Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan Israilliyat yang selalu disebutkan dalam kitab Tafsir al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

 بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. Ceritakanlah tentang bani Israil dan tidak menjadi satu kesalahan padanya. Barangsiapa berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (3461)

Israiliyyat ialah kata jamak bagi perkataan Israiliyyah yang dinisbahkan bagi Bani Israil. Israil ialah Yaaqub A.S yang bermaksud hamba Allah SWT. Bani Israil ialah anak-anak Nabi Yaaqub A.S dan keturunan seterusnya yang lahir daripada mereka sehingga ke zaman Nabi Musa A.S dan para nabi seterusnya sehingga zaman Nabi Isa A.S dan zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka telah dikenali sebagai orang Yahudi sejak dari zaman dahulu lagi. Mereka yang beriman kepada Nabi Isa A.S telah diberikan nama sebagai orang Nasrani. Manakala mereka yang beriman kepada penyudah segala nabi pula telah termasuk ke dalam lingkungan orang Islam dan dikenali sebagai ahli-ahli Kitab yang beriman.

Allah SWT banyak mengistilahkan mereka sebagai Bani Israil dalam al-Quran kerana hendak memperingatkan mereka kepada bapa mereka iaitu nabi yang soleh supaya mereka menjadikannya sebagai ikutan dan berakhlak dengan akhlaknya. Ia juga bertujuan supaya mereka meninggalkan keingkaran terhadap nikmat Allah SWT yang diberikan kepada mereka dan kepada bapa-bapa mereka serta menghindarkan diri daripada sifat kufur, keji dan khianat yang ada pada mereka. Begitu juga Allah SWT menyebutkan mereka sebagai orang Yahudi dalam lebih daripada satu ayat. Kitab orang Yahudi yang termasyhur ialah kitab Taurat. Selain itu, di antara kitab mereka juga ialah kitab Zabur iaitu kitab Nabi Daud A.S dan lembaran-lembaran para nabi yang datang selepas Nabi Musa A.S. Taurat dan seluruh lembaran serta lain-lainnya dinamakan sebagai Perjanjian Lama.

Di samping kitab Taurat yang berbentuk tulisan, orang Yahudi mempunyai Talmud iaitu Taurat yang berbentuk lisan. Talmud ialah kumpulan kaedah, pesanan dan syariat agama dan akhlak, syarah-syarah, tafsiran-tafsiran dan ajaran-ajaran yang riwayatnya dipindahkan dan dipelajari menerusi lisan dari satu ketika ke satu ketika yang lain. Ruang lingkup mempelajarinya menjadi semakin luas hingga ke satu tahap yang sangat besar sehingga susah untuk dihafal dalam ingatan. Oleh kerana pengajian dan pembelajaran terhadap kitab ini memakan masa yang panjang, untuk memelihara pelbagai pendapat dan nas-nas yang mempunyai susunan yang bermacam-macam serta kerana takut lupa dan keluputannya lantaran masa yang berlalu terutama ketika masa kesempitan dan kekacauan maka mereka yang bertugas sebagai penulis telah menulis sebagai satu cara pemeliharaan terhadap Taurat.

Antara penghuraian Taurat, kandungan-kandungan lembaran, syarah Talmud, dongengan-dongengan, khurafat-khurafat dan cerita-cerita batil yang mereka ada-adakan atau yang mereka pindahkan daripada orang lain, ada yang menjadi budaya dan pengetahuan orang-orang Yahudi. Semua ini merupakan punca-punca asli bagai Israiliyyat yang banyak terdapat dalam sesetengah kitab-kitab tafsir, buku sejarah, kisah-kisah dan peringatan-peringatan. Sesetengah pengkaji meluaskan lagi ruang lingkup yang terkandung dalam buku-buku pengetahuan orang Yahudi dan Nasrani yang berkisar sekitar penghuraian kitab-kitab Injil, sirah perjalanan rasul dan sebagainya. Hanya ia dinamakan sebagai Israiliyyat kerana kebanyakannya adalah datang daripada ilmu pengetahuan Bani Israil, daripada kitab-kitab mereka atau daripada cerita dongengan dan batil yang mereka ada-adakan. (Lihat Isra’iliyyat dan Hadith Palsu dalam Kitab-kitab Tafsir, (Terbitan JAKIM), hlm. 1-4)

Dalam Tafsir al-Bayan, dinyatakan: Israiliyyat dari sudut bahasa dinisbahkan kepada Bani Israil. Manakala dari sudut istilah,  ahli tafsir, Israiliyyat  merujuk kepada periwayatan dan kisah-kisah yang bersumberkan daripada Ahli Kitab pada umumnya dan Yahudi khasnya yang telah menyerap masuk ke dalam masyarakat Islam dan digunapakai dalam sebahagian Tafsir al-Quran. Namun istilah Israiliyyat digunakan oleh ulama tafsir dan hadith terhadap perkara-perkara yang lebih luas, iaitu setiap kisah termasuk cerita lama yang diadakan yang dimasukkan ke dalam tafsir. Bahkan sesetengah ulama tafsir dan hadith menganggap Israiliyyat adalah setiap kisah yang dicipta dan disebarkan oleh musuh-musuh Islam sehinggalah masuk ke dalam tafsir dengan tujuan untuk merosakkan kesucian Islam.

Walaupun tidak semua kisah di dalam tafsir al-Quran telah dipengaruhi riwayat Israiliyyat, namun, riwayat Israiliyyat yang telah menyusup ke dalam tafsir al-Quran sedikit sebanyak telah mempengaruhi pemikiran umat Islam. Lalu pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak bagi mengelakkan percampuran antara Israiliyyat dan kisah-kisah di dalam al-Quran. Antaranya para ulama membuat garis panduan terhadap penerimaan dan penolakan terhadap riwayat-riwayat Israiliyyat, menekankan kesedaran penyebaran riwayat Israiliyyat yang sahih serta menjelaskan kedudukan sanad riwayat tersebut, isi yang terkandung di dalamnya dan lain-lain.

Israiliyyat yang menyeleweng telah memalingkan manusia daripada memberikan tumpuan kepada inti kandungan pengajaran kepada unsur-unsur yang tidak bermanfaat. Apatah lagi tidak dikenal pasti pula sejauh mana kebenarannya. Sebenarnya sejak dahulu lagi pelbagai usaha telah dilakukan oleh para ulama dalam memilih dan membersihkan kisah Israiliyyat yang terdapat dalam kitab-kitab terdahulu. Namun, usaha ini amat susah dan memerlukan kepada kesungguhan kerana dilakukan dalam tempoh yang berpanjangan. Tanpa disedari kisah-kisah ini mudah disebarkan kepada masyarakat awam tanpa kawalan yang menyebabkan ia terus diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/450)

Justeru, secara umumnya Israiliyyat ialah berita-berita atau perkhabaran yang dinukilkan daripada Bani Israil dalam kalangan Yahudi dan ia adalah banyak, atau dalam kalangan Nasrani. Seterusnya, Israiliyyat ini juga terbahagi kepada tiga jenis:

Pertama, Israiliyyat yang diakui dan dibenarkan oleh Islam, maka ia adalah suatu kebenaran. Misalnya, apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

جَاءَ حَبْرٌ مِنَ الأَحْبَارِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ إِنَّا نَجِدُ: أَنَّ اللَّهَ يَجْعَلُ السَّمَوَاتِ عَلَى إِصْبَعٍ وَالأَرَضِينَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالشَّجَرَ عَلَى إِصْبَعٍ، وَالمَاءَ وَالثَّرَى عَلَى إِصْبَعٍ، وَسَائِرَ الخَلاَئِقِ عَلَى إِصْبَعٍ، فَيَقُولُ أَنَا الـمَلِكُ، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ تَصْدِيقًا لِقَوْلِ الحَبْرِ، ثُمَّ قَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ، وَالأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ، وَالسَّمَوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ، سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: “Salah seorang pendeta Yahudi datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya kami mendapati bahawa Allah menjadikan langit di atas satu jari, bumi di atas satu jari, pohon-pohon di atas satu jari, air dan pasir di atas satu jari, dan semua manusia berada di atas satu jari, lalu Dia berkata: Aku adalah Raja.’ Maka Nabi SAW tertawa hingga tampak gigi gerahamnya membenarkan perkataan pendeta itu. Kemudian Rasulullah SAW membaca: ‘(Firman Allah SWT yang bermaksud): Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya, sedang bumi seluruhnya — pada hari kiamat — dalam genggaman kuasa-Nya, dan langit tergulung dengan kekuasaan-Nya. Maha Sucilah Dia dan Tertinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan. [Surah al-Zumar: 67].’

Riwayat al-Bukhari (4811)

Keduanya, Israiliyyat yang diingkari dan didustakan oleh Islam, maka ia adalah suatu kebatilan. Contohnya, apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Jabir R.A, beliau berkata:

كَانَتِ اليَهُودُ تَقُولُ إِذَا جَامَعَهَا مِنْ وَرَائِهَا جَاءَ الوَلَدُ أَحْوَلَ، فَنَزَلَتْ: نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi pernah berkata: ‘Jika seseorang menggauli isterinya dari belakangnya, maka anaknya akan dilahirkan juling.’ Maka turunlah ayat: {نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ} (Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.”) [Surah al-Baqarah: 223].”

Riwayat al-Bukhari (4528)

Ketiganya, Israiliyyat yang tidak diakui, mahupun diingkari oleh Islam, maka wajib bertawaqquf — yakni tidak membenarkan berita tersebut mahupun mengingkarinya. Hal ini adalah berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:

كَانَ أَهْلُ الكِتَابِ يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ بِالعِبْرَانِيَّةِ، وَيُفَسِّرُونَهَا بِالعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الإِسْلَامِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الكِتَابِ وَلا تُكَذِّبُوهُمْ، وَقُولُوا: آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا

Maksudnya: “Para Ahli Kitab membaca Kitab Taurat dengan bahasa ‘Ibrani, dan mereka menafsirnya menggunakan bahasa Arab bagi orang-orang Islam, lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kamu membenarkan para ahli kitab dan janganlah pula kamu mendustakan mereka,’ dan katakanlah (wahai orang yang beriman akan firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Kami beriman kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami — yakni al-Quran. [Surah al-Baqarah: 136].’

Riwayat al-Bukhari (4485)

Walau bagaimanapun, menyampaikan atau membicarakan berkenaan perkara daripada jenis ini adalah dibolehkan, selagi mana tidak dibimbangi terjerumus dalam perkara haram, berdasarkan kepada riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat. Ceritakanlah tentang bani Israil dan tidak menjadi satu kesalahan padanya. Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (3461)] Lebih-lebih lagi, kebiasaannya apa yang yang diriwayatkan daripada mereka berkenaan perkara tersebut — yakni daripada berita-berita Israiliyyat — langsung tidak memberi apa-apa manfaat mahupun faedah kepada agama seperti penentuan warna anjing ashab al-Kahfi dan seumpamanya. (Lihat Usul fi al-Tafsir, hlm. 67-69)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa istilah Israiliyyat digunakan oleh ulama tafsir dan hadith terhadap perkara-perkara yang lebih luas, iaitu setiap kisah termasuk cerita lama yang diadakan yang dimasukkan ke dalam tafsir. Bahkan sesetengah ulama tafsir dan hadith menganggap Israiliyyat adalah setiap kisah yang dicipta dan disebarkan oleh musuh-musuh Islam sehinggalah masuk ke dalam tafsir dengan tujuan untuk merosakkan kesucian Islam. Walaupun tidak semua kisah di dalam tafsir al-Quran telah dipengaruhi riwayat Israiliyyat, namun, riwayat Israiliyyat yang telah menyusup ke dalam tafsir al-Quran sedikit sebanyak telah mempengaruhi pemikiran umat Islam. Lalu pelbagai usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak bagi mengelakkan percampuran antara Israiliyyat dan kisah-kisah di dalam al-Quran. Antaranya para ulama membuat garis panduan terhadap penerimaan dan penolakan terhadap riwayat-riwayat Israiliyyat, menekankan kesedaran penyebaran riwayat Israiliyyat yang sahih serta menjelaskan kedudukan sanad riwayat tersebut, isi yang terkandung di dalamnya dan lain-lain.

Justeru, jelaslah bahawa Israiliyyat ialah berita-berita atau perkhabaran yang dinukilkan daripada Bani Israil dalam kalangan Yahudi dan Nasrani. Kemudian, cara berinteraksi dengannya pula hendaklah dilihat dari sudut statusnya, sama ada ia diakui oleh Islam maka ia dikira sebagai suatu kebenaran, atau ia diingkari oleh Islam maka ia adalah suatu kebatilan, atau ia tidak dibenarkan mahupun diingkari maka dalam situasi ini, kita hendaklah bertawaqquf dan boleh menyampaikannya selama mana tidak bimbang terjerumus ke dalam perkara yang haram atau dilarang.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply