Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bekerja dengan syarikat pembekal barang-barang kapal terbang helikopter dan jet. HQ berada di US. Baru-baru  ini saya dapat email dari HQ berkenaan kebimbangan mereka terhadap warga Israel. Barulah saya tahu company ini ada warehouse di Selatan Israel dan saya ada melihat transaksi jualan atas nama warehouse Israel itu. Projek terbaru yang saya uruskan juga berkenaan kontrak selama 3 tahun untuk membekal barang-barang seperti screw dan nut untuk jet dan kapal terbang bagi memastikan bekalan mereka sentiasa mencukupi. Kami membekal barang ke Korea dan Korea akan membekal ke Israel. Soalan saya adakah saya dikira bersubahat atas peperangan dan kekejaman Israel ke Palestin? Patutkah saya mencari kerja lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”

Surah al-Baqarah (154)

Ayat di atas merupakan peringatan kepada orang yang beriman agar jangan mengatakan mereka yang telah terbunuh pada jalan Allah — kerana membela agama-Nya — ialah orang-orang yang mati — yakni tiada apa-apa nilai. Bahkan mereka itu ialah orang-orang yang hidup dengan keadaan hidup yang istimewa — yakni secara khusus — di dalam kubur-kubur mereka, yang mana tidak diketahui bagaimana hidupnya itu melainkan oleh Allah SWT. Akan tetapi kamu juga tidak dapat menyedarinya. Ini adalah dalil yang menunjukkan kepada wujudnya nikmat di dalam kubur. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 24.)

Apa yang berlaku di bumi Gaza mutakhir ini dengan penjarahan oleh puak-puak Yahudi dan rejim zionis Israel merupakan satu pelupusan etnik dan pembunuhan beramai-ramai yang sedang ditalakan kepada umat Islam Gaza, Palestin. Ini mengingatkan kita kepada firman Allah SWT:

وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

Maksudnya: “Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!

(Surah al-Buruj: 8)

Sudah hampir tiga minggu (25 Oktober 2023) berlangsungnya serangan dahsyat oleh rejim zionis tanpa ihsan dan rahmah sehingga hospital al-Ahli juga dibom, masjid, tempat belajar, sekolah dan kemudahan awam menjadi sasaran mereka.

Inilah rejim zionis yang menunjukkan belang yang sebenar dalam memusuhi umat Islam. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada umat Islam Palestin dalam mempertahankan negaranya serta bantuan daripada umat Islam seluruh dunia dapat sampai ke bumi Palestin ini.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan kita sedia maklum pada hari ini isu Palestin menjadi bualan hangat di peringkat global, bahkan banyak demonstrasi yang telah dibuat bagi menunjukkan penentangan terhadap Israel. Justeru, dalam isu ini, kami membahagikan jawapan kepada dua situasi:

1)              Sekiranya Syarikat tersebut secara langsung memberi atau menyediakan bekalan kepada pihak Israel dalam menyerang Palestin, maka ia dikira sudah bersubahat dalam kekejaman Israel.

2)              Sekiranya Syarikat tersebut merupakan syarikat yang membekalkan barangan kapal terbang/jet ke serata dunia dan bukan hanya pada Israel, maka ia tidaklah dikira bersekongkol dalam kekejaman Israel.

Begitu juga, dalam isu berhenti kerja, sepertimana kami sebut di atas, ia perlu dilihat sama ada ia secara langsung atau tidak dalam memberi bekalan kepada pihak Israel. Sekiranya Syarikat tersebut sememangnya membekalkan barangan kapal terbang kepada seluruh dunia, maka ia tidaklah dikira bersubahat dan kembali kepada hukum harus.

Akhirnya, marilah kita sama-sama mendoakan mereka agar Allah SWT membebaskan Palestin dari penjajahan Israel laknatullah dan memberi kegembiraan buat rakyat Palestin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply