Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. adakah terdapat dalil adanya azab kubur? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قَالُوا رَبَّنَا أَمَتَّنَا اثْنَتَيْنِ وَأَحْيَيْتَنَا اثْنَتَيْنِ فَاعْتَرَفْنَا بِذُنُوبِنَا فَهَلْ إِلَىٰ خُرُوجٍ مِّن سَبِيلٍ

Maksudnya:  “Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk (kami) keluar (dari neraka)?”

(Surah Ghafir:11)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini terdapat banyak ayat yang menthabitkan adanya azab kubur antaranya seperti mana ayat yang telah diterangkan di atas. Ayat tersebut menjelaskan tentang kematian yang berlaku sebanyak dua kali menjadi hujah bagi kebanyakan para ulama untuk menetapkan adanya azab kubur. Perkara ini adalah berdasarkan kepada Tafsir al-Suddi yang menyatakan bahwa, mereka dimatikan di dunia, kemudian dihidupkan di dalam kubur untuk disoal, kemudian dimatikan semula sebelum dihidupkan di hari akhirat. (Lihat Tafsir Munir, 24/93)

Secara umumnya, AhliSunnah Waljamaah mengimani kewujudan azab dan nikmat yang akan diperolehi oleh setiap manusia apabila mereka dikebumikan. Hanya golongan Mu’tazilah yang enggan mempercayai kehidupan dalam kubur yang meliputi nikmat dan azab terhadap penghuninya kerana dianggap bertentangan dengan akal. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/14)

Begitu juga boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Bahawa Rasulullah SAW berdoa dengan mengucapkan:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat al-Bukhari (1377) dan Muslim (1352)

Imam al-Nawawi menyebut: Hadith ini menunjukkan thabitnya azab kubur dan fitnahnya. Inilah mazhab yang benar berbanding dengan pegangan mazhab Mu’tazilah. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 5/85)

Justeru, melalui keterangan yang terdapat pada ayat sebelumnya, ia jelas menunjukkan bahawa azab kubur adalah realiti yang akan berlaku selepas kehidupan di dunia ini. Oleh itu, sebagai seorang Muslim, penting untuk meyakini kewujudan azab kubur kerana ia merupakan salah satu asas keimanan yang penting bagi umat Islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat al-Bukhari (1377) dan Muslim (1352)

Wallahu’alam

Leave a Reply