Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami bagaimana karekter Qarun dan wataknya yang borjois lagi melampaui batasan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, borjouis menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat menurut teori Marxisme orang yang tergolong dalam kelas pertengahan yang memiliki kebanyakan harta dalam sistem kapitalis.

Kisah tentang karater atau tingkah laku Qarun ini dikisahkan oleh Allah SWT seperti dalam firman-Nya:

إِنَّ قَـٰرُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ ۖ وَءَاتَيْنَـٰهُ مِنَ ٱلْكُنُوزِ مَآ إِنَّ مَفَاتِحَهُۥ لَتَنُوٓأُ بِٱلْعُصْبَةِ أُو۟لِى ٱلْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُۥ قَوْمُهُۥ لَا تَفْرَحْ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْفَرِحِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Qarun adalah dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: ‘Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu)’.”

(Surah al-Qasas: 76)

Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah SAW bagi tujuan menempelak golongan yang menolak dakwah Nabi Muhammad SAW atas faktor harta dan kelas masyarakat. Maka kisah Qarun – atau Korah – ini, yang dahulunya masyhur dalam komuniti Arab kosmopolitan di Makkah berdasarkan akses mereka kepada kesusasteraan golongan ahli kitab.

Fenomena Qarun ini adalah tamsilan secara langsung kepada beberapa watak musyrikin Quraisy yang menolak dakwah Nabi SAW dan menyakiti Baginda sekalipun memiliki hubungan kerabat seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufyan (sebelum memeluk Islam), Walid bin al-Mughirah – yang menolak atas faktor harta dan ramai anak, – dan al-‘As bin Wa’il al-Sahmi yang menindas Khabab bin al-Arat.

Allah SWT berfirman lagi:

قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِىٓ ۚ أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِۦ مِنَ ٱلْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةًۭ وَأَكْثَرُ جَمْعًۭا ۚ وَلَا يُسْـَٔلُ عَن ذُنُوبِهِمُ ٱلْمُجْرِمُونَ (٧٨) فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ فِى زِينَتِهِۦ ۖ قَالَ ٱلَّذِينَ يُرِيدُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا يَـٰلَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَآ أُوتِىَ قَـٰرُونُ إِنَّهُۥ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍۢ

Maksudnya: “Qarun menjawab (dengan sombongnya): ‘Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.’ (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya). Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: ‘Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik’.”

(Surah al-Qasas: 78-79)

Qarun adalah sepupu kepada Nabi Musa A.S pada sebelah bapanya. Dikisahkan bahawa Qarun sewaktu dinasti Fir‘aun adalah salah seorang pemimpin Bani Israel yang dilantik oleh Fir‘aun dan atas kedudukan itu dia mendapat kekayaan yang besar. Sekalipun memiliki hubungan kerabat dengan Nabi Musa A.S, hal itu tidak menjadi sebab hidayah bagi Qarun, sebaliknya menjadi sebab kedengkian dia terhadap Nabi Musa A.S dan orang-orang yang beriman daripada kalangan Bani Israel, lantaran hilangnya kepimpinannya dalam kalangan mereka. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 20/174-175)

Kesimpulan

Natijah dari firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ini, jika kita memahami bahawa mesej al-Quran itu tidak khusus kepada satu atau dua peristiwa semata-mata yang berlaku pada masa lampau, maka kita kaitkan kepada realiti kehidupan manusia pada hari ini. Harta dan kepimpinan bukan penanda aras kepada kebenaran dan kemajuan manusia, sebaliknya adalah keimanan, ketakwaan dan sikap bersederhana atau wasatiyyah.

Semoga kita beroleh kefahaman serta manfaat dari perkongsian ringkas ini, seterusnya dapat terus kuat dalam beramal serta menegakkan agama Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا. لَا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya. Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply