Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat kisah berkenaan bencana melawan dakwah rasul?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ لِلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُوا۟ لِمَنْ ءَامَنَ مِنْهُمْ أَتَعْلَمُونَ أَنَّ صَـٰلِحًۭا مُّرْسَلٌۭ مِّن رَّبِّهِۦ ۚ قَالُوٓا۟ إِنَّا بِمَآ أُرْسِلَ بِهِۦ مُؤْمِنُونَ ٧٥ قَالَ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوٓا۟ إِنَّا بِٱلَّذِىٓ ءَامَنتُم بِهِۦ كَـٰفِرُونَ ٧٦ فَعَقَرُوا۟ ٱلنَّاقَةَ وَعَتَوْا۟ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِمْ وَقَالُوا۟ يَـٰصَـٰلِحُ ٱئْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ ٧٧ فَأَخَذَتْهُمُ ٱلرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا۟ فِى دَارِهِمْ جَـٰثِمِينَ ٧٨ فَتَوَلَّىٰ عَنْهُمْ وَقَالَ يَـٰقَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَالَةَ رَبِّى وَنَصَحْتُ لَكُمْ وَلَـٰكِن لَّا تُحِبُّونَ ٱلنَّـٰصِحِينَ

Maksudnya: Pemimpin-pemimpin yang sombong takbur daripada kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang beriman antara mereka, “Tahukah kamu bahawa Soleh itu diutus daripada Tuhannya?” Mereka menjawab, “Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu yang disampaikannya.” Orang-orang yang menyombongkan diri itu berkata, “Sesungguhnya kami tidak percaya kepada apa yang kamu imani.” Lalu mereka menyembelih unta betina itu dan melanggar perintah Tuhan dan mereka berkata, “Wahai Soleh, datangkanlah azab yang engkau ancamkan kepada kami jika benar engkau seorang rasul.” Oleh itu, mereka dibinasakan oleh gempa bumi. Maka mereka menjadi mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat tinggal mereka. Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka seraya berkata, “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepadamu amanah Tuhanku dan aku telah memberimu nasihat. Tetapi kamu tidak menyukai orang yang memberi nasihat.”

(Surah al-A’raf: 75-79)

Pada permulaan ayat ini, Allah SWT menyatakan kisah Nabi Soleh A.S dengan kaum Thamud. Baginda menyeru mereka supaya mentauhidkan Allah. Nabi Soleh A.S diberikan mukjizat unta yang luar biasa seperti yang diminta oleh kaumnya sebagai bukti kerasulan Baginda. Nabi Soleh A.S mengingatkan mereka supaya membiarkan unta itu dan tidak mengganggu keselamatannya, jika mereka enggan untuk mematuhi larangan tersebut, mereka akan ditimpa azab. Nabi Soleh A.S menyampaikan nasihat kepada kaumnya dan meminta mereka supaya mengingati nikmat-nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Mereka telah dijadikan sebagai pengganti kepada kaum ‘Ad yang telah binasa dan mereka telah diberikan pelbagai kemudahan di bumi. Mereka dimudahkan untuk membina istana di tanah yang rata dan memahat rumah di kawasan pergunungan. Nabi Soleh A.S menasihati kaumnya supaya mengingati nikmat Allah dan tidak melakukan kerosakan dan dosa di bumi. Reaksi dan kesombongan para pembesar dan ketua-ketua kaum Thamud terhadap dakwah Nabi Soleh A.S Mereka mempersendakan keimanan orang-orang yang lemah dari kalangan mereka dan mereka memandang rendah dan hina kepada orang yang beriman. Mereka dengan sombong dan takbur mengisytiharkan kekufuran dan keingkaran mereka terhadap dakwah Nabi Soleh A.S.

Arahan agar patuh dengan peraturan yang telah ditetapkan tidak dipatuhi. Kaum Nabi Soleh A.S telah melanggar perintah Allah. Mereka membunuh unta yang dibawakan khas sebagai mukjizat kepada mereka dan berani mencabar Nabi Soleh A.S supaya membawakan azab kepada  jika benar Baginda seorang Rasul yang diutuskan oleh Allah. Akhirnya mereka dibinasakan dengan gempa bumi dan amat ngeri azab yang ditimpakan di mana mereka melutut dan tersungkur mati. Mayat  mereka bergelimpangan di tempat tinggal mereka.

Nabi Soleh A.S meninggalkan kaumnya dengan arahan Allah. Sebelumnya Baginda telah berusaha sedaya upaya memberi nasihat dan peringatan, namun mereka tetap menolak usaha dakwah Baginda. Nabi Soleh A.S telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna, Baginda telah menyampaikan agama Allah kepada mereka, namun mereka enggan untuk menerimanya. Nabi Soleh A.S telah menunaikan arahan Allah SWT dan nasihat kepada kaumnya namun mereka tidak suka orang yang memberi nasihat.

Menolak Dakwah Rasul Menempa Kehancuran

Semua para rasul membawa agama yang sama iaitu agama yang mentauhidkan Allah. Kebenaran para rasul boleh diketahui dengan mukjizat yang diberikan kepada mereka. Setiap rasul diberikan mukjizat oleh Allah SWT sebagai bukti kerasulan mereka, agar kaum mereka beriman dan tidak mendustakan ajarannya. Orang yang mengingkari mukjizat yang telah disaksikan sendiri adalah orang yang menempah azab dan murka Allah SWT. Oleh itu, hendaklah kita beriman kepada agama yang dibawa oleh para rasul dan jangan kita mendustakan para rasul yang membawa kepada kita agama yang mentauhidkan Allah. Hendaklah kita beriman kepada mukjizat yang diberikan kepada para rasul dan jangan kita ingkar mukjizat yang dibawa oleh mereka.

Kebanyakan orang yang menentang para rasul adalah dari kalangan pembesar dan ketua-ketua. Kebanyakan orang yang beriman kepada para rasul adalah dari kalangan orang yang lemah dan bawahan. Orang yang berkuasa dan kaya lebih terdedah kepada sifat sombong dan takbur dan orang yang lemah lebih cenderung untuk beriman. Oleh itu, hendaklah kita memilih untuk menerima dakwah para rasul, jangan sombong dan jangan menolak agama Allah SWT. Hendaklah kita merendah diri walaupun kita berkuasa dan kaya, jangan bongkak dan takbur. Hendaklah kita menghormati orang yang lemah dan jangan memperlekehkan keimanan mereka.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, orang yang beriman perlu berusaha sedaya upaya untuk menyampaikan peringatan dari Allah mengikut kemampuan masing-masing. Tugas kita hanya menyampaikan sebaik mungkin dan memberi hidayah bukan kuasa kita. Tugas kita adalah memberi peringatan dan nasihat atau mendengar peringatan sekiranya orang lain yang memberi nasihat. Oleh itu, hendaklah kita berusaha sedaya upaya untuk menyampaikan agama Allah setakat yang kita mampu. Hendaklah kita menyampaikan agama Allah dengan sebaik mungkin, tunjukkanlah akhlak yang mulia. Hendaklah kita memberi peringatan dan nasihat atau kita mendengar orang yang memberi nasihat dan jangan kita membenci orang yang memberi nasihat. Ya Allah lapangkanlah hati kami untuk menerima agamaMu, jadikanlah kami orang yang menerima nasihat dan peringatan-Mu.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply