Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Selalu kita dengar pelbagai alasan untuk memusuhi Islam. Sebenarnya kenapa mereka memusuhi Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْجُنُودِ

Maksudnya: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)?”

فِرْعَوْنَ وَثَمُودَ

Maksudnya: “(Mereka itu ialah kaum) Firaun, dan Thamud (kaum Nabi Soleh).”

بَلِ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي تَكْذِيبٍ

Maksudnya: “(Kaummu wahai Muhammad, bukan sahaja menolak ajaranmu), bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran.”

وَاللَّهُ مِن وَرَائِهِم مُّحِيطٌ

Maksudnya: “Sedang Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka (dengan kekuasaanNya)!”

(Surah al-Buruj: 17-20)

Musuh-musuh Islam sentiasa berusaha dan mencari jalan untuk menghapuskan agama Islam di atas muka bumi ini. Bahkan, mereka tidak pernah berhenti melakukannya sejak dari zaman dahulu hinggalah sekarang. Benarlah sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).”

(Surah al-Baqarah: 120)

Sebelum ini dan sehingga kini, Samuel Paty telah melakukan suatu penghinaan terhadap agama Islam, di mana dia telah menayangkan beberapa karikatur menghina Nabi Muhammad kepada para pelajarnya, kononnya atas alasan perbincangan tentang hak asasi kebebasan bersuara. Setelah itu, guru ini dipenggal kepalanya dan peristiwa ini telah mengundang perhatian masyarakat antarabangsa. Tidak berhenti setakat itu sahaja, hati umat Islam sekali lagi dirobek dengan tindakan biadap Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang memberikan anugerah khas “Legion d’Honneur” kepada Samuel Paty. Tindakan tersebut jelas menampakkan sifat kebencian dan permusuhan yang mendalam terhadap agama Islam.

Persoalannya, kenapa musuh Islam di barat dan timur menyerang Islam? Jawapannya adalah satu, iaitu agama Islam amat istimewa dan mengkagumkan, sehingga menggugat kedudukan agama dan ajaran mereka. Ramai manusia memeluk agama Islam secara sukarela atau atas pilihan mereka sendiri, selepas tertarik dengan agama ini; dasar dan kebenaran yang dibawa. Lanjutan daripada itu, timbulnya rasa cemburu dan iri hati dalam diri mereka, bilamana agama atau ajaran yang dibawa oleh mereka, semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan umat manusia sebagaimana Islam.

Selain itu, mereka memusuhi Islam juga kerana agama Islam merupakan agama yang  unggul dan bersifat universal. Dalam erti kata lain, agama buat seluruh umat manusia. Berbeza dengan agama-agama atau ajaran-ajaran mereka kerana kebanyakannya terbatas, sama ada kepada bangsa tertentu atau kawasan tertentu atau ideologi tertentu atau seumpamanya. Walau bagaimanapun, terdapat dalam kalangan musuh-musuh Islam cuba membuat dakwaan bahawa Islam ini merupakan agama buat bangsa Arab, dengan berhujahkan Nabi Muhammad SAW berbangsa Arab dan Baginda mula menyampaikan ajarannya kepada bangsa Arab Quraisy. Namun, dakwaan ini tidak berasas sama sekali, bilamana kita melihat kepada tujuan perutusan Baginda sebagai rasul adalah sebagai pembawa berita gembira kepada seluruh umat manusia dan bukannya memfokuskan kepada bangsa Arab semata-mata mahupun kawasan tertentu. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.”

(Surah Saba’: 28)

(Lihat Tafsir al-Bayan, 6/426)

Akhir kalam, marilah bersama-samalah kita berusaha untuk menegakkan agama Allah SWT ini serta menyebarkannya dengan penuh hikmah serta kelembutan. Semoga Allah SWT menetapkan kita semua di atas agama yang benar ini, dan memberikan hidayah kepada rakan-rakan kita yang belum memeluk Islam. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply