Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah orang yang bertakwa mendapat pelbagai nikmat dan boleh terangkan sebahagiannya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلْمُتَّقِينَ فِى مَقَامٍ أَمِينٍۢ ٥١ فِى جَنَّـٰتٍۢ وَعُيُونٍۢ ٥٢ يَلْبَسُونَ مِن سُندُسٍۢ وَإِسْتَبْرَقٍۢ مُّتَقَـٰبِلِينَ ٥٣ كَذَٰلِكَ وَزَوَّجْنَـٰهُم بِحُورٍ عِينٍۢ ٥٤ يَدْعُونَ فِيهَا بِكُلِّ فَـٰكِهَةٍ ءَامِنِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. –  Ia itu di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya,  Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).  Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.  Mereka meminta – di dalam Syurga itu – tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa.”

(Surah al-Dukhan : 51-55)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Surah al-Dukhan turut menampilkan perihal syurga serta bentuk-bentuk nikmat di dalamnya. Ternyata perbincangan nikmat syurga telah dimuatkan dalam al-Quran dari segenap segi. Antaranya ialah gambaran latar tempat di dalam syurga, pakaian ahli syurga, pasangan ahli syurga, serta makanan dan minuman ahli syurga. Bagi gambaran latar tempat di dalam syurga, Allah SWT menyatakan bahawa penghuni syurga berada dalam lingkungan yang sangat aman lagi mendamaikan. Fakhr al-Din al-Razi menjelaskan bahawa terdapat dua syarat asasi dalam menjamin sesuatu tempat itu menjadi baik, iaitu tempat tersebut baik dari segi keselamatan dan keamanan, dan tempat tersebut baik dari segi tarikan untuk melawat. Kedua-dua syarat ini sememangnya berasaskan kepada tempat ahli syurga yang digambarkan sebagai selamat, dan adanya kebun-kebun serta mata-mata air sebagai tarikan untuk melawat. (Lihat Tafsir al-Razi, 27/665.)

Ini ditambah pula dengan ayat-ayat al-Quran yang menyatakan terdapatnya sungai-sungai yang mengalir di dalam syurga.

Bagi pakaian ahli syurga pula, digambarkan bahawa mereka memakai pakaian daripada kain sutera halus dan kain sutera tebal. Pakaian mereka pula berwarna hijau. Selain itu, mereka turut memakai gelang daripada emas, perak, dan mutiara sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Hajj, ayat 23 :

أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍۢ وَلُؤْلُؤًۭا

Maksudnya: “Gelang-gelang yang diperbuat daripada emas dan mutiara.”

(Surah al-Hajj: 23)

Demikianlah juga sebagaimana dinyatakan di dalam Surah al-Insan, ayat 21:

وَحُلُّوٓا۟ أَسَاوِرَ مِن فِضَّةٍۢ وَسَقَىٰهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًۭا طَهُورًا

Maksudnya: “serta diberi pakai gelang-gelang daripada perak.”

 (Surah al-Insan: 21)

Manakala, pasangan ahli syurga pula ialah para bidadari bermata indah selain pasangan suami isteri masing-masing sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Waqi‘ah, ayat 35-37:

إِنَّآ أَنشَأْنَـٰهُنَّ إِنشَآءًۭ ٣٥ فَجَعَلْنَـٰهُنَّ أَبْكَارًا ٣٦ عُرُبًا أَتْرَابًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami jadikan bidadari-bidadari itu dengan ciptaan yang istimewa. Dan Kami jadikan mereka gadis perawan yang tidak pernah disentuh. Mereka dipenuhi rasa cinta dan sebaya umurnya.”

 (Surah al-Waqi‘ah: 35-37)

Selanjutnya, antara makanan ahli syurga yang disebutkan secara khusus di dalam al-Quran pula ialah:

  • Buah-buahan seperti kurma dan delima sebagaimana ia disebutkan di dalam Surah al-Rahman, ayat 68. Manakala buah anggur pula disebutkan di dalam Surah al-Naba’, ayat 32.
  • Daging burung sebagaimana disebutkan di dalam Surah al-Waqi‘ah, ayat 21.

Seterusnya, minuman para penghuni syurga yang disebutkan di dalam al-Quran pula berupa:

  • Air mata air salsabil sebagaimana ia disebutkan di dalam Surah al-Insan, ayat 18.
  • Empat jenis minuman sungai iaitu sungai dari air yang paling jernih dan tidak berubah bau serta warnanya, sungai susu, sungai arak, dan sungai madu sebagaimana ia disebutkan di dalam Surah Muhammad, ayat 15.
  • Air halia sebagaimana disebutkan di dalam Surah al-Insan, ayat 17.

Tuntasnya, nikmat-nikmat syurga dalam al-Quran diberikan suatu gambaran yang amatmempesona dari pelbagai sudut. Hal ini tidak lain tidak bukan sebagai suatu galakan dan motivasi kepada umat Islam agar terus berusaha menggapai keredhaan Allah SWT, sekali gus ditempatkan ke dalam syurga-Nya di hari akhirat kelak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahua’lam

Leave a Reply