Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dengar terdapat ancaman untuk orang kedekut, boleh nyatakan kepada kami cara yang terbaik untuk menjadi sifat perawat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT memerintahkan kita untuk menjauhi tabiat kedekut kerana ia termasuk dalam sifat mazmumah. Bahkan tabiat kedekut tidak mendatangkan sebarang faedah mahupun kebaikan buat manusia untuk menahan hartanya daripada disedekahkan. Hakikatnya, orang yang kedekut ini berada di ambang kebinasaan sehinggakan al-Sya’bi pernah mengatakan: “Aku tidak tahu yang manakah antara keduanya yang lebih jauh tenggelam dalam api neraka Jahannam; orang yang kedekut atau orang yang berdusta.”

Terdapat banyak ayat al-Quran yang mencela sifat ini, antaranya firman Allah SWT:

وَلَا يَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ هُوَ خَيْرًۭا لَّهُم ۖ بَلْ هُوَ شَرٌّۭ لَّهُمْ ۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا۟ بِهِۦ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ

Maksudnya: “Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil menyangka bahawa kebakhilan terhadap harta kekayaan yang diberikan Allah kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya itu adalah baik untuk mereka, bahkan ia adalah buruk untuk diri mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di leher mereka pada hari kiamat.”

(Surah Ali ‘Imran: 180)

Selain itu, dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW juga ada bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ العِبَادُ فِيهِ، إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ، فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: Tidak satu hari pun para hamba memasuki waktu paginya kecuali dua malaikat akan turun, lalu salah satu Malaikat tersebut berdoa: “Ya Allah, berikanlah untuk orang yang bersedekah gantian (daripada hartanya),” dan salah satu lagi pula berdoa: “Ya Allah, berikanlah untuk orang yang menahan hartanya (daripada bersedekah) kebinasaan (pada hartanya).

Riwayat Muslim (1010)

Menjawab persoalan di atas, antara cara merawat sifat kedekut ialah dengan berkawan dengan orang yang bersifat pemurah dan melihat cara mereka menjadi pemurah.

Hal ini kerana semua harta yang kita miliki adalah rezeki kurniaan Allah SWT dan bukan hak milik kita. Dia akan melapangkan atau menyempitkan rezeki kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Oleh itu, janganlah tertipu dengan banyaknya harta benda yang dimiliki. Sebaliknya, berinfaklah sebagai bukti ketaatan kepada Allah SWT kerana ia pasti akan diganti dengan sesuatu yang lebih baik. Malah, jika tidak dibelanjakan ke jalan yang baik, maka ia pasti memberi impak buruk pada kehidupan kita, sama ada di dunia mahupun hari akhirat.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW: Daripada Anas bin Malik R.A, katanya, sabda Rasulullah SAW:

ثَلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ: شُحٌّ مُطَاعٌ، وَهَوًى مُتَّبَعٌ، وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ

Maksudnya: “Tiga perkara yang membinasakan: Orang yang kedekut ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan seseorang itu merasa kagum pada dirinya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (731) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (5915)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply