Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah sifat sombong boleh membawa kepada kebinasaan dan kehancuran?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sombong menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat meliputi semua unsur yang berbaur tinggi hati, angkuh dan bongkak.

Sifat sombong ini adalah salah satu daripada penyakit rohani yang wajib dijauhi oleh setiap manusia. Sekalipun begitu, perbuatan menjauhinya bukanlah suatu perkara mudah kerana penyakit hati seperti ini tidak menampakkan kesan-kesan zahir yang boleh memberi kesan terhadap tubuh badan fizikal manusia.

Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A, Rasulullah SAW menyifatkan sombong sebagai:

الْكِبْرُ بَطَرُ الْْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Maksudnya: “Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.”

Riwayat Muslim (147)

Muhammad Fuad ‘Abd al-Baqi menjelaskan maksud menolak kebenaran adalah dengan cara menahan atau mengingkarinya dengan lagak meninggi diri dan memaksa. Manakala meremehkan orang lain pula, adalah menghina mereka dengan perbuatan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/89)

Larangan Allah SWT terhadap sifat sombong ini amat jelas di dalam al-Quran sebagaimana firman- Nya:

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍۢ فَخُورٍۢ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau memalingkan pipimu daripada manusia kerana sombong; dan janganlah engkau berjalan di atas muka bumi dalam keadaan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada setiap orang yang bongkak lagi meninggi diri.”

(Surah Luqman: 18)

Antara kisah masyhur yang dikaitkan dengan sifat sombong ini adalah kesombongan Iblis terhadap Nabi Adam A.S, ketika Allah SWT memerintahkannya untuk sujud kepada Nabi Adam A.S, yang akhirnya membawa kepada penyingkiran Iblis daripada syurga Allah SWT. Begitu juga, kisah kesombongan Raja Namrud di zaman Nabi Ibrahim A.S yang telah direkodkan di dalam al-Quran, surah al-Baqarah pada ayat ke-258.

Bukan itu sahaja, di antara kisah-kisah kontemporari yang agak masyhur dalam kalangan umat Islam zaman kini ialah tentang kisah perdebatan antara Thanaullah al- Amritsari dengan Ghulam Ahmad al-Qadiani. Dalam perdebatan tersebut, kemenangan telah berpihak kepada Thanaullah. Namun Ghulam Ahmad tetap sombong dan tidak mahu menerima kebenaran tersebut, malah berani mencabar untuk saling bermubahalah. Usul atau cabaran tersebut dipersetujui oleh Thanaullah. Akhirnya, akhbar-akhbar India pada masa itu, telah menyiarkan bahawa Ghulam Ahmad al-Qadiani sebelum dia meninggal dunia, dia telah ditimpa penyakit kolera, hingga menyebabkan najis telah keluar daripada mulutnya sebelum dia meninggal dunia. Dia telah meninggal dunia ketika sedang duduk membuang air (menunaikan hajat) di dalam tandas. (Lihat al-Qadianiyyah Dirasat wa Tahlil, 154-159)

Kesimpulan

Justeru itu, setelah melihat kepada akibat-akibat yang menimpa orang yang sombong ini, maka kita hendaklah berusaha keras untuk menjauhi sifat tersebut daripada mendiami atau bertapak di dalam diri kita.

Tambahan pula, terdapat ancaman yang jelas daripada Allah SWT bagi mereka yang sombong sebagaimana firman-Nya:

قِيلَ ٱدْخُلُوٓا۟ أَبْوَٰبَ جَهَنَّمَ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۖ فَبِئْسَ مَثْوَى ٱلْمُتَكَبِّرِينَ

Maksudnya: “Lalu dikatakan kepada mereka: ‘Masuklah ke pintu-pintu neraka Jahannam ini, iaitu tempat di mana kamu semua hidup kekal di dalamnya. Itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang yang takbur’.”

(Surah al- Zumar: 72)

Selain daripada itu, terdapat hadith daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لاَ يَدْخُلُ الْْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْْرٍ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.”

Riwayat Muslim (147)

Sifat sombong bukanlah satu pemandangan yang cantik dipandang oleh sekeliling. Seorang muslim seharusnya berusaha membuang sifat ini dari diri mereka agar dapat menjadi contong serta suri tauladan yang baik kepada masyarakat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply