Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkah hikmah mengapa al-Quran menceritakan kisah-kisah umat terdahulu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Antara surah yang banyak menceritakan kisah-kisah umat yang terdahulu adalah Surah al-Qasas. Surah ini dinamakan al-Qasas kerana ia mengandungi kisah-kisah dan peristiwa yang menjadi inspirasi kepada perjuangan dan para pejuang kebenaran. Tambahan pula perkataan al-Qasas sendiri terpapar dengan jelas di dalam surah ini, sepertimana dalam firman Allah SWT:

لَنَا ۚ فَلَمَّا جَآءَهُۥ وَقَصَّ عَلَيْهِ ٱلْقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفْ ۖ نَجَوْتَ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maksudnya: “Apabila Musa bertemu dengan ayah mereka sambil menceritakan kisahnya dan ayahnya berkata: ‘Janganlah engkau takut lagi, engkau selamat daripada golongan yang zalim’.”

(Surah al-Qasas: 25)

Menurut Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur, perkataan al-Qasas yang dinisbahkan kepada surah ini adalah berkaitan kisah Nabi Musa A.S dan pertemuannya dengan Nabi Syu‘aib A.S, di mana Nabi Musa menceritakan kepada Nabi Syu‘aib tentang apa yang telah berlaku kepadanya, sebelum Baginda keluar dari negara Mesir. (Lihat al-Tahrir Wa al-Tanwir, 20/61)

Manakala menurut pengarang Tafsir al-Mubin, surah ini menceritakan kisah Nabi Musa A.S secara terperinci dan jelas, bermula daripada peristiwa kelahirannya sehinggalah kepada detik Baginda diutuskan menjadi rasul, yang mengandungi pelbagai rangkaian kejadian yang ajaib dan luar biasa. Ini memberi gambaran yang jelas betapa Allah SWT terus-menerus memberi perhatian dan pembelaan kepada para nabi dan rasul-Nya daripada ancaman dan kejahatan musuh mereka. (Lihat Tafsir Mubin, 4/403-404)

Berbalik kepada persoalan saudara, jika diteliti akan ayat-ayat di dalam surah ini, kita akan dapati beberapa hikmah dikhabarkan mengenai kejadian-kejadian ghaib masa lalu, yakni kisah-kisah ulung para nabi Allah SWT kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Perkhabaran ini bukan hanya perkhabaran yang umum, malah ia merupakan perkhabaran dan juga penceritaan yang begitu terperinci, seolah-olah Baginda SAW menyaksikan atau terlibat secara langsung dalam peristiwa-peristiwa tersebut, ditambah lagi keadaan yang serba kekurangan bagi Baginda untuk memperoleh akses kepada pengetahuan seperti berikut. Maka jelas di sini bahawa salah satu hikmah penceritaan kisah-kisah ini adalah ia sebagai bukti kenabian Muhammad SAW.

Hal ini dikuatkan lagi menerusi tafsiran Imam Ibn Kathir yang menjelaskan bahawa Allah SWT mewahyukan kesemua kisah ini kepada Nabi SAW agar ia menjadi dalil yang kuat dan bukti yang kukuh akan kenabian Baginda, di samping sebagai bukti kebenaran terhadap dakwah yang dibawanya. Bilamana Nabi SAW menceritakan kisah-kisah ini secara terperinci kepada umat Islam – walhal Baginda tidak terlibat secara langsung dalam peristiwa tersebut – membuktikan bahawa perkhabaran itu dan sumber pengetahuan Baginda mengenai kisah-kisah tersebut, sebenarnya adalah wahyu daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/240; Fi Zilal al-Quran, 12/299-300; al-Tahrir wa al-Tanwir, 20/130)

Bermacam bentuk kisah penceritaan telah dibawakan di dalam al-Quran buat Rasulullah SAW, seperti kisah Maryam, kisah Nabi Nuh dan kaumnya, dan tidak terkecuali juga kisah Nabi Musa di dalam surah al-Qasas ini serta banyak lagi daripada kisah-kisah umat terdahulu.

Di antara hikmahnya juga daripada perkhabaran ini adalah bagi menetapkan hati Baginda SAW dan hati kaum Muslimin. Hal ini dapat dilihat menerusi firman Allah SWT:

وَكُلًّۭا نَّقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنۢبَآءِ ٱلرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِۦ فُؤَادَكَ ۚ وَجَآءَكَ فِى هَـٰذِهِ ٱلْحَقُّ وَمَوْعِظَةٌۭ وَذِكْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Demikianlah setiap kisah yang Kami ceritakan kepadamu wahai Muhammad daripada kisah-kisah para rasul supaya dapat meneguhkan hatimu. Dan dalam surah ini telah datang kepadamu kebenaran, pengajaran dan peringatan kepada orang yang beriman.”

(Surah Hud: 120)

Bukan itu sahaja, pemaparan kisah-kisah tersebut juga bertujuan bagi menjelaskan bahawa asas dakwah para rasul adalah mentauhidkan Allah SWT, di samping menerangkan mengenai usul syari‘at yang dibawa oleh mereka. Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِىٓ إِلَيْهِ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدُونِ

Maksudnya: “Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu wahai Muhammad melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa tiada Tuhan selain Aku, maka beribadahlah kepada-Ku.”

(Surah al-Anbiya’: 25)

Kesimpulan

Tuntasnya di sini, sesungguhnya segala penceritaan dan perkhabaran kisah-kisah umat terdahulu yang terkandung di dalam al-Quran membawa seribu satu hikmah buat umat Islam keseluruhannya. Kami meringkaskan perbincangan yang dibawakan ini kepada noktah-noktah yang berikut:

  • Menjadi dalil yang kuat dan bukti yang kukuh akan kenabian utusan terakhir, Muhammad SAW.
  • Bukti kebenaran dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
  • Bukti bahawa segala perkhabaran kisah umat terdahulu dan sumber pengetahuan Baginda mengenai kisah-kisah tersebut, berasal dari wahyu Allah SWT.
  • Menetapkan hati Rasulullah SAW dan hati kaum Muslimin.
  • Menjelaskan bahawa dakwah para rasul adalah mentauhidkan Allah SWT.

Semoga kisah-kisah yang dibawakan dalam surah ini dapat meningkatkan lagi keimanan serta kepercayaan kita kepada Allah SWT, kitab-Nya, serta para utusan-Nya. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply