Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami isu LGBT dan kaitannya dengan kisah kaum Nabi Lut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

LGBT merupakan suatu fahaman songsang yang memilih hubungan luar tabi‘i dan bertentangan dengan fitrah semula jadi manusia. LGBT merupakan istilah yang merujuk kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender.101 Menurut Blanch Consulting, lesbian merujuk kaum perempuan yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap perempuan yang lain. Gay pula merujuk kepada kaum lelaki yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap lelaki yang lain. Sementara itu, biseksual merujuk kepada seseorang yang tertarik (secara seksual atau romantiknya) terhadap lelaki dan perempuan. Manakala, transgender pula merujuk kepada seseorang yang identiti jantina atau ekspresi jantinanya berlawanan atau bertentangan dengan norma tradisi serta ciri fizikal seksualnya.

Ia merujuk kepada golongan yang menghadapi kekeliruan identiti dan mereka dikategorikan sebagai pesakit psikitari sehingga terdapat segelintir daripada mereka nekad untuk melakukan pembedahan menukar jantina. Terdapat sarjana lain menyatakan golongan ini memiliki naluri semulajadi melampaui batas yang perlu dikawal. Isu LGBT perlu dilihat secara holistik dan menyeluruh kerana ianya melibatkan perlakuan dan amalan seks songsang yang tercela. Golongan transgender pula perlu ditangani secara berasingan kerana di samping permasalahan orientasi seksual (sama ada homoseksual atau biseksual) yang ada pada golongan ini, mereka juga telah mengubah ciri-ciri fizikal sehingga ada yang telah mengubahsuai alat sulit jantina. (Lihat Salah Laku Lgbt Dalam Perundangan Malaysia: Undang-Undang Sebagai Mekanisme Pembanterasan dan Kawalan dalam Journal of Advanced Research in Social and Behavioural Sciences 13, hlm. 19-34)

Kebathilan yang jelas dari fahaman ini sehinggakan tidak pernah ada suatu kaum dalam sejarah peradaban manusia melakukan perbuatan ini sebelum kaum Nabi Lut A.S, yang merupakan pelopor kepada perbuatan terkutuk ini. Firman Allah SWT:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?’.”

إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

Maksudnya: “‘Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas’.”

(Surah al-A‘raf: 80-81)

Peristiwa kaum Nabi Lut A.S menonjolkan kejahatan perlakuan mereka yang sangat hina berlawanan dengan tabiat semulajadi manusia dilihat mempunyai pertalian yang erat dengan isu LGBT yang hangat diperkatakan dalam masyarakat kita pada hari ini. Allah SWT melaknat dan mengazab kaum Lut dengan azab yang amat dahsyat membuktikan kepada kita tentang pengharaman kelakuan tersebut.

Malahan disokong dengan hasil kajian yang tuntas berkaitan takhrij, matan dan status hadith-hadith yang menyentuh perlakuan transgender adalah hadith sahih yang jelas melarang perlakuan LGBT yang ternyata mengundang kemurkaan Allah SWT dan laknat oleh Nabi SAW. Bahkan kenyataan ini dapat menepis segala persepsi salah di kalangan ilmuan dan pengamal LGBT. Kebimbangan terhadap kisah kaum Nabi Lut A.S tentang azab yang ditimpakan kepada mereka perlu dijadikan pengajaran kepada kita semua. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/32)

Isu Semasa Berkaitan LGBT di Malaysia

Terdapat beberapa noktah penting berkaitan isu semasa berhubung masalah LGBT di Malaysia. Antaranya:

  • Isu transeksual dianggap sebagai fenomena yang kompleks kerana melibatkan pelbagai faktor termasuk isu biologi, psikologi, persekitaran dan sosial mereka yang terlibat.
  • Persepsi masyarakat secara umumnya terhadap kelompok transeksual ini menjurus kepada lelaki yang bersifat keperempuanan atau perempuan yang bersifat kelelakian dan sering dikaitkan dengan homoseksualiti (lesbian / gay).
  • Hasil kajian menunjukkan bahawa 65% daripada transgender menjadikan aktiviti pelacuran sebagai salah satu mata pencarian. 25% daripada mereka terlibat dengan kelab malam dan lain-lain manakala sekitar 10% sahaja yang tidak melibatkan diri dengan aktiviti seumpamanya (sektor perniagaan dan lain-lain).
  • Terdapat dua kelompok utama dalam golongan LGBT iaitu pesakit yang memerlukan rawatan daripada pakar psikatari dan golongan yang berjuang menuntut hak asasi manusia untuk membela golongan tersebut. (Lihat Isu Lesbians, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), hlm. 1)

Data statistik yang menunjukkan peningkatan drastik yang berlaku saban tahun. Menurut Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Mohd Yusof menegaskan bahawa berlaku peningkatan yang hampir berganda dalam statistik homoseksual iaitu pada tahun 2013 sebanyak 173 ribu berbanding tahun 2016 pula sebanyak 310 ribu orang.106 Anggaran statistik dalam jurnal Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Pertanian Bogor yang bertajuk Konsep, Teori dan Analisis Gender, menyebut bahawa isu transgender di Malaysia ialah seramai 100,000 orang lelaki transgender yang mana 70 hingga 80 peratus adalah Melayu, selebihnya Cina, India dan golongan minoriti lain. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/34)

Kesimpulan

Kami katakan bahawa LGBT adalah penyakit yang melanda sesebuah ummah. Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan sebaik mungkin, ia boleh membarah, dan akhirnya merosakkan manusia itu sendiri. Sejarah membuktikan umat terdahulu dibinasakan kerana budaya luar tabi‘i dan songsang ini telah menjadi umum di kalangan mereka seperti kisah kaum Nabi Lut A.S, sehingga zahirnya kemurkaan Allah SWT dengan dibenamkan ke dalam tanah dan direndahkan sehingga menjadi laut mati.

Semoga Allah SWT memelihara kita serta seluruh zuriat keturunan kita daripada fahaman seperti ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذُنُوبَنَا وَطَهِّرْ قُلُوبَنَا وَحَصِّنْ فُرُوجَنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami, sucikanlah hati-hati kami, dan peliharalah kemaluan-kemaluan kami.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply