Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hikmah kisah-kisah dalam al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ فِى قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌۭ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًۭا يُفْتَرَىٰ وَلَـٰكِن تَصْدِيقَ ٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَىْءٍۢ وَهُدًۭى وَرَحْمَةًۭ لِّقَوْمٍۢ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengisahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”

(Surah Yusuf: 111)

Qasas ialah cerita-cerita al-Quran tentang keadaan umat dan para nabi terdahulu serta kejadian-kejadian nyata lain. Khabar-khabar itu dinamakan qasas kerana orang yang mengkhabarkan menuturkan kisah-kisah itu secara berturutan sedikit demi sedikit. Imam al-Razi pernah mendefinisikan qasas sebagai kumpulan perkataan-perkataan yang memuat petunjuk yang membawa manusia kepada hidayah agama Allah SWT dan menunjukkan kepada kebenaran serta memerintahkan untuk mencari sebuah keselamatan. Manna’ al-Khalil al-Qattan pula mendefinisikan qisas al-quran sebagai pemberitaan al-Quran tentang hal ehwal umat dahulu dan para nabi serta peristiwa-peristiwa yang terjadi secara empirikal.

Sesungguhnya al-Quran banyak memuatkan peristiwa-peristiwa masa lalu, sejarah umat terdahulu, negara, perkampungan dan mengisahkan setiap kaum dengan cara surathal-nathiqah, ertinya seolah-olah pembaca kisah tersebut menjadi pelaku sendiri yang menyaksikan peristiwa itu.

Menurut al-Buti yang dimaksudkan dengan tujuan pokok ialah merefleksi tujuan umum yang dibawa oleh al-Quran kepada manusia, yakni menyeru, menunjukkan ke jalan yang benar agar mereka mendapat keselamatan di dunia dan akhirat, sedangkan yang dimaksudkan dengan tujuan sekunder iaitu; Untuk menetapkan bahawa Nabi Muhammad benar-benar menerima wahyu daripada Allah SWT, bukan berasal daripada orang-orang ahli kitab seperti Yahudi dan Nasrani.

Kisah-kisah al-Quran menjadi bukti kenabian (mukjizat), kerana bagaimana mungkin Rasullullah SAW yang ummi dapat menceritakan kisah-kisah umat terdahulu dan cerita yang akan datang jika tidak melalui wahyu daripada Allah SWT. Meskipun dengan bukti ini, ternyata masih banyak orang kafir yang mendustakan kisah-kisah itu, malah mereka menuduh Rasulullah SAW sebagai pembohong, orang gila, pembawa cerita dongeng dan menganggap apa yang mereka miliki lebih baik dari yang di ceritakan Rasulullah SAW.

Selain daripada itu, ia berfungsi sebagai penghibur kegelisahan hati Rasulullah SAW dan meneguhkan jiwa Baginda dalam mengembangkan risalah dakwah kerana nabi-nabi pendahulunya pun mengalami fenomena kehidupan yang sama. Dengan mengetahui kisah-kisah para nabi bersama kaumnya, maka  Baginda dan kaum Muslimin akan menemui semangat dan ruh yang baharu.

Kisah-kisah al-Quran juga mengubah pandangan ahli kitab bahawa umat Islam ialah umat yang buta huruf dan bodoh, serta menolak sikap para ahli kitab yang suka menyembunyikan keterangan dan petunjuk-petunjuk kitab sucinya sebelum diubah dan diganti oleh mereka sendiri.

Kisah dalam al-Quran memberikan pengetahuan tentang syariat umat terdahulu sehingga keindahan syari’at Islam akan nampak jelas apabila dibandingkan dengan syariat mereka. Mungkin ini juga salah satu rahsia al-Quran yang jarang sekali menyebutkan tema dan motif utama kisah dalam al-Quran kecuali hanya menyebutkan sisi-sisi positif yang mengandung teladan untuk umatnya. Ia juga membantu bagi mengikuti perjalanan sejarah, baik berupa jatuh-bangunnya peradaban manusia dan menjelaskan tonggak keharmonian masyarakat madani seperti kisah Nabi Yusuf AS sewaktu menjadi menteri dan kisah para pengawalnya yang menggeledah saudara-saudaranya ketika kehilangan cawan milik kerajaan. Ia juga menguatkan wahyu yang diterima Nabi Muhammad SAW mengenai kisah-kisah umat terdahulu sebab tidak ada yang mengetahui kisah tersebut kecuali Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/469-470)

Kesimpulan

Antara hikmah dan pengajaran daripada kisah-kisah dalam al-Quran ialah:

  • Kewajipan pendakwah menyampaikan dakwah Islam kepada umat manusia, menjelaskan matlamat kehidupan yang sebenarnya dan perjalanan menuju akhirat yang abadi.
  • Umat yang tidak beriman kepada Allah SWT dan mendustakan dakwah yang disampaikan nabi mereka akhirnya dihukum Allah SWT dengan azab di dunia dan azab neraka pada hari akhirat kelak.
  • Kisah para nabi dan rasul bersama umat masing-masing sarat dengan hikmah pengajaran kepada umat manusia pada setiap masa dan ketika.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply