Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah perbezaan antara kalimah Anfal, Ghanimah dan Fai’?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْأَنفَالِ ۖ قُلِ ٱلْأَنفَالُ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَصْلِحُوا۟ ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang harta rampasan perang. Katakanlah, “Harta rampasan perang itu terserah kepada Allah dan rasul-Nya untuk menentukan pembahagiannya. Oleh itu, bertakwalah kamu wahai orang yang beriman kepada Allah dan perbaikilah hubungan antara kamu serta taatlah kepada Allah dan rasul-Nya, jika benar kamu orang yang beriman.”
(Surah al-Anfal: 1)
Di dalam Surah al-Anfal, ada dibincangkan mengenai harta rampasan perang yang diagihkan kepada pasukan tentera Islam. Terdapat beberapa terminologi berkaitan harta rampasan yang diambil daripada golongan kafir iaitu al-Anfal (الأنفال), al-Ghanimah (الغنيمة), dan al-Fai’ (الفيء). Adat mengambil harta rampasan perang sememangnya telah lama wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Dalam pada itu, Islam turut mengizinkan pengambilan harta rampasan perang sebagaimana firman Allah SWT:
فَكُلُوا۟ مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلَـٰلًۭا طَيِّبًۭا ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
Maksudnya: “Maka makanlah daripada hasil yang kamu peroleh daripada peperangan itu sebagai sesuatu yang halal dan baik serta bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Anfal: 69)
Jika diperhalusi ketiga-tiga istilah di atas, terdapat sedikit perbezaan antara kalimah-kalimah tersebut. Al-Anfal merujuk kepada pemberian hadiah tambahan daripada harta ghanimah asal yang diperoleh oleh pasukan perang. Pemberian ini dianugerahkan kepada seseorang oleh sebab kecemerlangannya dalam peperangan, keperwiraannya, atau kepimpinannya. Oleh itu, selayaknya dia diberikan pemberian tambahan yang ditetapkan oleh ketua negara (al-Imam).Selain itu, terdapat juga ulama yang memberikan pengertian al-Anfal sama seperti maksud al-Salab (السلَب) iaitu pakaian perang dan senjata yang diambil daripada musuh yang dikalahkannya seperti pedang. Justeru, bagi tentera yang berjaya mengalahkan musuhnya, maka dia berhak mengambil kelengkapan perang dan senjata musuhnya. Selain daripada itu juga sebahagian ulama turut menyatakan bahawa al-Anfal merupakan sebahagian daripada harta rampasan perang (ghanimah) di dalam agihan 1/5 (al-Khumus), bergantung kepada ketetapan pemerintah.
Manakala al-Ghanimah pula bermaksud harta rampasan yang diambil daripada golongan kafir menerusi jalan perang setelah umat Islam memperoleh kemenangan dalam peperangan tersebut. Hakim atau ketua negara boleh memilih sama ada memasukkan al-Salab yakni pakaian perang dan senjata – yang turut dipanggil sebagai al-Anfal – dalam pengiraan agihan ghanimah ataupun tidak. Agihan ghanimah sebagaimana yang digariskan oleh syarak ialah 4/5 daripadanya diagihkan kepada para tentera Islam yang berjuang, manakala 1/5 daripadanya pula diserahkan kepada Baitulmal untuk kegunaan maslahah umat Islam.
Sementara itu, al-Fai’ pula ialah harta yang diperolehi daripada tentera kafir secara hak, namun perolehan tersebut tanpa melalui jalan peperangan yang mengalahkan pasukan tentera kafir. Di samping itu, ia tidak termasuk dalam sistem pembahagian ghanimah dan pengagihannya diuruskan sendiri oleh Nabi SAW atau ketua negara (wali al-Amr) selepas kewafatan Baginda SAW. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/143-144)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa perbezaan antara al-Anfal, al-Ghanimah dan al-Fai’:
- Al-Anfal merujuk kepada pemberian hadiah tambahan daripada harta ghanimah asal yang diperoleh oleh pasukan perang
- Al-Ghanimah pula bermaksud harta rampasan yang diambil daripada golongan kafir menerusi jalan perang setelah umat Islam memperoleh kemenangan dalam peperangan tersebut
- Al-Fai’ pula ialah harta yang diperolehi daripada tentera kafir secara hak, namun perolehan tersebut tanpa melalui jalan peperangan yang mengalahkan pasukan tentera kafir.
Sebagai umat Islam kita hendaklah percaya dan yakin bahawa di sebalik keterpaksaan dalam menerima ketetapan Allah dan rasul-Nya, pastinya Dia mengurniakan pertolongan dan kemenangan kepada umat Islam yang terus menempuh kepayahan tersebut. Kebenaran Islam pasti tertegak dan kebatilan pasti binasa sebagaimana janji Allah SWT. Oleh itu, umat Islam wajib meyakini masa depan Islam yang gemilang dengan terus melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
Umat Islam wajib meyakini pertolongan dan kemenangan pasti akan dikurniakan oleh Allah SWT kepada orang yang beriman, dan ia tidak akan datang melainkan hanya datang Allah SWT semata-mata.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Wallahua`lam.