Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya sahabat yang baik boleh mendorong seseorang itu menuju ke syurga ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ٱلْأَخِلَّآءُ يَوْمَئِذٍۭ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا ٱلْمُتَّقِينَ ٦٧ يَـٰعِبَادِ لَا خَوْفٌ عَلَيْكُمُ ٱلْيَوْمَ وَلَآ أَنتُمْ تَحْزَنُونَ ٦٨ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَكَانُوا۟ مُسْلِمِينَ
Maksudnya: Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh). (Mereka – yang bertaqwa – itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firmanNya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita”. (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh.
(Surah zukhruf: 67-69)
Menjawab bagi pesoalan di atas kami katakan di sini bahawa Mencari seorang sahabat baik bukanlah mudah. Seorang sahabat baik, bukan sahaja bersama kita di kala gembira, namun dia sentiasa ada di sisi sama ada ketika suka, duka, susah mahupun senang. Sahabat yang berhati mulia akan membawa kita ke jalan Allah SWT. Oleh sebab itu, sejak daripada kecil lagi ibu bapa kita telah berpesan supaya bergaul dengan teman-teman yang boleh membawa dan membimbing kita ke arah kebaikan. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُُخَالِلْ
Maksudnya: “Pegangan agama seseorang itu mengikut pegangan agama sahabatnya, maka hendaklah seseorang daripada kamu melihat dengan siapakah dia bersahabat”.
Riwayat Ahmad(8417)
Mencari sahabat janganlah berdasarkan kepentingan sementara seperti maslahat di dunia, tetapi carilah demi kemaslahatan bersama yang abadi iaitu maslahat dan manfaat di akhirat. Terdapat sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ الجَلِيسِ الصّالِحِ والجَلِيسِ السَّوْءِ، كَمَثَلِ صاحِبِ المِسْكِ وكِيرِ الحَدّادِ لا يَعْدَمُكَ مِن صاحِبِ المِسْكِ إمّا تَشْتََرِيهِ أوْ تََجِدُ رِيحَهُ، وكِيرُ الحَدّادِ يُُحْرِقُ بَدَنَكَ أوْ ثَوْبَكَ، أوْ تََجِدُ منه رِيحًا خَبِيثَةً
Maksudnya: “Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti penjual haruman kasturi dan tukang besi. Engkau tidak akan dapati daripada pemilik kasturi melainkan membeli wangiannya atau dapat mencium harumannya. Tukang besi pula percikan apinya terkena tubuhmu, pakaianmu atau engkau menghidu bau busuk daripadanya”.
Riwayat Bukhari(2101)
Tambahan lagi, para ulama juga ada berpesan kepada kita agar banyakkan bersahabat dengan orang-orang baik, mudah-mudahan mereka dapat mengingatkan kita kepada Allah SWT dan seterusnya membantu kita kelak di hari Akhirat. Antaranya seperti pesan al- Hasan al-Basri yang menasihatkan: “Perbanyaklah sahabat-sahabatmu dalam kalangan orang-orang yang beriman kerana mereka memiliki syafaat pada hari Kiamat.” (Lihat Tafsir Baghawi, 3/473)
Justeru kami katakan bahawa Kita hendaklah berhati-hati dalam memilih sahabat kerana dengan pilihan itu berkemungkinan menjadi asbab yang menentukan tempat pengakhiran kita di hari perhitungan kelak.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”
Wallahua’lam