Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan melalui al-Quran dan kajian saintifik, serta jawapan tentang salah faham terhadap lalat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ لَن يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ ۖ وَإِن يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ۚ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ

Maksudnya: “Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).”

(Surah al-Hajj: 73)

Merujuk kepada artikel Bayan Linnas Siri Ke-165[1]: Lalat dalam al-Quran dan hadith Amthal, kajian saintifik dan jawapan terhadap salah faham menjelaskan isu ini secara terperinci.

Lalat merupakan sejenis serangga yang boleh terbang, yang makan dengan memuntahkan air liurnya keluar dan menyerap kembali makanan yang separuh hadam masuk ke dalam perutnya melalui belalainya. Ia merupakan sejenis serangga yang mampu menyebarkan penyakit, disebabkan cara pemakanannya dan sifatnya yang sering terbang ke tempat yang kotor seperti dalam tandas. tempat sampah dan sebagainya. la juga termasuk dalam salah satu jenis serangga makhluk perosak yang paling mudah dijumpai. Namun begitu jenis lalat buah dan bunga tidak dikategorikan sebagai pembawa penyakit. Walaupun semua lalat suka menghinggapi tempat yang kotor, tong sampah dan sebagainya, lalat askar hitam umpamanya hanya terbang di persekitaran kompos untuk tujuan mengawan dan bertelur.

Perumpamaan mengenal lalat dalam ayat 73 Surah al-Hajj ini mengandungi rahsia i‘jaz yang begitu hebat. Kelemahan manusia untuk mencipta lalat samalah dengan ketidakupayaan mereka untuk mencipta unta dan gajah. Namun uslub al-Quran memilih lalat yang kecil dan hina untuk dibuat cabaran kepada manusia yang ingkar. Hal ini kerana cabaran untuk mencipta lalat lebih terasa kelemahannya berbanding cabaran untuk mencipta gajah dan unta. Menurut Syed Qutb, inilah yang dinamakan sebagai kesenian dalam uslub al-Quran. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2443)

Bahkan, seandainya diadakan satu muktamar yang dihadiri oleh para sarjana imu serangga dari seluruh pelosok dunia untuk bekerjasama mencipta seekor lalat dan memberinya nyawa, sudah pasti muktamar itu akan gagal. Ini kerana, tiada siapa pun yang mampu mencipta seekor lalat yang sempurna.

Pemilihan lalat sebagai perumpamaan memberikan maksud yang besar dan mendalam kerana lalat mempunyai pengaruh yang buruk daripada aspek kesihatan manusia. Sehingga kini, lalat merupakan di antara serangga yang menjadi punca utama masalah kesihatan manusia dan haiwan ternakan di seluruh dunia. Pelbagai jenis penyakit yang melibatkan lad terdapat di seluruh dunia atau khususnya di satu-satu kawasan geografi dunia. Terdapat banyak mikroorganisma yang bersekutu dengan lalat dan mikroorganisma terdiri daripada jenis-jenis bakteria, virus, protozoa, kulat dan juga cacing-cacing nematod (roundworm) yang menyebabkan pelbagai jenis penyakit kepada manusia dan haiwan ternak.

Oleh kerana lalat merupakan agen pembawa penyakit, maka Rasulullah SAW menyuruh agar di’neutral‘kan racun yang ada pada lalat sekiranya ia terjatuh di dalam air. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَفِي الأُخْرَى شِفَاءً

Maksudnya: “Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dia mencelupnya kemudian membuangnya, kerana sesungguhnya pada salah satu daripada kedua sayapnya terdapat penyakit dan pada yang lainnya terdapat penawar.”

Riwayat al-Bukhari (3320)

Mukjizat al-Quran amat terserlah kerana sehingga ke hari ini manusia bukan sahaja tidak dapat mencipta seekor lalat, bahkan manusia juga gagal untuk membuat sesuatu alat yang setanding dengan keunikan yang ada pada lalat. Manusia mencipta kapal terbang dan helikopter dengan mengambil lalat sebagai model, namun seekor lalat adalah terlalu unggul berbanding setiap teknologi yang direka oleh manusia. Apa yang hebat, ia adalah seekor ‘makhluk hidup’. Kapal terbang dan helikopter hanya bermanfaat untuk seketika waktu, sebaliknya lalat sentiasa menghasilkan generasi yang sama. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/515)

Kesimpulan

Lalat dianggap sebagai salah satu makhluk ciptaan Allah SWT yang mempunyai banyak keajaiban. Dan salah satu yang paling menakjubkan adalah bahawa Allah SWT meletakkan penyakit pada salah satu sayap lalat dan ubat pada yang lain, dan Rasulullah SAW menceritakannya kepada kita dalam hadithnya yang mulia 1400 tahun yang lalu sebelum para ilmuan moden menemuinya.

Semoga dengan kehebatan ciptaan Allah SWT ini dapat meningkatkan lagi keimanan kita kepada Tuhan yang Maha Kuasa, yang Maha Mencipta segala sesuatu. Kamik akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.muftiwp.gov.my/ms/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/3083-bayan-linnas-siri-ke-165-lalat-dalam-al-quran-dan-al-hadith-amthal-kajian-saintifik-dan-jawapan-terhadap-salah-faham. Diakses pada 20 November 2023.

Leave a Reply