Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana pandangan Islam berkenaan dengan kehidupan di dunia?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Melihat kepada persoalan yang saudara ajukan, kami katakan bahawa gambaran mengenai hakikat dunia ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT:

اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: “Ketahuilah kamu bahawa kehidupan dunia hanyalah permainan, hiburan, perhiasan, kebanggaan sesama kamu, dan tempat menambah harta dan anak-pinak, sama seperti air hujan yang para petani berasa takjub dengan hasil yang tumbuh daripadanya, setelah tumbuhan itu menghijau, ia kemudian menjadi kuning dan seterusnya hancur. Di akhirat nanti terdapat azab yang dahsyat dan keampunan daripada Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia itu hanyalah nikmat yang sementara yang tidak kekal.”

(Surah al-Hadid: 20)

Sayyid Qutb ketika mengulas ayat ini mengatakan bahawa kehidupan dunia apabila diukur dengan ukuran dunia dan ditimbangkan dengan neraca dunia, maka ia akan dilihat dan dirasakan sebagai satu kehidupan yang amat agung dan besar. Namun, apabila diukur dengan ukuran alam buana dan ditimbangkan di atas neraca akhirat, maka ia akan kelihatan sangat kecil dan kerdil. Gambaran kehidupan dunia di sini, kelihatan seperti mainan kanak-kanak yang kecil sahaja jika hendak dibandingkan dengan kebesaran kehidupan akhirat, sekalipun pada zahirnya kelihatan kehidupan dunia itu satu kehidupan yang penuh dengan kesungguhan dan kesibukan. Oleh sebab itu, al-Quran membandingkan kehidupan dunia ini sama seperti air hujan yang para petani berasa takjub dengan hasil yang tumbuh daripadanya. Makna al-kuffar (الكُفَّارُ) di sini ialah para petani yang melindungi biji-bijian dan menimbusnya dengan timbusan tanah. Akan tetapi pemilihan kata-kata ini di sini mengandungi maksud sindiran untuk menunjukkan bahawa orang kafir itu amat tertarik dengan kehidupan dunia. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/3491)

Al-Maraghi menambah lagi dengan menyatakan, kehidupan dunia dari aspek kebinasaan dan kemusnahan yang begitu cepat diumpamakan seperti tanah yang ditimpa hujan lebat. Seterusnya, Dia menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang mengagumkan para petani dan menjadikan mereka berasa gembira, rasa tertarik, bersuka ria dan bersenang-senang, namun ketika mereka diasyikkan dengan keadaan demikian, tiba-tiba tanam-tanaman itu menjadi kering dan hancur berterbangan ditiup angin. Justeru, kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan dan kenikmatan yang akan mengalami kemusnahan, tidak kekal dan hanya cenderung memperdayakan orang dan sememangnya sudah ramai orang yang telah terpedaya dan kagum terhadapnya sehingga mereka berkeyakinan bahawa tidak ada negeri lain selain dunia ini dan tidak ada tempat kembali lagi di seberang sana. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 27/177-178)

Begitu juga, terdapat hadith daripada riwayat ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma yang menunjukkan bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara, di mana Rasulullah SAW bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ

Maksudnya: “Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara.”

Riwayat al-Bukhari (6416)

Justeru, tidak seharusnya kita jatuh cinta dengan kehidupan dunia kerana hakikatnya ia hanyalah tempat singgahan sementara sahaja, sedangkan tempat asal kita adalah di akhirat sana. Maka, buatlah persiapan sebaiknya dengan bekalan secukupnya terdiri daripada amalan-amalan soleh untuk kembali ke sana. Sekalipun begitu, ia bukanlah bermaksud menggalakkan manusia supaya memencilkan diri mereka daripada kehidupan dunia sehingga mengabaikan tugas pembangunan dan khalifah di muka bumi. Tambahan lagi, tujuan al-Quran mengemukakan hakikat sebenar kehidupan dunia adalah untuk membetulkan ukuran perasaan dan penilaian jiwa manusia terhadap kehidupan itu, di samping mengingatkan manusia supaya jangan terpesona dengan kenikmatan dunia yang penuh dengan tipu daya itu, dan jangan terkongkong dengan tarikan yang mengikatkan manusia dengan bumi.

Perbahasan ini juga pernah kami bahaskan secara terperinci ketika menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan. Saudara boleh merujuk artikel kami yang bertajuk: Sifat Kehidupan Dunia (Tafsir Surah Al-Hadid Ayat 20).”

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita daripada tipu daya dunia dan menjadikan kita mendapat kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami, kurniakanlah kepada kami di dunia dengan kebaikan dan di akhirat dengan kebaikan. Dan selamatkanlah kami dari azab Neraka.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply