Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah isteri Rasulullah SAW yang bernama Aisyah selepas kewafatan Saidatina Khadijah R.A?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ketika Rasulullah SAW bersama Saidatina Khadijah, Rasulullah SAW tidak berkahwin dengan perempuan lain sehingga isteri baginda wafat iaitu 3 tahun sebelum hijrah dan tahun yang sama Abu Talib wafat. (Lihat Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, 2/ 351-353).

Isteri kedua baginda selepas kewafatan Khadijah ialah Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq, Abdullah bin Uthman bin ‘Amr bin Ka’ab bin Sa’ad bin Taim al-Taimiyyah al-Qurasyiyyah. Beliau merupakan puteri kepada Abu Bakar. Ibu beliau bernama Ummu Ruman binti ‘Amir. Beliau dilahirkan empat atau lima tahun selepas Nabi SAW diutuskan sebagai Rasul. Beliau juga termasuk dalam kalangan mereka yang dilahirkan dalam Islam, dan usianya adalah 8 tahun lebih muda daripada Fatimah. Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/231; Siyar Alam al-Nubala’, 2/139).

Selain daripada itu, Aisyah R.Anha merupakan satu-satunya anak dara yang dinikahi oleh Rasulullah SAW dan Baginda tidak menikahi anak dara selainnya. Baginda SAW menikahinya sebelum hijrah Baginda dan selepas kewafatan al-Siddiqah Khadijah binti Khuwailid R.Anha. Perkara tersebut adalah beberapa bulan sebelum berlakunya hijrah, dan ada pendapat menyatakan, dua tahun sebelum hijrah. Akan tetapi menurut al-Zubair bin Bakkar, Baginda SAW menikahinya selepas kewafatan Khadijah, dan tiga tahun sebelum berlakunya hijrah ke Madinah. Nabi SAW mengahwininya ketika beliau berumur enam tahun. Namun, terdapat pendapat menyebutkan ketika berusia tujuh tahun. Ibn Hajar menyatakan, tidak ada percanggahan antara kedua pendapat ini kerana kemungkinan beliau sudah mencukupi enam tahun dan memasuki umur tujuh tahun ketika dinikahi oleh Baginda SAW. Rasulullah SAW mula menggaulinya ketika beliau berusia sembilan tahun, pada bulan Syawal tahun pertama hijrah. Ada pendapat menyebutkan, tahun kedua hijrah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/232; Siyar A’lam al-Nubala’, 2/135).

Kami nyatakan di sini antara manaqib Aisyah R.Anha:

Begitu juga diriwayatkan juga secara marfu‘ bahawa Ibn Abbas R.Anhuma mendengar daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

عائشةُ زوجتي في الجنَّةِ

Maksudnya: “Aisyah ialah isteriku di syurga.”

Riwayat Abu Hanifah dalam Musnadnya (662). Hadis ini dinilai hasan dengan banyaknya jalur riwayat yang saling menyokong antara satu sama lain berdasarkan Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2867).

Selain itu, diriwayatkan juga daripada Aisyah R.Anha, katanya:

 قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ مِنْ أَزْوَاجِكَ فِي الْجَنَّةِ؟ قَالَ: «أَمَا إِنَّكِ مِنْهُنَّ»

Maksudnya: “Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah SAW, siapakah antara isteri-isteri kamu di syurga?’ Baginda menjawab: ‘Adapun kamu termasuk dalam kalangan mereka.’”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/14) dan beliau menilai sanad hadis ini sebagai sahih dan dipersetujui oleh al-Zahabi dalam al-Talkhis.

Imam al-Zahabi menyatakan bahawa hadis yang diriwayatkan daripada jalur Aisyah R.Anha mencecah sebanyak 2210 hadis. Imam al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan secara bersama sebanyak 174 hadis daripada jumlah tersebut. Manakala Imam al-Bukhari meriwayatkan sebanyak 54 hadis secara bersendirian, dan Imam Muslim pula meriwayatkan sebanyak 69 hadis secara bersendirian. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/135-139).

Tambahan  pula, Aisyah R.Anha juga termasuk salah seorang yang faqih dalam kalangan wanita bagi umat ini secara umumnya. Terdapat riwayat daripada ‘Ata’ bin Abu Rabah, katanya:

كَانَتْ عَائِشَةُ، أَفْقَهَ النَّاسِ وَأَعْلَمَ النَّاسِ وَأَحْسَنَ النَّاسِ رَأْيًا فِي الْعَامَّةِ

Maksudnya: “Aisyah adalah orang yang paling faqih, paling alim, paling baik pandangannya dalam urusan orang-orang awam.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (6748); al-Zahabi dalam al-Talkhis tidak memberi apa-apa komentar berkenaan riwayat ini. Lihat juga Siyar A‘lam al-Nubala’ (2/185).

Begitu juga terdapat riwayat daripada al-Zuhri, katanya:

لَوْ جُمِعَ عِلْمُ النَّاسِ كُلِّهِمْ، ثُمَّ عِلْمُ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَكَانَتْ عَائِشَةُ أَوْسَعَهُمْ عِلْمًا

Maksudnya: “Jika dihimpunkan ilmu manusia keseluruhannya, kemudian ilmu para isteri Nabi SAW, nescaya Aisyahlah orang yang paling luas ilmu pengetahuannya berbanding mereka.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (6734); al-Zahabi dalam al-Talkhis menyatakan, riwayat ini mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim. Lihat juga Siyar A‘lam al-Nubala’ (2/185). Al-Haithami menyatakan dalam Majma‘ al-Zawa’id (9/246), riwayat ini adalah mursal dan perawi-perawinya adalah thiqah.

Abu Musa al-Asy‘ari R.A pernah menyebutkan kelebihan Aisyah R.Anha dengan berkata:

مَا أَشْكَلَ عَلَيْنَا أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيثٌ قَطُّ فَسَأَلْنَا عَائِشَةَ إِلَّا وَجَدْنَا عِنْدَهَا مِنْهُ عِلْمًا

Maksudnya: “Tidak ada satu hadis pun yang memusykilkan kami para sahabat Rasulullah SAW, lalu kami bertanya kepada Aisyah, melainkan kami mendapati di sisinya ada ilmu.”

Riwayat al-Tirmizi (3883) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih gharib. Al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (2/179) menilainya sebagai hasan gharib.

Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa beliau termasuk dalam kalangan sahabat yang faqih dan memiliki ilmu yang banyak. Justeru, beliau menjadi tumpuan ramai penuntut ilmu pada ketika itu. Ramai dalam kalangan sahabat dan tabi‘in yang besar tidak terlepas peluang meriwayatkan daripadanya.

Selain daripada itu, terdapat riwayat lain yang menyatakan berkenaan kelebihan Aisyah R.Anha ke atas para wanita yang lain sama seperti kelebihan Tharid ke atas makanan yang lain. Hal ini sebagaimana riwayat Abu Musa R.A: katanya: Rasulullah SAW bersabda:

كَمَلَ مِنَ الرِّجَالِ كَثِيرٌ، وَلَمْ يَكْمُلْ مِنَ النِّسَاءِ: إِلَّا آسِيَةُ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ، وَمَرْيَمُ  ابْنَةُ عِمْرَانَ، وَإِنَّ فَضْلَ عَائِشَةَ عَلَى النِّسَاءِ كَفَضْلِ الثَّرِيدِ عَلَى سَائِرِ الطَّعَامِ.

Maksudnya: “Dalam kalangan orang lelaki banyak yang sempurna, manakala tidak ada yang sempurna dari kalangan perempuan kecuali Asiah isteri Fir‘aun dan Maryam binti ‘Imran. Sesungguhnya kelebihan Aisyah ke atas wanita sama seperti kelebihan Tharid  ke atas semua makanan.”

Riwayat al-Bukhari (3411)

Aisyah R.Anha wafat pada hari selasa (17 Ramadhan pada 58 Hijrah) dan ada sebahagian ulama mengatakan pada 57 Hijrah. Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi’ di Madinah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/235)

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syaria’tnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply