Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah bencana alam merupakan peringatan Allah SWT buat umat manusia?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Rasulullah SAW diutuskan ketika dunia ini sedang menginjak umur tua. Bahkan dunia sedang menghampiri detik kemusnahannya. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdillah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةَ كَهَاتَيْنِ

Maksudnya: “Jarak antara waktu aku diutuskan sebagai Rasul dengan hari terjadinya kiamat adalah seperti kedua-dua jari ini (sambil menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah Baginda).”

Riwayat al-Bukhari (6504) dan Muslim (2951)

Kemusnahan ini datang dalam pelbagai bentuk termasuklah bencana alam yang mendominasinya dengan pelbagai kemusnahan fizikal seperti banjir, letuSan gunung berapi, puting beliung, kemarau, tanah runtuh, epidemik, pandemik dan endemik seperti HIV, AIDS, SARS, COVID-19, dan pelbagai lagi bentuk kemusnahan.

Bencana alam ini tidak datang begitu sahaja tanpa ada sebab musababnya. Bahkan al-Quran menyatakan bahawa puncanya ialah tangan-tangan manusia sendiri di mana sepatutnya mereka memainkan peranan mentadbir alam ini dengan sebaik mungkin, namun yang berlaku adalah sebaliknya.

Firman Allah SWT:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: “Telah nyata kerosakan dan malapetaka di daratan dan lautan disebabkan apa yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia kerana Allah hendak mereka dapat merasai sebahagian daripada apa yang telah mereka lakukan supaya mereka kembali insaf.”

(Surah al-Rum: 41)

Ayat ini menjadi dalil bahawa manusia adalah punca kepada kerosakan alam ini di samping kesannya akan kembali kepada manusia supaya mereka insaf dan menyedari kesilapan mereka. Selain tu, terdapat hadith yang menjelaskan tentang faktor tangan-tangan manusia sebagai punca bencana alam, juga kesan daripada perbuatan mereka sebagaimana hadith daripada ‘Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الْمُهَاجِرِينَ خَمْسٌ إِذَا ابْتُلِيتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ تُدْرِكُوهُنَّ لَمْ تَظْهَرِ الْفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلاَّ فَشَا فِيهِمُ الطَّاعُونُ وَالأَوْجَاعُ الَّتِي لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِي أَسْلاَفِهِمُ الَّذِينَ مَضَوْا ‏.‏ وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلاَّ أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَؤُنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ ‏.‏ وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنَ السَّمَاءِ وَلَوْلاَ الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا وَلَمْ يَنْقُضُوا عَهْدَ اللَّهِ وَعَهْدَ رَسُولِهِ إِلاَّ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوا بَعْضَ مَا فِي أَيْدِيهِمْ ‏.‏ وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلاَّ جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “Wahai golongan muhajirin, ada lima perkara apabila kamu diuji dengannya dan aku berlindung dengan Allah SWT daripada kamu menghadapinya. Kejahatan tidak timbul dalam sesuatu kaum sehingga mereka menzahirkannya melainkan akan merebak taun di kalangan mereka dan kebuluran yang tidak pernah dihadapi oleh generasi sebelum mereka. Mereka tidak mengurangkan timbangan dan sukatan melainkan akan ditimpa kemarau dan kesempitan hidup serta kezaliman pemerintah ke atas mereka.”

Riwayat Ibn Majah (4019), al-Tabarani (4671) dan al-Hakim (8623)

Oleh kerana punca bencana adalah manusia, maka mereka bertanggungjawab menyelesaikannya. Al-Quran menjelaskan bahawa apabila sesuatu bencana turun, maka ia bukan hanya melibatkan pelaku kerosakan sahaja, bahkan ia turut melibatkan orang ramai.

Firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Peliharalah diri kamu daripada azab yang bukan sahaja menimpa sesiapa yang melakukan kezaliman dalam kalangan kamu secara khusus, bahkan ia akan menimpa kamu kesemuanya. Dan ketahuilah bahawa Allah amat berat balasan seksa-Nya.”

(Surah al-Anfal: 25)

Apabila sesuatu bencana alam berlaku, maka ia bukan sahaja memusnahkan satu kawasan kecil atau komuniti kecil, bahkan ia boleh menghancurkan sebuah negeri sebagaimana yang berlaku terhadap Aceh selepas dilanda tsunami. Bahkan kemusnahan boleh berlaku dalam skala yang lebih besar seperti pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sekarang. Oleh itu, setiap bencana alam yang berlaku adalah peringatan daripada Allah SWT kepada manusia supaya mereka kembali kepada-Nya serta menyedari bahawa alam ini perlu diurus dan dijaga dengan baik.

Maka dengan itu, kami katakan benar bahawa bencana alam itu boleh menjadi salah satu bentuk peringatan Allah SWT kepada sekalian manusia. Hal ini kerana sesuatu bencana tidaklah ditimpakan ke atas sesuatu kaum melainkan banyaknya perlakuan maksiat yang dikerjakan.

Semoga kita semua mengambil iktibar dari perbincangan ringkas ini di samping memperbanyakkan bertaubat serta memohon pengampunan dari Allah SWT agar kita semua dijauhkan dari apa jua bentuk bencana. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply