cara bagaimanapun, jika kamu hendak bersenang-senang dengannya, kamu dapat bersenang-senang dengannya dan dia tetap saja bengkok, namun jika kamu berusaha meluruskannya, nescaya dia akan patah dan mematahkannya adalah menceraikannya”.

Riwayat Muslim (2670)

Imam al-Nawawi berkata: Pada hadith ini terdapat dalil atau tanda apa yang dikatakan oleh fuqaha’ atau sebahagian daripada mereka bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana firman Allah SWT bahawa Allah SWT menciptakan manusia daripada diri yang satu dan daripada diri itu Allah SWT ciptakan pasangannya. Selain itu, Nabi SAW menjelaskan bahawa Hawa diciptakan daripada tulang rusuk. Di dalam hadith ini, dianjurkan agar berkelakuan baik dan lembut dengan wanita serta sabar di atas sikapnya yang bengkok dan juga kelemahan akalnya. Selain itu, dikeji mentalaknya tanpa sebab dan dalam keadaan suami tidak  ingin membetulkan isterinya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/57)

Dalam hal ini, para ulama’ telah berselisih pendapat dalam memahami makna hadith Nabi SAW ini. Antaranya ialah:

Pertama: Sebahagian ahli tafsir dan ahli hadith berpendapat bahawa hakikat penciptaan wanita itu adalah daripada tulang rusuk dan ia bukanlah perumpamaan sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian ulama’ yang lain. Antaranya hujah yang mengatakan bahawa wanita ini diciptakan daripada tulang rusuk ialah, berdasarkan firman Allah SWT:

خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا

Maksudnya: “Dia (Allah) menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya isterinya (Hawa)”.

(Surah al-Zumar: 6)

Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini:“Maksud Allah SWT telah menciptakan kamu daripada diri yang satu ialah Allah SWT menciptakan kamu dalam keadaan berbeza jenis, golongan, lidah (bahasa), warna daripada diri yang satu iaitu Adam AS. Kemudian dijadikan daripadanya Hawa sebagaimana firman Allah SWT: “يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً” “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang dijadikan daripadanya (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya – (zuriat keturunan) – lelaki dan perempuan yang ramai”. (Surah al-Nisa’: 1). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/75)

Kedua: Wanita diciptakan daripada tulang rusuk adalah sekadar perumpamaan dan ia bukannya menunjukkan akan hakikat penciptaan wanita. Ini merupakan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam al-Qurtubi ketika mensyarahkan hadith ini. Selain kebanyakan ulama’ kontemporari juga memilih pendapat ini. Antaranya ialah Syeikh Syuaib al-Arnaut, beliau berkata: “Apa yang dimaksudkan di sini (iaitu hadith bahawa wanita diciptakan daripada tulang rusuk) adalah sekadar perumpamaan dan ini jelas dinyatakan di dalam riwayat yang lain iaitu “إنَّ المرأةَ كالضِّلَعِ، (Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk)”. Begitu juga, ia tidak bermaksud bahawa wanita ini diciptkan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian manusia dan dakwaan tersebut tidak ada dinyatakan di dalam sunnah (hadith) yang sahih”.

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan dan dibahaskan oleh para ulama’, kami lebih cenderung kepada pendapat yang kedua yang menyatakan bahawa maksud hadith tersebut adalah sekadar perumpamaan dan bukannya wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Ini kerana, tidak dinafikan bahawa perwatakan wanita itu amat berbeza dengan lelaki sehingga diumpamakan mereka ini seperti tulang rusuk. Tambahan pula, di dalam hadith ini juga, Nabi SAW memulakan dengan “Nasihatilah para wanita (dengan baik)” dan di dalam hadith ini juga tidak disebut daripada tulang rusuk Adam. Selain itu, terdapat sebuah hadith yang sahih sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh Syuaib al-Arna’ut iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ المرأةَ كالضِّلَعِ، إذا ذَهبتَ تقيمُها كسرتَها، وإِنْ ترَكتَها استمتعتَ بِها وفيها عِوَجٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu diciptakan seperti tulang rusuk, jika kamu ingin meluruskannya nescaya akan patah dan jika kamu membiarkannya maka kamu akan dapat bersenang-senang akan tetapi dia tetap bengkok”.

Riwayat Muslim (2669)

Tambahan pula, berkenaan dengan maksud diri yang satu di dalam surah al-Zumar ialah  ialah jenis yang sama iaitu manusia dan bukannya asal penciptaan wanita itu daripada lelaki, bahkan manusia itu lahir dan tercipta daripada lelaki dan wanita. (Lihat Tafsir al-Manar, 4/272)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa pendapat yang masyhur juga menyebut  menyatakan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam adalah perumpamaan dan bukannya wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Hal ini kerana, tidak dinafikan bahawa perwatakan wanita itu amat berbeza dengan lelaki sehingga diumpamakan mereka ini seperti tulang rusuk.

Berdasarkan apa yang telah dijelaskan, maka kita (lelaki) dituntut untuk sentiasa berlaku baik, lemah-lembut serta sabar dengan wanita dalam apa jua keadaan. Tambahan pula, wanita ini adalah ciptaan Allah SWT yang istimewa untuk kaum lelaki yang perlu dijaga akan kehormatannya dan memandunya ke arah mentaati Allah SWT dan melaksanakan segala syariat-Nya. Selain itu juga, wanita adalah sebahagian daripada lelaki sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu adalah saudara kandung bagi lelaki”.

Riwayat Abu Dawud (204)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

لَا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Wallahua`lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *