Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah kita beramal untuk mendapatkan khadam ayat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Al-Quran merupakan kalam Allah yang menjadi panduan dalam kehidupan manusia. Bahkan ia menjadi penawar dan rahmat bagi golongan beriman. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya: “Kami turunkan al-Quran yang dalamnya penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman. Namun ia hanya menambah kekecewaan dan kerugian bagi orang-orang zalim.”

(Surah al-Isra’: 82)

Kalimah syifa’ dalam ayat ini menegaskan bahawa al-Quran sebagai penawar untuk merawat atau menghilangkan penyakit-penyakit hati seperti keraguan, kemunafikan, kesyirikan, kesesatan dan penyelewengan. Bahkan ia menjadi sebagai rahmah dalam mencetuskan keimanan, hikmah dan perasaan atau keinginan untuk melakukan kebaikan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/103)

Khadam dari sudut istilahnya dalam konteks ini adalah pembantu manusia dalam kalangan jin. Khadam ayat ini terkenal dalam kalangan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional atau amalan kebatinan Melayu. Ia merujuk kepada pendamping atau penjaga yang diperoleh setelah mengamalkan ayat-ayat al-Quran tertentu dengan kaedah yang khusus. Kadangkala, ia tidak hadir dengan pengamalan ayat al-Quran tetapi cukup dengan amalan kebatinan. Antara yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu adalah khadam ayat al-Kursi. Walau bagaimanapun, khadam yang difahami sebagai khadam ayat ini bukanlah orang suruhan tetapi ianya lebih kepada pendamping atau penjaga seperti rijal al-ghaib. Rijal al-ghaib ini biasanya akan hadir dan mendakwa diri sebagai wali-wali, atau orang soleh.

Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَقَيَّضْنَا لَهُمْ قُرَنَاءَ فَزَيَّنُوا لَهُم مَّا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَحَقَّ عَلَيْهِمُ الْقَوْلُ فِي أُمَمٍ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِم مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ إِنَّهُمْ كَانُوا خَاسِرِينَ

Maksudnya: “Kami jadikan teman-teman rapat untuk mereka dalam kalangan syaitan yang menghiasi kesesatan mereka terhadap perkara dunia dan akhirat. Telah ditetapkan ke atas mereka balasan azab yang telah menimpa umat yang terdahulu dalam kalangan jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah daripada golongan yang rugi.”

(Surah Fussilat: 25)

Perkataan (قُرَنَاءَ) membawa maksud teman-teman pendamping daripada syaitan manusia dan jin yang telah ditetapkan oleh Allah SWT bagi golongan musyrik sehingga mereka beranggapan segala amalan mereka yang lalu adalah baik sedangkan pada waktu akan datang, keadaannya akan berlaku sebaliknya.158 Para syaitan yang menghiaskan mereka dengan urusan-urusan dunia dan dorongan hawa nafsu syahwat. (Lihat Tafsir al-Jalalain, hlm. 633; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/159)

Bahkan berdasarkan dalil yang terdapat dalam al-Quran dan hadith, jelas menunjukkan qarin ini wujud pada setiap orang dan peranan qarin ini bergantung kepada seseorang insan. Jika qarin belum boleh menguasai dirinya dengan kerja-kerja kejahatan sehingga tiada ruang untuk melakukan kemaksiatan, qarin ini seolah-olahnya berputus asa untuk mengajak melakukan kejahatan, melainkan sekali sekala sahaja. Adapun orang yang mendedahkan dirinya kepada perbuatan maksiat, qarin inilah yang menjadi pendorong utama dan benarlah qarin ialah makhluk halus yang jahat. (Lihat Menjawab Persoalan Makhluk Halus, Kaitannya dengan Penyakit dan pengubatan, hlm. 75)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ringkas ini, kami katakan bahawa hukum beramal untuk mendapatkan khadam ayat adalah dilarang kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan terhadap kuasa lain selain dari Allah SWT, seterusnya boleh membawa kepada kepercayaan syirik.

Semoga penjelasan ini memberikan kita kefahaman tentang syirik dan lebih berhati-hati dalam tingkah laku kita supaya tidak tergolong dalam golongan yang mensyirikkan Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply