Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah syaitan boleh menyerupai manusia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ أَعْمَـٰلَهُمْ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ ٱلْيَوْمَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَإِنِّى جَارٌۭ لَّكُمْ ۖ فَلَمَّا تَرَآءَتِ ٱلْفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ وَقَالَ إِنِّى بَرِىٓءٌۭ مِّنكُمْ إِنِّىٓ أَرَىٰ مَا لَا تَرَوْنَ إِنِّىٓ أَخَافُ ٱللَّهَ ۚ وَٱللَّهُ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan ingatlah ketika syaitan mengelokkan perbuatan mereka yang salah itu serta menghasut mereka dengan berkata, “Pada hari ini, tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku ialah pelindung kamu.” Maka apabila kedua-dua angkatan tentera Islam dan kafir itu bertemu mata, syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata, “Aku berlepas diri daripada kamu. Aku dapat melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh kamu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangat keras seksaan-Nya.”

(Surah al-Anfal: 48)

Antara perkara yang wajib diimani oleh setiap Muslim adalah beriman dengan perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, hari pembalasan dan lain-lain, termasuklah mengenai kewujudan jin dan syaitan. Kewujudan jin dan syaitan disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, sekaligus mengingatkan para hamba-Nya bahawa syaitan ialah musuh yang nyata bagi mereka.

Terdapat kisah syaitan menyerupai manusia dan meminta harta zakat kepada Abu Hurairah RA yang ketika itu diamanahkan untuk menjaga zakat sebagaimana katanya:

وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَصَّ الحَدِيثَ، فَقَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ: لَنْ يَزَالَ مَعَكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ وَلاَ يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ. وَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، ذَاكَ شَيْطَانٌ

Maksudnya: Rasulullah SAW mewakilkanku untuk menjaga zakat Ramadhan, lalu datang kepadaku seseorang dan mengaut makanan. Aku memegangnya dan berkata: “Sesungguhnya aku akan melaporkanmu kepada Rasulullah SAW.” Orang itu pun menceritakan apa yang berlaku, lalu berkata: “Apabila kamu ke tempat tidurmu bacalah ayat kursi, maka pemelihara dari Allah akan sentiasa bersamamu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga subuh.” Nabi SAW bersabda: “Dia telah berkata benar kepadamu sementara dia adalah pendusta, dia itu ialah syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (5010)

Terdapat satu riwayat bagaimana Iblis datang menjelmakan diri dengan rupa seorang lelaki lalu menabur janji-janji indah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas dengan sanad yang dipertikaikan mengenainya daripada riwayat Ali bin Abi Talhah. Ibn Abbas R.Anhuma berkata:

جَاءَ إِبْلِيسُ يَوْمَ بَدْرٍ فِي جُنْدٍ مِنَ الشَّيَاطِينِ مَعَهُ رَأَيْتُهُ فِي صُورَةِ رَجُلٍ مِنْ بَنِي مُدْلِجٍ فِي صُورَةِ سُرَاقَةَ بْنِ مَالِكِ بْنِ جُعْشُمٍ ، فَقَالَ الشَّيْطَانُ لِلْمُشْرِكِينَ : لاَ غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَكُمْ ، فَلَمَّا اصْطَفَّ النَّاسُ ، أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْضَةً مِنَ التُّرَابِ ، فَرَمَى بِهَا فِي وُجُوهِ الْمُشْرِكِينَ ، فَوَلَّوْا مُدْبِرِينَ . وَأَقْبَلَ جِبْرِيلُ إِلَى إِبْلِيسَ ، فَلَمَّا رَآهُ ، وَكَانَتْ يَدُهُ فِي يَدِ رَجُلٍ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ، انْتَزَعَ إِبْلِيسُ يَدَهُ ، فَوَلَّى مُدْبِرًا هُوَ وَشِيعَتُهُ ، فَقَالَ الرَّجُلُ : يَا سُرَاقَةُ تَزْعُمُ أَنَّكَ لَنَا جَارٌ ؟ قَالَ : (إِنِّي أَرَى مَا لاَ تَرَوْنَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَاللَّهُ شَدِيدُ الْعِقَابِ) وَذَلِكَ حِينَ رَأَى الْمَلاَئِكَةَ .

Maksudnya: “Ketika hari perang Badar, Iblis muncul dalam barisan tentera syaitan dan aku melihat dia menjelmakan diri seperti lelaki dari Bani Mudlij, dengan rupa seperti Suraqah ibn Malik ibn Jus’um. Dia berkata kepada musyrikin: “Tidak ada seorang pun dari manusia yang dapat mengalahkan kalian pada hari ini dan sesungguhnya saya adalah pelindungmu.” Ketika manusia telah berbaris, Rasulullah mengambil segenggam debu, lalu baginda melemparkan ke arah orang-orang musyrikin, mereka pun lari bertempiaran. Lalu Jibril menuju ke arah iblis. Ketika itu iblis sedang memegang tangan salah seorang musyrik, apabila dia melihat kedatangan Jibril, dia terus melepaskan tangan orang musyrik tersebut, kemudian Iblis bersama syaitan-syaitan yang mengiringinya melarikan diri. Lelaki (musyrik) itu pun berkata: “Wahai Suraqah, Kamu bagitahu kamu adalah pelindung kami? ” Iblis menjawab: “Sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kalian tidak bisa melihatnya, sesungguhnya saya takut kepada Allah. Dan Allah sangat keras siksa-Nya.” Ketika itulah Iblis melihat para malaikat.”

Kisah ini diriwayatkan oleh Imam al-Tobari dalam tafsirnya (Lihat Tafsir al-Tobari, 13/7), dan Ibn Kathir dalam tafsir surat Al Anfal (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/317).  Al-Tabrani juga telah meriwayatkan di dalam al-Mu’jam al-Kabir (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/317) daripada Rifa’ah bin Rafi’ al-Ansariy sepertimana Riwayat Ibn Abbas, tetapi sanadnya dhaif kerana terdapat Abd al-Aziz bin Imran, seorang yang dhaif. Al-Haithami telah mendhaifkan riwayat ini disebabkan olehnya di dalam Majma’ al-Zawaid. (Lihat Majma’ al-Zawaid, 6/82)

Bolehkah Syaitan Menyerupai Manusia?

Sheikh Muhammad Al-Syibli menyebut bahawa tidak syak lagi bahawa jin dan syaitan mampu untuk berubah-ubah bentuk sama ada bentuk manusia atau haiwan. Sepertimana syaitan menyerupai Suraqah Bin Malik Bin Ja’syam dan mendatangi orang musyrikin Quraisy ketika mana mereka mahu keluar ke medan Badar. (Lihat Aakam Al-Marjan Fi Gharaib Al-Akhbar wa Ahkam Al-Jann, hlm 21)

Sheikh Sulaiman al-Asyqar menyebut bahawa kadang-kadang syaitan mendatangi manusia bukan dengan membisikkan perkara was-was akan tetapi ada satu ketika ia datang menyerupai manusia. Kita boleh dengar suara tapi tidak nampak tubuhnya. Ia juga boleh menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk yang pelik. (Lihat Silsilah Al-‘Akidah : Alam Al-Shayatin Wa Al-Jinn, hlm 91)

Al-Qadhi Abu Ya’la menyebut bahawa Syaitan tidak ada kemampuan untuk merubah-ubah bentuk. Akan tetapi boleh jadi Allah mengajarkan kepadanya beberapa perkataan dan perbuatan yang mana jika ia dilakukan atau disebutkan maka akan mengubah bentuknya kepada bentuk yang lain atau menyerupakan dirinya dengan sesuatu yang berbeza. (Lihat Aakam Al-Marjan Fi Gharaib Al-Akhbar Wa Ahkam Al-Jann, hlm 21-22)

Dalam masyarakat Melayu mutakhir ini, masih terdapat gambaran-gambaran hantu yang sering digambarkan khususnya oleh masyarakat kita melalui filem mahupun drama seperti pontianak, pocong dan lain-lain, sedangkan ia adalah sesuatu yang tidak wujud. Ia tidak lain tidak bukan merupakan satu perkara yang berkaitan dengan jin dan syaitan. Mereka diberikan kelebihan oleh Allah SWT untuk berubah-ubah bentuk dan mampu menyerupakan diri dengan bentuk-bentuk tertentu bagi menakut-nakutkan manusia.

Sekalipun syaitan dan jin boleh berubah-ubah bentuk atau menyerupakan diri mereka dengan sesuatu bentuk yang asing, akan tetapi satu perkara yang perlu kita ambil perhatian ialah penyerupaan tersebut langsung tidak mampu untuk memberikan sebarang mudarat kepada kita kerana mudarat atau manfaat kesemuanya datang daripada Allah SWT. Oleh itu, jin atau syaitan yang menjadi ‘hantu” tidak akan sesekali mampu memberi mudarat, apatah lagi mencederakan atau membunuh manusia melainkan dengan izin Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/178-179)

Perkara ini dikuatkan lagi dengan sabdaan Nabi SAW yang diriwaytakan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ

Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul (Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”

Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban di dalam Sahihnya (6128), Ahmad (15103) di dalam Musnad. Syeikh Syu’aib Al-Arnaut menyebut sanad hadith ini sahih dengan menggunakan syarat Imam Muslim

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin dalam syarahnya menyebut: Ghul adalah syaitan yang kebiasaannya menyesatkan orang yang sedang berjalan di padang pasir atau lembah. Yang ditolak Rasulullah SAW dalam hadith adalah pengaruh ghul ini, bukan kewujudannya. Syaitan yang suka mengganggu manusia seperti ghul ini memang ada, namun bila kuat tawakalnya kepada Allah SWT dan tidak menghiraukan keberadaannya, syaitan ini tidak dapat memudaratkan dan menghalanginya menuju arah yang hendak ditujunya. (Lihat al-Qaul al-Mufid, 1/569)

Al-Khattabi ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan bahawa hadith ini bukan menafikan kewujudan mereka dan penyerupaan bentuk akan tetapi hadith ini ingin menafikan kebolehan mereka yang boleh menyesatkan dan memberikan mudarat kepada manusia. Jangan takut kepada mereka kerana mereka tidak akan mampu buat apa-apa tanpa izin Allah SWT. Beliau juga menyatakan bahawa Ghilan adalah tukang sihir dari kalangan jin. ( Lihat Ma’alim Al-Sunan Fi Syarh Al-Sunan, 4/234)

Kesimpulan

Justeru, kami nyatakan bahawa syaitan atau iblis boleh menyerupai pelbagai rupa dan bentuk, termasuk juga dengan manusia sebagaimana peristiwa syaitan menyerupai manusia meminta zakat dan mengajarkan ayat al-Kursi, serta peristiwa penyerupaan Suraqah bin Malik di dalam peperangan Badar.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini dan melindungi kita daripada godaan dan gangguan dari syaitan dan keturunannya. Amin. Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُونِ

Maksudnya: Kami berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna daripada murka dan seksa-Nya, dan dari kejahatan hamba-hamba-Nya dan daripada godaaan  syaitan,  serta  daripada kedatangan mereka kepada kami.

Wallahua`lam.

Leave a Reply