Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah penentang kebenaran wujud di sepanjang zaman? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي آيَاتِنَا لَا يَخْفَوْنَ عَلَيْنَا ۗ أَفَمَن يُلْقَىٰ فِي النَّارِ خَيْرٌ أَم مَّن يَأْتِي آمِنًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۚ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ ۖ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (40) إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالذِّكْرِ لَمَّا جَاءَهُمْ ۖ وَإِنَّهُ لَكِتَابٌ عَزِيزٌ (41) لَّا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ ۖ تَنزِيلٌ مِّنْ حَكِيمٍ حَمِيدٍ

Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar mengenai ayat-ayat keterangan Kami, tidak terselindung keadaan mereka dari (pengetahuan) Kami. (Kalau sudah demikian), maka adakah orang yang dihumbankan ke dalam neraka lebih baik, atau orang yang datang dalam keadaan aman dan selamat pada hari kiamat? (Katakanlah kepada orang-orang yang menyeleweng itu): “Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan (dan akan membalasnya)”. Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi,  Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari

(Surah Fussilat: 40-42)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Tidak semua orang menyukai kebenaran, sekalipun kebenaran itu bersumber daripada Allah SWT. Sejak manusia pertama diciptakan dan mendiami bumi, sentiasa akan ada orang yang secara sedar menentang kebenaran. Contohnya bagaimana Iblis menentang Nabi Adam A.S, Qabil menentang adiknya Habil, Samiri menentang Nabi Musa A.S, isteri Nabi Nuh A.S menentang dakwah suaminya, Namruz menentang Nabi Ibrahim A.S, isteri al-Aziz (pembersar Mesir) menentang Nabi Yusuf A.S, Abdullah bin Ubay bin Salul dan kuncu-kuncunya menentang Nabi Muhammad SAW dan lain-lain lagi.

Golongan ini wujud dalam masyarakat umat Islam dan mereka mempunyai maklumat tentang sesuatu kebenaran tetapi mereka menolaknya. Golongan yang sentiasa mengkritik serta menentang apa jua kebaikan yang dibawa oleh rasul dan Allah SWT telah membuat perumpamaan golongan ini seperti orang pekak dan buta yang mendengar serta melihat kebenaran tetapi tidak mempedulikannya. Firman Allah SWT:

وَمِنْهُم مَّن يَسْتَمِعُونَ إِلَيْكَ ۚ أَفَأَنتَ تُسْمِعُ الصُّمَّ وَلَوْ كَانُوا لَا يَعْقِلُونَ ‎﴿٤٢﴾‏ وَمِنْهُم مَّن يَنظُرُ إِلَيْكَ ۚ أَفَأَنتَ تَهْدِي الْعُمْيَ وَلَوْ كَانُوا لَا يُبْصِرُونَ

Maksudnya: Dan di antara mereka (yang ingkar) itu, ada yang datang mendengar ajaranmu (dengan tidak mendapat faedah sedikitpun sebagai orang pekak); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu memahami perkara yang didengarnya. Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak nampak kebenarannya sebagai orang buta); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu).

(Surah Yunus 42-43 )

Allah SWT telah mengutuskan para rasul untuk menyampaikan risalah kebenaran, namun sepanjang zaman mereka telah didustai oleh penentang kebenaran. Tuduhan kepada para rasul seperti orang gila, bodoh, ahli sihir, penyebar berita dongeng dan lainlain menjadi serangan saraf supaya masyarakat menolak dakwah para rasul. Daripada kalangan mereka ada yang berpura-pura mendengar seruan kebenaran tetapi puak inilah sebenarnya yang menjadi perancang utama memburukkan imej dakwah Islam. Mereka jauh daripada hidayah Allah SWT akibat sikap degil dan tabiat buruk yang menjadi pegangan mereka. Perkara seperti ini terus menerus berlaku sehingga kini dan ia dibincangkan oleh Muhammad Khalifah dalam “The Sublime Quran and Orientalisme”.

Hidayah ialah pemberian mutlak Allah SWT yang Dia kurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki. Para nabi dan rasul hanyalah penyampai kebenaran dan bukannya pemberi hidayah. Mereka menjadi penghubung untuk menyampaikan hidayah Allah SWT kepada seluruh manusia. Rasulullah SAW sendiri tidak dapat memberi hidayah kepada bapa saudaranya Abu Thalib apabila beliau meninggal tanpa sempat mengucap dua kalimah syahadah .[1] Nabi SAW hanya berusaha tetapi Allah SWT berkuasa sepenuhnya.

Begitulah juga para pendakwah, mereka boleh menyeru serta menyebarkan kebenaran. Namun mereka tidak berupaya melembutkan hati serta membuang sifat takbur seseorang. Para pemimpin yang mentadbir sesebuah negeri dan negara juga tidak berkuasa melunakkan hati rakyat agar menerima sepenuhnya arahan dan ketetapan yang dibuat kerana hati manusia sentiasa berbolak-balik.

Allah SWT telah mengurniakan akal fikiran kepada manusia untuk mereka menilai di antara kebenaran dengan keburukan. Selepas kewafatan para anbiya’, pewaris mereka adalah daripada kalangan ulama yang mengambil tanggungjawab ini sehinggalah ke hari kiamat. Manusia yang jauh daripada kebenaran menjadi penentang tegar serta berusaha melenyapkannya tergolong dalam kalangan manusia yang menzalimi dirinya sendiri. Allah SWT tidak sesekali menzalimi makhluk ciptaan-Nya tetapi manusia itu sendiri yang menzalimi dirinya. Firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّهَ لَا يَظْلِمُ النَّاسَ شَيْئًا وَلَٰكِنَّ النَّاسَ أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Maksudnya : Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).

(Surah Yunus: 44)

Cabaran yang dilalui ini perlu diatasi sebaik mungkin supaya penyampai kebenaran sentiasa bersabar dan konsisten dalam agenda menyampaikan dakwah Islam seterusnya bertawakal kepada Allah SWT.

Justeru kami katakan di sini, berdasarkan penerangan di atas kami katakan penentang kebenaran akan sentiasa ada sehinggalah kiamat. Jika penentang kebenaran tetap dengan kebutaan dan kepekakan mereka, jauhilah daripada bertahaluf, apatah lagi bersekongkol dengan mereka kerana kelak ia akan memudaratkan agenda dakwah Islam yang suci.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] www.fatwa.islamweb.net, نبذة عن أبي طالب وهل مات كافرا diases pada 4/9/2020.

Leave a Reply