Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Allah SWT ciptakan langit dan bumi serta segalanya selama 6 hari?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ ۖ مَا لَكُم مِّن دُونِهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا شَفِيعٍ ۚ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya: “Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam masa enam hari; kemudian, Allah bersemayam (tidak sama seperti makhluk) di atas ‘Arasy singgahsana-Nya. Tidak ada bagi kamu pelindung dan pemberi syafaat selain-Nya. Tidakkah kamu mengambil pengajaran?”

(Surah al-Sajdah: 4)

Syed Qutb menjelaskan bahawa pengetahuan manusia berkaitan penciptaan langit dan bumi serta apa yang ada antara keduanya dengan segala makhluk yang tidak terhitung banyaknya adalah amat sedikit berbanding dengan maklumat yang banyak berkaitannya. Malah ia merupakan seluruh alam yang terhampar amat luas sehingga ke hujungnya. Apabila manusia berdiri di hadapannya akan merasa sangat kagum dan takjub dengan penciptaan yang indah penuh keteraturan. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 5/2806-2807)

Merujuk kepada kalimah enam hari ini yang disebut dalam tempoh penciptaan alam secara umumnya bukanlah merupakan ukuran masa yang sama di dunia seperti yang kita ketahui kerana perkiraan hari di dunia diukur dengan masa yang bersandarkan kepada peredaran bumi itu sendiri sehingga berlaku siang dan malam silih berganti ke atas bumi kecil ini. Hakikatnya bumi hanyalah salah satu daripada planet yang terapung di ruang angkasa dalam alam semesta yang sangat luas. Perkiraan hari itu berlaku selepas terciptanya langit dan bumi dan mendatangkan kemaslahatan kepada kita. Hakikatnya tempoh masa enam hari yang disebutkan dalam al-Quran, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahuinya dan tiada cara untuk kita menentukan dan mengukurnya kerana ukuran masa itu merupakan hari-hari Allah SWT yang dirakamkan dalam al-Quran sebagaimana dapat dilihat berkaitan ukuran masa dengan firman Allah SWT dalam ayat 47, Surah al-Haj:

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَن يُخْلِفَ اللَّهُ وَعْدَهُ ۚ وَإِنَّ يَوْمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِّمَّا تَعُدُّونَ

Maksudnya: “Mereka menggesamu agar disegerakan azab bagi mereka padahal Allah tidak akan memungkiri janji-Nya itu dan sesungguhnya satu hari di sisi Tuhanmu menyamai seribu tahun dalam kiraan kamu”

(Surah al-Hajj: 47)

Bahkan perkataan enam itu sendiri boleh dinisbahkan dengan pelbagai maksud sama ada enam fasa, enam peringkat atau enam tempoh masa, yang hanya di bawah pengetahuan Allah SWT sahaja dan pastinya tidak menyamai dengan masa di dunia. Ia merupakan antara perkara-perkara ghaib Allah dan tiada sebarang medium untuk menentukannya. Ia hanya merupakan ungkapan dalam menentukan pentadbiran dan penentuan dalam penciptaannya seiring dengan hikmah dan pengetahuan Allah SWT. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 5/2806-2807)

Dan firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan:

الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَىٰ عَلَى الْعَرْشِ ۚ الرَّحْمَٰنُ فَاسْأَلْ بِهِ خَبِيرًا

Maksudnya: “Dia telah menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam tempoh enam hari, kemudian Dia menguasai pentadbiran makhluknya atau bersemayam di atas ‘Arasy tidak sama dengan makhluk. Dialah Tuhan Maha Pengasih, maka tanyakanlah kepada-Nya yang Maha Mengetahui.”

(Surah al-Furqan: 59)

Ibn Kathir menyatakan pentafsiran dalam ayat ini tentang sifat Allah yang kekal hidup dan tidak akan mati dan Dialah yang mencipta segalanya, Dialah Tuhan dan raja yang dengan kekuasaan-Nya mencipta kerajaan-Nya dengan tujuh lapisan langit dari aspek ketinggian dan keluasannya dan tujuh lapisan bumi dari aspek kerendahan dan ketumpatannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/119)

Para ulama’ telah berbeza pendapat pada menafsirkan (فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ) iaitu penciptaan langit dan bumi pada enam masa dan padanya terdapat dua pendapat yang disebutkan oleh Ibn Kathir di dalam karyanya, al-Bidayah wa al-Nihayah iaitu:

  • Pendapat jumhur mengatakan bahawa enam masa yang dimaksudkan itu adalah hari-hari yang biasa sepertimana hari-hari kita sekarang ini.
  • Manakala pendapat Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid, al-Dhahhak dan Ka‘b al- Ahbar pula mengatakan bahawa setiap harinya itu bersamaan dengan 1000 tahun hari yang biasa.

Kesimpulannya berdasarkan pandangan para ulama’ tafsir berkaitan isu ini, hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Dialah yang Maha menciptakannya dan dituntut dari ciptaan-Nya itu adalah untuk kita berfikir dan merenung alam ini sambil bermuhasabah diri bahawa sesungguhnya kita ini manusia yang tiada apa. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/41)

Semoga Allah SWT menggolongkan kita di dalam golongan ulul albab yang sentiasa mentadabbur alam ini dengan melihat kehebatan Allah SWT seterusnya menghadirkan rasa keinsafan buat diri kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply