Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Dalam fenomena siang dan malam yang diciptakan oleh Allah SWT, benarkah ia sebagai rahmat untuk manusia?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَءَايَةٌۭ لَّهُمُ ٱلَّيْلُ نَسْلَخُ مِنْهُ ٱلنَّهَارَ فَإِذَا هُم مُّظْلِمُونَ ٣٧ وَٱلشَّمْسُ تَجْرِى لِمُسْتَقَرٍّۢ لَّهَا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ ٣٨ وَٱلْقَمَرَ قَدَّرْنَـٰهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَٱلْعُرْجُونِ ٱلْقَدِيمِ ٣٩ لَا ٱلشَّمْسُ يَنۢبَغِى لَهَآ أَن تُدْرِكَ ٱلْقَمَرَ وَلَا ٱلَّيْلُ سَابِقُ ٱلنَّهَارِ ۚ وَكُلٌّۭ فِى فَلَكٍۢ يَسْبَحُونَ ٤٠

Maksudnya: Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita; Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.

(Surah Yasin: 37-40)

Allah SWT menjelaskan bahawa fenomena siang dan malam serta peredarannya secara silih berganti merupakan satu rahmat kepada sekalian manusia. Hal ini adalah sebagaimana firman-Nya:

وَمِن رَّحْمَتِهِۦ جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ لِتَسْكُنُوا۟ فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan antara rahmat-Nya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu beristirahat pada waktu malam dan mencari rezeki kurniaan-Nya pada waktu siang agar kamu menjadi orang yang bersyukur.”

(Surah al-Qasas: 73)

Imam al-Tabari mengatakan, Allah SWT di dalam ayat ini memberikan tanda tanya kepada sekalian manusia, tidakkah kalian lihat dengan mata kepala perbezaan malam dan siang yang dijadikan untuk kalian, yang mana ianya sebagai bentuk rahmat Allah SWT kepada kalian serta hujjah bagi Allah SWT ke atas kalian di akhirat kelak. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 19/613)

Jika tidak kerana adanya siang dan malam, manusia tidak akan mampu menjalani kehidupan di dunia ini. Dijadikan malam supaya segala penat lelah mencari rezeki pada siang hari dapat disurutkan. Begitulah juga, dijadikan siang hari supaya manusia mencurahkan tenaga semaksimum mungkin dalam mencari kurnia Allah SWT di muka bumi, setelah sebelumnya mereka memperoleh kerehatan jasmani dan kelapangan fikiran yang mencukupi. Bahkan fakta sains telah membuktikan bahawa tidur yang mencukupi memberi impak yang positif kepada tubuh badan dan fikiran manusia, antaranya adalah meningkatkan imuniti badan, meningkatkan kesihatan mental, mengurangkan risiko darah tinggi serta sakit jantung. (Lihat Tafsir al-Bayan, 4/150)

Allah SWT menutup ayat ini dengan pesanan ‘agar kamu menjadi orang yang bersyukur’, dan antara tanda syukur adalah menggunakan waktu dengan sebaik-baiknya. Oleh kerana itulah, peredaran siang dan malam ini mesti dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh manusia, dari sudut pengurusan masa serta pembahagian kerja yang efisien dan efektif. Sesibuk manapun seseorang itu dengan urusan seharian, perlu adanya waktu yang diperuntukkan untuk menuntut ilmu, beribadah kepada Maha Pencipta dan ada juga waktu untuk beristirahat. (Lihat Tafsir al-Azhar, 7/5370-5371)

Begitulah hebatnya penciptaan Allah SWT terhadap segala sesuatu, sebagai bukti bahawa Dia tidak menciptakan sesuatu perkara melainkan ada hikmah disebaliknya. Semoga ayatullah atau tanda-tanda kekuasaan ini dapat membuka mata kita semua betapa besarnya kekuasaan Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply