Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. boleh terang kepada kami hujah lojik tentang wujudnya hari kebagkitan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا هَلْ نَدُلُّكُمْ عَلَىٰ رَجُلٍ يُنَبِّئُكُمْ إِذَا مُزِّقْتُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ إِنَّكُمْ لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ

Maksudnya: Dan orang-orang yang kafir pula berkata (sesama sendiri secara mengejek-ejek): “Mahukah, kami tunjukkan kepada kamu seorang lelaki yang memberitakan kepada kamu: ` (Bahawa apabila kamu dihancurkan sehancur-hanurnya sesudah mati), sesungguhnya kamu akan dihidupkan semula dalam bentuk kejadian yang baru? ‘

أَفَلَمْ يَرَوْا إِلَىٰ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُم مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ۚ إِن نَّشَأْ نَخْسِفْ بِهِمُ الْأَرْضَ أَوْ نُسْقِطْ عَلَيْهِمْ كِسَفًا مِّنَ السَّمَاءِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّكُلِّ عَبْدٍ مُّنِيبٍ

Maksudnya : “Adakah ia berdusta terhadap Allah, atau ia kena penyakit gila?” (Tidak ada satupun) bahkan orang-orang yang tidak percaya kepada hari akhirat tetap beroleh (di sana) azab seksa yang seburuk-buruknya dan (di sini) tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.

(Surah al-Saba 7-8)

Berbalik kepada persoalan di atas, beriman kepada hari kiamat merupakan salah satu daripada rukun iman yang enam.  Menurut Imam al-Baijuri, hari kiamat adalah berdasarkan perkataan qiyam yang bermaksud bangun, bangkit dan berdiri. Oleh itu, istilah hari kiamat merujuk kepada hari manusia  dibangkitkan daripada kubur mereka, kemudian didirikan di hadapan Tuhan mereka, seterusnya didirikan segala dakwaan-dakwaan dan hujah-hujah ke atas diri mereka.28 Menurut Sayyid Sabiq pula, hari kiamat adalah hari di mana seluruh alam ini dimusnahkan dan kemudian diciptakan kehidupan akhirat serta dihidupkan seluruh makhluk untuk kali kedua bagi menghadapi perhitungan dan pembalasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan semasa hidup di dunia dahulu. (Lihat al-’Aqaid al-Islamiyyah, hlm.228)

Dewasa ini, masih terdapat golongan-golongan yang ingkar dan ragu-ragu dengan  kewujudan hari kebangkitan dan pembalasan selepas kematian. Justeru didatangkan  beberapa hujah logik di sini, yang menunjukkan hakikat kewujudan suatu hari pembalasan  ke atas diri manusia yang pasti akan berlaku. Antaranya adalah berdasarkan kepada hukum keadilan Tuhan yang mencipta alam ini kerana manusia yang hidup di muka bumi terdiri daripada mereka yang berakhlak mulia dan tidak kurang juga yang berakhlak keji dengan membuat berbagai kerosakan dan kemusnahan di alam ini. Sekiranya tidak wujud hari pembalasan atau pun hari kiamat sudah tentulah segala tanggungjawab yang dikenakan terhadap diri manusia merupakan suatu tuntutan yang sia-sia. Oleh yang demikian tidak wujud sebarang perbezaan di antara para nabi, para rasul, orang soleh dan golongan yang berbuat kebaikan dengan golongan-golongan yang berbuat kerosakan di muka bumi ini. (Lihat al-’Aqidah al-Islamiyyah Wa Ususuha, hlm535 )

Di samping itu, ia juga bersandarkan kepada dalil logik akal yang berdasarkan kepada hukum keseimbangan iaitu menghidupkan kembali sesuatu seperti mengadakan sesuatu daripada tiada. Ini adalah kerana wujud salah satu daripada keduanya menunjukan harus wujudnya sesuatu yang lain seumpamanya. (Lihat Syarh Maqasid, 5/82, al-’Aqidah al-Islamiyyah Wa Ususuha.hlm 559 )

Selain itu, terdapat juga golongan yang mengingkari di mana mereka menyatakan bahawa sukar bagi Allah SWT untuk menghidupkan kembali tubuh manusia yang telah menjadi tulang belulang atau hancur menjadi tanah. Oleh itu, mereka mengingkari kewujudan hari kiamat. Dalam menjawab hal seperti ini, mereka sepatutnya memikirkan terlebih dahulu bagaimanakah mereka dihidupkan. Begitu juga sekiranya mereka melihat kekuasaan Allah SWT mengembalikan kehijauan pohon selepas daun-daunnya luruh, mewarnakan kembali bunga-bungaan dan menumbuhkan kembali tumbuh-rumbuhan yang telah mati kepada keadaan sediakala. Maka sekiranya mereka merenung kembali semua itu, nescaya sudah cukup bagi mereka untuk menyedari dan meyakini akan kekuasaan Allah SWT dalam menghidupkan mereka kembali di hari kiamat. (Lihat Dalail al-Tauhid, hlm 319)

Sebagai kesimpulannya kami katakan hendaklah setiap dari seorang muslim itu beriman dan percaya bahawa akan berlakunya hari kebangkitan  seperti yang telah thabit di dalam al-Quran dan hadith. Beriman dengan hari kebangkitan  ini hendaklah disertakan bersama dengan amalan-amalan soleh untuk kita menghadapinya kelak

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.

Wallahu A’lam

Leave a Reply