Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah malaikat berperanan dalam membasmi kejahatan dan kemungkaran di dunia?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Perlu diketahui bahawa malaikat adalah makhluk Allah SWT yang sentiasa taat dan patuh kepada perintah Allah SWT. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluargamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

(Surah al-Tahrim: 6)

Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, kami memulakan jawaban kami dengan firman Allah SWT:

فَالزَّاجِرَاتِ زَجْرًا

Maksudnya: “(Hamba-hamba-Ku) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya.”

(Surah al-Saffat: 2)

Menurut al-Imam al-Qurtubi dan al-Imam al-Syaukani, para ulama berbeza pandangan dalam menetapkan maksud al-Zajirat dalam ayat di atas, namun menurut Ibn ‘Abbas, Ibn Mas‘ud dan Masruq R.A, ayat tersebut merujuk kepada para malaikat. Dinisbahkan sifat ‘menghalang’ itu kepada mereka, kerana tugas mereka yang mencegah perbuatan maksiat melakukan peringatan dan nasihat yang mereka sampaikan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 15/62; Fath al-Qadir, 4/443)

Menurut Al-Imam Fakhruddin al-Razi dan Syeikh Wahbah al-Zuhaili pula, terdapat dua cara malaikat menghalang kejahatan yang melayakkannya digelar al-Zajir, iaitu:

  1. Memberi ilham kebaikan ke dalam hati-hati manusia dan menjauhkan mereka daripada melakukan maksiat.
  2. Menghalang dan menyekat syaitan daripada menyakiti, menggoda dan melakukan perkara buruk terhadap manusia. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 26/314; al-Tafsir al-Munir, 23/63)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti mengatakan, (الزَّاجِرَاتِ) yang dimaksudkan dalam firman Allah SWT ini adalah malaikat yang menahan awan-awan (supaya kekal di langit), dan dikatakan juga bahawa malaikat-malaikat ini melarang sekalian makhluk dari melakukan maksiat terhadap Allah SWT dengan peringatan yang diceritakan lalu disampaikan kepada para Nabi.

Di antara mereka yang mengatakan bahawa ayat-ayat ini merujuk kepada malaikat adalah Ibn ‘Abbas R.A, Ibn Mas‘ud R.A, ‘Ikrimah, Sa‘id bin Jubair, Mujahid, dan Qatadah. Beginilah sebagaimana yang dinukilkan dari Imam al-Qurtubi, Ibn Kathir dan selain mereka. Dan Imam Ibn Kathir serta selainnya menambahkan lagi nama beberapa orang tokoh Islam yang bersetuju dengan tafsiran ini, antaranya Masruq, al-Suddi, al-Rabi‘ bin Anas, dan inilah pandangan kebanyakan ulama’. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 6/302)

Leave a Reply