Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimana natijah akhir yang terkait dengan kepelbagaian agama?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْكَـٰفِرُونَ ١ لَآ أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ ٢ وَلَآ أَنتُمْ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ ٣ وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٌۭ مَّا عَبَدتُّمْ ٤ وَلَآ أَنتُمْ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعْبُدُ ٥ لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِىَ دِينِ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir!  “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.  “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.  “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.

(Surah al-Kafirun: 1-6)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini, Agama tauhid ialah agama pertama yang bertapak di bumi yang dibawa oleh para utusan Allah SWT. Sebagaimana yang telah disebut sebelum ini misi seluruh para nabi dan rasul ialah sama. Namun, akibat perselisihan dan pertelingkahan sepanjang zaman, agama tauhid yang satu ini telah terpecah kepada banyak agama akibat penyelewengan dan menuruti kehendak syaitan serta hawa nafsu manusia. Sehingga hari ini direkodkan terdapat pelbagai agama muncul daripada asalnya hanya agama tauhid sahaja. Agama -agama tersebut ialah agama Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, Zoroaster, Khong Hu Chu (Confucius), Tao, Atheisme dan Jainisme.[1]

Statistik pada tahun 2015 yang dikeluarkan oleh Pew Research Center Religion & PublicLife menunjukkan purata penganut agama terbesar di dunia ialah Kristian dengan jumlah 31.2% populasi dunia, iaitu 2.3 bilion orang. Manakala agama kedua terbesar adalah Islam dengan jumlah 24.1% , iaitu seramai 1.8 bilion orang muslim, diikuti agama-agama lain. Pun begitu, badan penyelidikan tersebut juga mendapati bahawa menjelang tahun 2070 dijangka bilangan umat Islam akan meningkat dengan lebih cepat dan berkembang pesat, sekaligus mengambil alih kedudukan agama Kristian. Kajian tersebut turut menjelaskan bahawa faktor yang mempengaruhi peningkatan ini adalah kerana faktor kesuburan wanita muslim, kehamilan pada usia muda dan kadar kematian yang lebih rendah berbanding penganut agama Kristian.[2]

Benarlah janji Allah SWT yang akan memenangkan agama-Nya iaitu Islam sebagaimana firman-Nya:

 هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

Maksudnya: Dialah yang telah mengutus rasul-Nya dengan membawa hidayah dan agama yang benar untuk dizahirkan dan ditinggikannya mengatasi semua agama yang lain, walaupun orang musyrik membencinya.

(Surah al-Taubah: 33)

Justeru kami katakan di sini Ajaran Islam menyeru seluruh manusia kepada satu agama, satu kepercayaan, satu cara hidup dan satu harapan. Ia mengajak kepada kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Oleh itu,, beramal dengan Islam yang syumul adalah suatu tuntutan agar keindahan Islam dapat diserlahkan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.

Nota kaki:

[1] The Great Religions of the World. Ahmadiyya Anjuman Isha’at-i-Islam. Mohd Rosmizi et al. 2011. Agama-Agama di Dunia.

[2] https://www.pewforum.org/2017/04/05/the-changing-global-religious-landscape/

Leave a Reply