Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya boleh terangkan hakikat pertolongan Allah terhadap para rasul benarkah fikir dan zikir merupakan kunci penerokaan ilmu? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ ، يَوْمَ لَا يَنفَعُ الظَّالِمِينَ مَعْذِرَتُهُمْ ۖ وَلَهُمُ اللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman – dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat)(Iaitu) pada hari yang tidak berguna bagi orang-orang yang zalim dalihan-dalihan mereka untuk melepaskan diri, dan mereka akan beroleh laknat, serta mereka beroleh seburuk-buruk tempat tinggal.
(Surah ghafir: 51-52)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa; dalam ayat 51 Surah Ghafir, Allah SWT memberi jaminan pertolongan terhadap para rasul. Imam Ibn Kathir mengetengahkan perbincangan tentang isu ini di dalam kitab Tafsir al-Quran al-‘Azim. Isu atau kemusykilan yang timbul; bagaimanakah boleh dikatakan Allah SWT memberi jaminan pertolongan sedangkan terdapat para rasul yang terkorban sebelum misi dakwah mereka berjaya?
Imam Ibn Kathir mengetengahkan dua jawapan terhadap kemusykilan ii sepertimana berikut:
- Maksud jaminan pertolongan ialah kejayaan di dunia akan diberikan kepada kebanyakan para rasul serta orang beriman. Mereka dikurniakan kejayaan menegakkan agama Allah SWT dan dapat mengalahkan segala musuh.
- Maksud jaminan pertolongan ialah kejayaan di dunia akan diberikan kepada kebanyakan para rasul serta orang beriman. Mereka dikurniakan kejayaan menegakkan agama Allah SWT dan dapat mengalahkan segala musuh. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 40/1644-1645)
Justeru, para rasul dan orang yang beriman datang silih berganti. Generasi tersebut berjaya menyampaikan dakwah hasil daripada pertolongan Allah SWT. Sehinggalah kemuncak pertolongan ialah di era zaman Nabi Muhammad SAW. Keadaan ini menyaksikan perancangan musuh untuk memadamkan Islam sentiasa gagal sepanjang zaman. Keunikan perjuangan yang benar, tatkala sesuatu urusan dakwah tidak berjaya pada zahirnya atau didapati seseorang mukmin tumpas dengan kezaliman, pihak yang beriman tetap dikira menang di sisi Allah SWT. Mereka menang besar dengan ganjaran pahala. Jika terkorban pula, mereka mendapat kalungan syahid. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/37)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.
Wallahu A’lam