Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah terdapat berbagai jenis -jenis syafaat pada hari kiamat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَّا تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا تَنفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ

Maksudnya: Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).

(Surah al-Baqarah: 123)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Apabila kita melihat kembali nas-nas syariat, kita akan mendapati terdapatnya nas yang mensabitkan syafaat am yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW. Namun, perkara tersebut tertakluk dalam ruang lingkup yang diizinkan oleh Allah SWT sebagaimana sabitnya juga syafaat-syafaat yang diberikan kepada selain Baginda SAW. Terdapat banyak hadis yang mensabitkan kewujudan syafaat ini. Antaranya ialah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

شَفَاعَتِي لِأَهٍلِ الكَبَائِرِ مِْن أُمَّتِي

Maksudnya: “Syafaatku adalah untuk pelaku-pelaku dosa besar dalam kalangan umatku”.

Riwayat Ahmad(13222)

Begitu juga dengan sebuah hadis daripada Abu Umamah al-Bahili R.A bahawa Baginda SAW bersabda:

اقرَؤوا القُرآنَ فإنَّه يأتي يومَ القيامةِ شفيعًا لأصحابِه

Maksudnya: Bacalah al-Quran kerana ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya

Riwayat Muslim(804)

Para ulama telah membahagikan syafaat kepada lima kategori iaitu:

  • Syafaat ‘Uzma iaitu syafaat yang paling agung. Ia adalah untuk semua makhluk bagi merehatkan mereka daripada keadaan genting di tempat menunggu, mempercepatkan untuk dihisab amalan dan seumpamanya
  • Syafaat untuk memasukkan segolongan dari kalangan orang-orang beriman ke dalam syurga tanpa perlu dihisab. Kedua-dua jenis syafaat ini adalah khusus kepada Nabi Muhammad SAW.
  • Syafaat untuk menambahkan darjat dan kedudukan di dalam syurga buat sebahagian ahlinya.
  • Syafaat bagi suatu kaum yang telah diwajibkan neraka ke atas mereka disebabkan oleh dosa-dosa mereka, sedangkan mereka termasuk dalam kalangan orang beriman. Apabila Allah SWT bersetuju syafaat tersebut untuk mereka, maka diampunkan dosa-dosa mereka dan mereka tidak akan masuk ke dalam neraka.

Syafaat bagi mengeluarkan sebahagian pelaku dosa daripada neraka, dan mereka itu termasuk dalam kalangan orang beriman. Perkara tersebut adalah sebelum selesainya hukuman azab seksa yang telah ditetapkan ke atas mereka.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa penerimaan atau penolakan suatu syafaat tersebut termasuk dalam hikmah yang hanya diketahui oleh Allah SWT merangkumi keluasan rahmat dan keadilan-Nya.

Justeru kami katakan Kita hendaklah selalu berdoa kepada Allah SWT agar diberikan syafaat pada hari akhirat kelak, di samping mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya serta mempertingkatkan kualiti dan kuantiti ibadah kita kepada-Nya, kerana Dia-lah pemberi izin kepada syafaat-syafaat tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahua’lam

Leave a Reply