Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana membina keteguhan dengan prinsip dan yakin pada janji Allah dalam menempuh tribulasi perjuangan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَآءَتْكُمْ جُنُودٌۭ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًۭا وَجُنُودًۭا لَّمْ تَرَوْهَا ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا (٩) إِذْ جَآءُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ ٱلْأَبْصَـٰرُ وَبَلَغَتِ ٱلْقُلُوبُ ٱلْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِٱللَّهِ ٱلظُّنُونَا۠ (١٠) هُنَالِكَ ٱبْتُلِىَ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا۟ زِلْزَالًۭا شَدِيدًۭا

Maksudnya: Wahai orang beriman, kenangilah nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kamu sewaktu kamu diserang sekumpulan tentera pakatan al-Ahzab, lalu Kami menghantar ribut kencang dan angkatan tentera daripada malaikat yang kamu tidak dapat melihatnya. Sungguh, Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Iaitu ketika tentera musuh menyerang kamu dari atas dan bawah, penglihatanmu menjadi tidak tentu arah; hati berasa cemas sehingga menjadi sesak sampai ke kerongkong lantaran ketakutan; dan kamu berprasangka yang bukan-bukan terhadap Allah. Di situlah orang beriman diuji dan keimanan mereka digoncangkan dengan goncangan yang amat dahsyat.

(Surah al-Ahzab: 9-11)

Dugaan dan kesukaran yang dihadapi oleh kaum Muslimin di Madinah ketika dikepung oleh tentera Ahzab adalah amat menyesakkan kehidupan. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat ujian yang menimpa Muslimin, Baginda telah mengutus utusan kepada ‘Uyainah bin Hisn al-Fazari dan al-Harith bin ‘Auf al-Murri, iaitu dua pemimpin qabilah Ghatafan, yang bersekutu bersama tentera Ahzab. Baginda ingin menawarkan kepada mereka sepertiga daripada hasil kebun di Madinah supaya pasukan mereka keluar daripada barisan tentera Ahzab dan pulang serta tidak lagi memberi bantuan kepada kaum Quraisy.

Ini hanyalah dalam bentuk penawaran, dan masih lagi belum menjadi satu perjanjian yang telah dipersetujui. Maka tatkala Baginda melihat kedua-duanya setuju dan tertarik dengan tawaran yang diberikan, Baginda memanggil Sa‘d bin Mu‘az dan Sa‘d bin ‘Ubadah (kedua-duanya pemimpin kaum Ansar) dan menceritakan hal tersebut serta meminta pandangan mereka. Kedua-dua mereka bertanya sama ada hal tersebut adalah suatu perintah yang Baginda inginkan, atau arahan daripada Allah SWT yang mesti ditaati, atau ijtihad Baginda sendiri. Setelah Baginda menjawab bahawa ia merupakan ijtihad Baginda sendiri kerana melihatkan kesukaran yang dihadapi kaum Muslimin, Sa‘d bin Mu‘az lalu berkata:

“Wahai Rasulullah, demi Allah kami sebelumnya sama seperti mereka (para musuh). Kami menyembah berhala dan melakukan kesyirikan, kami tidak menyembah Allah, bahkan kami sama sekali tidak mengenali-Nya. Namun pada ketika itu mereka sama sekali tidak menerima daripada kami walau apa pun kecuali melalui jual beli atau jamuan. Maka setelah kami diberi penghormatan oleh Allah dengan memberi hidayah kepada kami hingga kami dapat merasai lazatnya nikmat Islam dan dimuliakan dengan kepimpinanmu, apakah kami yang dalam keadaan lebih baik ini perlu serahkan sahaja kepada mereka harta-harta kami? Demi Allah, kami tidak akan berikan kepada mereka kecuali pedang, sehingga Allah SWT memutuskan siapa yang lebih baik antara kita dan mereka!”

Mendengar jawapan tersebut, Nabi SAW merasa sangat bangga dan menerima pandangan Sa‘d itu. Kemudiannya Baginda meminta wakil Bani Ghatafan itu pergi, dan menegaskan bahawa tidak akan ada sebarang perjanjian. Hanya perang yang akan memutusakan. Sa‘d lalu mengambil kertas perjanjian (yang belum selesai ditulis) lalu memadamkan semua tulisan yang ada padanya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 14/133)

Inilah bukti betapa ‘izzah Islam itu terpahat kukuh pada hati dan dada umat Islam yang terawal.  Mereka mempunyai keyakinan yang jitu terhadap janji Allah dan rasul-Nya, bahawa kemenangan akan berpihak kepada mereka yang bersama dengan kebenaran dan kebatilan akan tetap dikalahkan.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Leave a Reply