Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh nyatakan dalil dan kelebihan surah al-Baqarah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan surah al-Baqarah. Dinamakan sebagai Surah al-Baqarah (lembu betina) berdasarkan beberapa riwayat sahih daripada Rasulullah SAW. Di antaranya, riwayat daripada Abu Mas‘ud R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
الآيَتَانِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ، مَنْ قَرَأَهُمَا فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
Maksudnya: “Dua ayat di akhir Surah al-Baqarah, sesiapa yang membaca keduanya pada waktu malam, nescaya dua ayat itu akan memeliharanya.”
Riwayat al-Bukhari (4008)
Surah ini disepakati oleh para ulama sebagai surah Madaniyyah, juga sebagai surah paling awal turun selepas hijrah Rasulullah SAW ke Madinah al-Munawwarah. (Lihat al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, 1/43-45). Terdapat khilaf dalam kalangan ulama mengenai bilangan ayat surah ini, iaitu 285 ayat mengikut mazhab ulama Qiraat Madinah, Makkah dan Syam; 286 ayat mengikut mazhab ulama Kufah; dan 287 ayat mengikut mazhab ulama Basrah. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz fi Add Ay al-Kitab al-‘Aziz, hlm. 67). Walau bagaimanapun, bilangannya mengikut mushaf muktamad sekarang ialah 286 ayat. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/137).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapat beberapa riwayat yang menceritakan berkenaan kelebihan membaca surah ini atau sebahagian ayat-ayat tertentu di dalamnya. Di antara kelebihannya adalah sebagaimana berikut:
- Sesiapa yang membaca dua ayat di akhir surah al-Baqarah akan terpelihara. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Mas‘ud R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
الآيَتَانِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ، مَنْ قَرَأَهُمَا فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
Maksudnya: “Dua ayat di akhir Surah al-Baqarah, sesiapa yang membaca keduanya pada waktu malam, nescaya dua ayat itu akan memeliharanya.”
Riwayat al-Bukhari (4008)
- Surah al-Baqarah akan membela para pembacanya. Ini adalah sebagaimana hadith daripada Abu Umamah al-Bahli R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ. اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ، وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ، فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا. اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ، فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ، وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ، وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada para pembacanya. Bacalah al-Zahrawan iaitu al-Baqarah dan Surah Ali ‘Imran kerana kedua-duanya akan datang pada hari kiamat umpama dua kepulan awan, atau dua naungan, atau dua gerombolan burung yang melebarkan sayap, demi untuk membela para pembaca kedua-duanya. Bacalah Surah al-Baqarah kerana sesungguhnya pengambilannya adalah berkat dan peninggalannya adalah kekecewaan serta ahli sihir tidak mampu mengalahkannya.”
Riwayat Muslim (804)
- Syaitan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya Surah al-Baqarah. Ini adalah sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
Maksudnya: “Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu umpama kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya Surah al-Baqarah.”
Riwayat Muslim (780)
Selain daripada itu, berdasarkan hadith Abu Umamah al-Bahli R.A di atas, dapat kita fahami bahawa selain al-Baqarah, Rasulullah SAW turut menamakan surah ini dan Surah Ali ‘Imran sebagai al-Zahrawan. Iaitu kata dua (muthanna) daripada kata tunggal al-Zahra’ bermaksud yang menerangi atau yang bergemerlapan. (Lihat Lisan al-Arab, 1/403). Al-Qurtubi menyatakan bahawa nama ini diberikan kerana kedua-dua surah ini menjadi penerang kepada para pembaca menerusi hidayah yang terkandung di dalam maksud ayat-ayatnya; memberikan cahaya yang sempurna kepada para pembacanya pada hari kiamat; juga kerana di dalam kedua-duanya terkandung nama Allah SWT Yang Teragung (اسم الله الأعظم) seperti yang terdapat dalam hadith bahawa nama Allah SWT Yang Teragung terkandung dalam dua surah ini. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 4/3).
Daripada Asma’ binti Yazid R.Anha bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
اسْمُ اللَّهِ الْأَعْظَمُ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ فِي سُوَرٍ ثَلَاثٍ: الْبَقَرَةِ، وَآلِ عِمْرَانَ، وَطه
Maksudnya: “Nama Teragung Allah SWT yang apabila didoakan dengannya, nescaya Dia akan menjawabnya. Ia terdapat dalam tiga surah, iaitu al-Baqarah, Ali ‘Imran dan Taha.”
Riwayat Ibn Majah (3856); Syeikh Syu ‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai hasan.
Selain daripada al-Baqarah dan al-Zahra’ seperti yang terdapat dalam riwayat-riwayat sahih tersebut, surah ini turut dikenali dengan nama lain iaitu Sanam al-Quran. Menurut para ulama, nama Sanam al-Quran yang bermaksud puncak atau kemuncak kepada al-Quran ini, diberi kepada Surah al-Baqarah berdasarkan kepada beberapa hadith, antaranya hadith daripada Sahl bin Sa‘d R.A dan Abu Hurairah R.A, mereka berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ سَنَامًا، وَإِنَّ سَنَامَ الْقُرْآنِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ، مَنْ قَرَأَهَا فِي بَيْتِهِ لَيْلًا لَمْ يَدْخُلِ الشَّيْطَانُ بَيْتَهُ ثَلَاثَ لَيَالٍ، وَمَنْ قَرَأَهَا نَهَارًا لَمْ يَدْخُلِ الشَّيْطَانُ بَيْتَهُ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya bagi setiap perkara itu ada puncaknya. Sesungguhnya puncak al-Quran ialah Surah al-Baqarah. Sesiapa yang membacanya di rumah pada waktu malam, nescaya syaitan tidak memasuki rumahnya selama tiga malam. Dan sesiapa membacanya di waktu siang, nescaya syaitan tidak memasuki rumahnya selama tiga hari.”
Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya (3/59)
Nama ini diberi berdasarkan kepada kedudukan surah ini dari sudut fizikalnya yang merupakan surah terpanjang dalam al-Quran, surah paling awal turun di Madinah dan surah pertama dalam susunan mushaf selepas al-Fatihah; juga daripada sudut kandungannya yang merangkumi unsur utama ajaran Islam daripada sudut akidah, syariah dan akhlak sebagai asas pembinaan sahsiah insan Muslim bagi menunaikan tanggungjawab di sebalik penciptaannya iaitu ibadah dan khilafah. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/146).
Menurut para ulama, nama ini diberi memandangkan di dalam surah ini terhimpunnya unsur utama yang menjadi asas kandungan al-Quran, sama ada daripada segi makna seperti hukum-hakam induknya, usul serta cabang agama, kisah-kisah penting sejarah kemanusiaan, bimbingan ke arah kemaslahatan dan sistem kehidupan, tuntunan ke arah jalan utama menuju kejayaan di hari akhirat; mahupun dalam pendekatan serta seni penyampaiannya seperti amthal (perumpamaan), kata hikmah, uslub peringatan, kaedah berhujah dan lain-lain. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/149; al-Tahrir wa al-Tanwir, 1/203). Al-Maraghi merumuskan perkara ini dengan menyatakan bahawa sesungguhnya telah diperincikan di dalam Surah al-Baqarah berbagai hukum, disebutkan perumpamaan-perumpamaan, dibentangkan hujah-hujah dan tiada satu surah pun yang terkandung di dalamnya sama seperti apa yang terkandung di dalam surah ini. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 3/90).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”