Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  boleh jelaskan kepada kami sebahagian daripada tanda kesempurnaan iman ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّدًا وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ ۩ ‎﴿١٥﴾‏ تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ ‎﴿١٦﴾‏ فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.  Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka. Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan

(Surah al-Sajdah:15-17)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa   Dalam kumpulan ayat ini, seperti yang dinyatakan melalui firman-Nya, Allah SWT menggariskan dan menjelaskan kepada kita beberapa ciri orang yang beriman, dan di antaranya adalah mereka ini sentiasa melazimi solat malam iaitu qiamullail. Namun, tidaklah yang dimaksudkan di sini mereka yang tidak solat malam merupakan orang yang tidak beriman, tetapi yang ingin dijelaskan di sini adalah tanda sempurnanya keimanan seseorang. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir,21/227)

Ketika diingatkan kepada mereka tentang ayat-ayat Allah SWT, mereka terus tunduk sujud sebagai tanda menzahirkan rasa penghormatan dan kemuliaan terhadap Allah SWT. Mereka bertasbih memuji Tuhan di dalam sujud. Mereka tidak bersikap angkuh untuk tidak menyembah kepada yang Maha Esa, lantas berjaga pada malam hari untuk berdoa dan beribadah kepada Tuhan mereka kerana merasa takut dan menaruh harapan kepada-Nya. Di samping itu, mereka juga menginfaqkan sebahagian daripada rezeki yang dikurniakan kepada mereka kepada orang lain. (Lihat Fi Zilal al-Quran,5/2812)

Hal ini juga sama seperti yang difirmankan Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ ‎﴿٢﴾‏ الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ ‎﴿٣﴾‏ أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُمْ دَرَجَاتٌ عِندَ رَبِّهِمْ وَمَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.  Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).

Justeru itu, seorang Muslim yang sempurna imannya adalah mereka yang melaksanakan dan memelihara amal ibadatnya di samping hatinya sentiasa takutkan Allah SWT dan mengharapkan rahmat daripada-Nya. Maka, apabila telah sempurnanya iman seseorang itu, Allah SWT telah menjanjikan suatu ganjaran yang amat luar biasa. Ia tidak tercapai dek akal dan tidak pernah terjangkau di dalam pemikiran manusia, seperti yang Allah SWT nyatakan di dalam surah yang sama (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/ 339-340)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahua’lam

Leave a Reply