#4354: Kekeliruan Punca Kekufuran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz jelaskan berkenaan kekeliruan sebahagian orang dalam memahami ayat 6-7 Surah al-Baqarah, di mana mereka mengaitkan kehidupan setiap manusia dengan penentuan sesebuah takdir dan mereka dipaksa untuk menerimanya tanpa sebarang pilihan termasuklah kekufuran? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ سَوَآءٌ عَلَيْهِمْ ءَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ ٦ خَتَمَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ ۖ وَعَلَىٰٓ أَبْصَـٰرِهِمْ غِشَـٰوَةٌۭ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman (6) (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.

(Surah al-Baqarah: 6-7)

Dalam menjawab soalan di atas, berlaku kekeliruan dalam memahami ayat ini apabila ada dalam kalangan umat Islam mengaitkan kehidupan setiap manusia dengan penentuan sesebuah takdir dan mereka dipaksa untuk menerimanya tanpa sebarang pilihan. Sehingga kekufuran mereka juga dianggap sebagai takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Pemahaman ini selari dengan aliran Jabariah, di mana Jaham bin Safwan mengatakan bahawa hidup setiap manusia sudah ditentukan oleh takdir, mereka hanya menerima ketentuan itu dan tidak memiliki pilihan dan usaha dalam perbuatannya. (Lihat al-Milal wa al-Nihal, 1/87).

Punca kufur seseorang kepada Allah SWT sebenarnya bukan berpunca daripada dakwah yang tidak sampai kepada mereka disebabkan halangan daripada Allah SWT, kecuaian Nabi Muhammad SAW atau para pendakwah selepas-Nya. Namun menurut al-Zuhaili, kekufuran itu berpunca daripada pilihan mereka sendiri. Mereka gagal menggunakan wahana yang betul untuk meraih makrifah dalam meyakini kebenaran. Malah wasilah yang ada pada mereka tidak digunakan untuk memerhati dan memikirkan dalil-dalil keimanan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/77).

Lantaran itu al-Maraghi menegaskan bahawa sudah menjadi sunnatullah, bagi orang-orang yang terjebak dalam kekafiran, pastinya hati, pendengaran dan penglihatan mereka akan tertutup mati sehingga tidak bersedia untuk menerima kebenaran. (Lihat  Tafsir al-Maraghi, 1/35).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *