Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Islam menyuruh kita menamakan anak-anak kita dengan nama-nama yang baik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Memberi nama yang baik kepada anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa. Orang musyrikin pada ketika dahulu memberi nama anak-anak mereka mengikut tuhan yang mereka sukai dan ini adalah kesan amalan syirik yang berleluasa antara mereka. Justeru, adalah amat penting bagi pasangan ibu bapa untuk memberi nama anak-anak yang membawa maksud yang baik.

Nama mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama dan kehidupan seorang insan. Dengan nama itulah dia akan dikenali. Dengan nama itu jugalah dia akan dipanggil pada hari akhirat. Kerana itu nama bukan perkara kecil. Malahan ia boleh melibatkan hukum larangan jika nama yang diberikan itu tidak menepati ajaran Rasulullah SAW.

Nama juga merupakan simbol khusus yang dapat membezakan diri seseorang itu daripada orang lain. Bahkan dengan nama juga seseorang itu boleh dikenali agamanya, sama ada Islam ataupun bukan. Nama juga boleh mempengaruhi atau mencerminkan sifat dan keperibadian orang yang empunya nama. Oleh sebab itu, nama merupakan antara perkara yang terawal sekali diberi perhatian untuk anak yang baru lahir.

Nama yang paling disukai Allah SWT adalah Abdullah dan Abd al-Rahman berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَحَبَّ أَسْمَائِكُمْ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ ، وَعَبْدُ الرَّحْمَن

Maksudnya: “Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abd al-Rahman.”

Riwayat Muslim (2132)

Terdapat sebuah peristiwa di mana Nabi SAW cuba untuk mengubah nama seorang sahabat kerana nama beliau adalah Hazn yang bermaksud kekerasan. Daripada al-Musayyib berkata:

أَنَّ أَبَاهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «مَا اسْمُكَ» قَالَ: حَزْنٌ، قَالَ: «أَنْتَ سَهْلٌ» قَالَ: لاَ أُغَيِّرُ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِي قَالَ ابْنُ المُسَيِّبِ: «فَمَا زَالَتِ الحُزُونَةُ فِينَا بَعْدُ»)

Maksudnya: Sesungguhnya bapanya datang bertemu Nabi SAW, kemudian Nabi SAW bertanya: “Siapakah namamu?” Beliau berkata: al-Huzn. Lalu, Nabi SAW bersabda: “Kamu adalah Sahl.” Namun Hazn enggan mengubah namanya: Aku tidak akan mengubah nama yang telah diberikan oleh bapaku. Berkata Ibn al-Musayyib: Akibat perbuatannya itu, beliau sentiasa dilanda keadaan yang sukar dan keras.

Riwayat al-Bukhari (6190)

Setengah ulama pula mengatakan akhlak beliau sentiasa keras selari dengan namanya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/113-114)

Marilah kita berdoa semoga Allah kurniakan zuriat kita sebagai zuriat yang soleh dan solehah.

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Leave a Reply